Tag Archives: Da’i

Da’i Adneen Tersingkir Di Minggu Kesembilan

Malam Ahad lalu telah berlangsungnya episod kesembilan Da’i Pendakwah Nusantara Musim Kelima secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Buat pertama kalinya, program realiti ini memperkenalkan konsep dan format yang baharu iaitu “Pengajian Kitab”. Para peserta telah memberikan tazkirah secara berpasangan dan bergilir untuk menerangkan petikan hadis daripada kitab ‘Riyadus Solihin’ oleh juri tetap Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati. Setelah keenam-enam peserta selesai memberikan tazkirah, Da’i Adneen telah diumumkan tersingkir di akhir rancangan malam itu. 

Pada malam Ahad itu, para peserta Da’i telah dipasangkan kepada tiga pasangan. Da’i Fahmi bergandingan dengan Da’i Afiqah, Da’i Aiman bersama Da’i Syafiqah, dan Da’i Hakim bersama Da’i Adneen. Setiap pasangan akan dibacakan dua petikan hadis daripada Kitab Riyadus Solihin. Setiap seorang daripada mereka diberikan masa sebanyak dua minit untuk memberikan penerangan setiap petikan hadis yang dibacakan.

Da’i Afiqah mendahului DA’i Fahmi dari segi markah Juri Awam

Menurut Juri Tetap Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail “Alhamdulillah saya dapat saksikan satu sejarah program realiti Dai Pendakwah Nusantara kerana buat pertama kalinya memaparkan konsep dan format yang baharu. Mengupas hadis merupakan antara asas tazkirah seorang pendakwah. Malam ini saya amat teruja dan berbangga dengan prestasi peserta kerana mereka dapat memberikan penerangan dengan tenang sambil menyampaikan dengan kreativiti masing-masing. Saya berharap agar format ini dapat dikekalkan di musim-musim akan datang kerana ini merupakan penyediaan kepada para peserta bagi menghadapi dunia pendakwah yang sebenar di luar sana.”

“Buat Da’i Adneen, jangan menyerah kerana Adneen mempunyai potensi yang amat besar. Dari awal musim ini kita telah memberikan satu label kepada Adneen sebagai seorang yang kecil-kecil cili padi kerana adneen mempunyai hati yang besar dan penuh dengan ilmu. Walau bagaimanapun, saya nasihatkan kepada Adneen supaya jangan berhenti belajar, kerana Adneen mempunyai masa depan yang cerah, Insya Allah.” tambahnya lagi.

Para peserta pada malam itu telah mempersembahkan topik-topik dari kitab Riyadus Salihin yang telah diberikan oleh penerbit mengikut urutan berikut:

PESERTA TAJUK PETIKAN
DA’I FAHMI & DA’I AFIQAH Mimpi 1. NO. 847

Daripada Jabir RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda

bersabda: (yang bermaksud…)

 

“Jika salah seorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang dibenci, maka hendaknya dia meludah ke samping kirinya 3 kali, berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan sebanyak 3 kali, dan mengubah posisi tidurnya daripada posisi yang semula.”

Diriwayatkan oleh Muslim.

 

 

2. NO. 844

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah

SAW bersabda: (yang bermaksud…)

 

“Barangsiapa yang melihatku dalam tidur, maka dia akan melihatku dalam keadaan sedar, atau seakanakan melihatku dalam keadaan sedar, kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku.”

Muttafaq ‘Alaih.

 

DA’I AIMAN & DA’I SYAFIQAH Infaq

(Waqaf / Sedekah / Hadiah / Nafkah)

1. NO. 557

Daripada Abu Umamah Shudai bin Ajlan RA, beliau

berkata, Rasulullah SAW bersabda: (yang bermaksud…)

 

“Wahai anak Adam, jika kamu memberikan apa yang lebih dari keperluanmu, maka itu lebih baik bagimu, dan jika kamu menahannya, maka itu buruk bagimu. Dan kamu tidak dicela kerana menahan apa yang menjadi keperluanmu, dan mulailah (memberi nafkah) kepada orang yang menjadi tanggunganmu. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.”

Diriwayatkan oleh Muslim.

 

 

 

2. NO. 553

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah

SAW bersabda: (yang bermaksud…)

 

“Tiada hari di mana manusia memasuki waktu pagi pada hari itu melainkan ada dua malaikat turun, yang satu berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.’ Sedangkan yang lain berkata, ‘Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya.’”

Muttafaq ‘Alaih.

 

DA’I HAKIM & DA’I ADNEEN Musafir 1. NO. 990

Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata: (yang

bermaksud…)

 

“Apabila Rasulullah SAW bepergian lalu malam datang menjelang, Baginda membaca, ‘Wahai bumi, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatanmu, kejahatan yang ada dalam dirimu, kejahatan makhluk yang ada padamu, dan kejahatan makhluk yang merayap di atasmu. Dan aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan singa dan seseorang, daripada kejahatan ular dan kala jengking, daripada kejahatan penghuni negeri ini dan daripada kejahatan iblis dan anak-anaknya.’”

Diriwayatkan oleh Abu Dawud.

 

 

2. NO. 994

Daripada Anas RA, beliau berkata: (yang bermaksud…)

 

“Kami pulang bersama Nabi SAW hingga ketika kami sampai di satu tempat di mana kota Madinah terlihat dari situ, Baginda mengucapkan, ‘Kami kembali, bertaubat, beribadah, dan kami memuji kepada Tuhan kami.’ Baginda terus membacanya sehingga kami memasuki Madinah.”

Diriwayatkan oleh Muslim.

 

 

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i juga merangkap sebagai ketua tenaga pengajar. Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung. Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.

Da’i Syafiqah agresif memberikan tazkirah

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini akan dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu. Contohnya, jumlah sebutan #daifahmi di laman sosial Twitter adalah yang terbanyak pada satu minggu itu, akan dipilih sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu tersebut. Sekiranya, Da’i Fahmi telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton yang terbanyak sepanjang musim, secara automatik Da’i Fahmi akan memenangi gelaran Da’i Pilihan Penonton musim kelima.

Da’i Pendakwah Nusantara musim Ke-5 bertuah kerana sekali lagi mendapat sokongan dari penaja iaitu Almas Beauty & Health. Tambahan pula, penaja utama turut memberikan sumbangan kepada para pemenang untuk tahun ini. Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk 2 orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.

Da’i Fahmi

Penonton juga berpeluang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 6.00 petang dan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4). Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i pada pukul 6.00 petang di TV3. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial

Kecekalan Da’i Hazman Terus Dijadikan Inspirasi Orang Muda

Episod kesepuluh Da’i Pendakwah Nusantara menyaksikan Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad, 29 tahun), pelajar Ijazah Sarjana Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Alor Setar, Kedah meninggalkan pentas Da’i manakala Da’i Nasrul, Da’i Niezal, Da’i Saiful dan Da’i Syed pula mara ke peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung pada hari Ahad ini (2 Oktober 2016).

Da’i Hazman, peserta Da’i Pendakwah Nusantara yang tidak mudah putus asa dan sentiasa mencabar diri sendiri untuk meningkatkan kebolehannya sebagai seorang pendakwah harus dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk berubah ke hidup yang lebih baik. Semangat tinggi Da’i Hazman yang menanggung kesakitan tulang belakang yang disebabkan oleh slipped disc tetap komited untuk memberikan yang terbaik di hadapan penonton.

Da'i Hazman
Da’i Hazman

Bertemakan “Dosa Besar” pada episod kesepuluh, Da’i Hazman, Da’i Irfan, Da’i Nasrul, Da’i Niezal, Da’i Saiful, dan Da’i Syed dikehendaki menggabungkan elemen lakonan atau drama semasa menyampaikan tazkirah yang diperuntukkan masa selama 4 minit. Selain itu, 30 markah bonus diberikan untuk penilaian kreativiti yang ditunjukkkan oleh para peserta.

Episod tersebut juga menampilkan tetamu Nusantara dari Indonesia iaitu Ustazah Lulu Susanti, seorang pendakwah bebas yang menggunakan puppet semasa  menyampaikan tazkirah untuk memberikan komen dan penilaian kepada para peserta di samping murabbi, Ustaz Zul Ramli dan Dr. Robiah K. Hamzah.

Da’i Niezal memilih ‘Ghiba’ sebagai topik tazkirah dan berjaya membawa tajuk tersebut sehingga penonton faham. Persembahan Da’i Niezal yang tidak pernah mengecewakan telah mendapat pujian daripada Dato’ Ustaz Dr Izhar. Ustazah Lulu Susanti juga memuji penggambaran yang diberikan oleh Da’i Niezal sangat bagus dan berkesan. Da’i Hazman pula berjaya menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Hanyalah Satu’ dengan isi yang padat dan jelas. Penggunaan props juga telah memperkayakan corak persembahan Da’i Hazman.

dai syed,dai niezal,dai nasrul dan dai saiful mara ke peringkat separuh akhir
dai syed,dai niezal,dai nasrul dan dai saiful mara ke peringkat separuh akhir

Ketika berkongsi pendapat beliau tentang kesemua peserta Da’i, Ustazah Lulu Susanti memuji kematangan para peserta yang mampu menjadi pelapis pendakwah di Malaysia. “Tampan, Terampil (keterampilan) dan Taqwa (beriman) merupakan 3T iaitu kualiti yang dipamerkan oleh para peserta dan mereka sangat bijak menggunakan fakta dalam penyampaian tazkirah,” tambah Ustazah Lulu Susanti.

Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 dicergaskan oleh Almas Beauty & Health… Penghulu Segala Produk, bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Fokus kepada golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah, Da’i Pendakwah Nusantara yang mempunyai 12 episod menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000, sebuah trofi dan pakej umrah untuk 2 orang sekaligus merangkul gelaran juara musim keempat ini.

Tetamu Nusantara Ustazah Lulu Susanti
Tetamu Nusantara Ustazah Lulu Susanti

Panel juri awam pada malam tersebut terdiri daripada pengasas Almas Beauty & Health, pengasas Almas Beauty & Health, Datin Hajah Maziah Haji Mohamed, Farid (penyampai radio Kool FM), Haziq (penyampai radio Hot FM), Chef Jamil, Budiey (Sensasi Selebriti), Edaman (Band Qanda), Fiza Sabjahan (hos Wanita Hari Ini), Ainan Tasneem, Chef Sarah (hos Hero Oven), dan Da’i Syuhada.

Senarai topik yang telah dipersembahkan oleh 5 peserta Da’i ialah:

Nama peserta Topik
Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad)

Alor Setar, Kedah

29 Tahun

Ijazah Sarjana Undang – undang Universiti Kebangsaan Malaysia

HANYALAH SATU

(SYIRIK – MENYEKUTUKAN ALLAH)

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga”.

(Surah Al Maidah: 72)

Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri)

Terengganu

19 Tahun

Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang

GHIBAH

Jauhkanlah ghibah, jangan mengumpat saudara-saudaramu, nescaya Allah akan memperbaiki amal perbuatanmu dan mengampuni dosa – dosamu.

 

Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail)

Arau, Perlis

21 Tahun

Diploma Dirasat Islamiyyah, Kolej Maahad Buuth Al Islamiyah Kaherah, Mesir

PERANGI RIBA’

“Kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya…”

(Surah Al Baqarah, ayat 279)

Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry)

Pasir Mas, Kelantan

20 Tahun

Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan (agama) Falahiah

TANGGANG MODEN

 Anak yang derhaka kepada ibu bapanya tidak akan mendapat redha Allah  s.w.t.kerana keredhaan-Nya adalah bergantung kepada redha kedua ibu bapa.

Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki)

Permatang Pauh, Pulau Pinang

18 Tahun

Sijil Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah kebangsaan Agama Al Irshad, Pulau Pinang

HARTA ANAK YATIM

Sesiapa sahaja yang berani memakan harta anak yatim akan mendapat dosa yang amat besar dan di hari kiamat kelak akan mendapat siksaan yang pedih. 

Musim baharu ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai hos bersama dan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi para peserta sambil dibantu oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah.

Pada setiap minggu, para peserta perlu menyampaikan tazkirah mengikut topik yang telah ditetapkan secara berhikmah dengan gaya tersendiri dan penampilan menarik. Persembahan mereka dinilai oleh dua juri tetap profesional iaitu Dato’ Ustaz Dr Izhar Ariff dan juga Ustaz Zarifi. Pemarkahan peserta terbahagi kepada 70% (juri profesional), 20% (murabbi – Ustaz Zul Ramli & Dr. Robiah K. Hamzah) dan 10%  daripada juri awam. Minggu ini, 30 markah bonus diperuntukkan kepada juri tetap untuk penilaian kreativiti para peserta.

Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif dan Shukri Ibrahim sebagai penerbit. Saksikan Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 10.30 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 10 pagi) dan rancangan Jurnal Da’i yang memaparkan aktiviti kelas bersama Murabbi (mentor) dan Mursyid, persediaan peserta serta emosi dan personaliti peserta pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul  7.58 malam. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan portal video tonton.

Da’i Pendakwah Milenia Musim Ketiga Kini Bermula

Da’i Pendakwah Milenia Musim Ketiga Kini Bermula | Lapan buah negeri telah dijelajah, perjalanan 10 pendakwah muda terpilih bakal bermula pada 16 Ogos ini. Kembali untuk musim ketiga, Da’i Pendakwah Milenia bakal bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Mereka bakal berentap untuk bergelar pendakwah milenia sekaligus membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000! Pemenang juga akan turut menerima pakej umrah, sebuah trofi, saham PNB berjumlah RM5,000 dan juga pengalaman bekerjasama bersama Media Prima Berhad.

Ar- Rijaal
Ar- Rijaal

Da’i Pendakwah Milenia menampilkan konsep baharu apabila mencari lima orang peserta lelaki dan lima orang peserta perempuan dan kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan dibimbing oleh seorang Murabbi (mentor). Ustaz Elyas Ismail akan menggalas tugas bagi membimbing kumpulan lelaki (Ar-Rijaal) dan Dr. Rubiah K. Hamzah bagi kumpulan perempuan (An-Nisaa’). Datuk Ustaz Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi peserta. Peserta akan dikuarantin untuk mendapat tunjuk ajar dari mentor bagi aktiviti kelas dan pelbagai lagi aktiviti untuk memperlengkapkan lagi kredibiliti dan menyerlahkan lagi kekuatan individual mereka.

An-Nisaa'
An-Nisaa’

Kesemua peserta akan dinilai secara individu oleh dua juri tetap professional iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Syarhan Safie berserta seorang lagi juri jemputan yang membawa 60% dan 10 juri awam setiap minggu sebanyak 30% dan 10% lagi ditentukan oleh juri sosial media. Para peserta Da’i perlu berdakwah secara berhikmah dan menarik perhatian, di mana mereka perlu memberikan sebuah ceramah atau motivasi dengan topik yang diberi cara tersendiri, gaya serta penampilan diri yang unik dan menarik.

Ahmad Izham Omar & Dato' Aliff Syukri
Ahmad Izham Omar & Dato’ Aliff Syukri

Da’i musim ketiga ini lebih meriah apabila turut ditaja oleh D’herbs Holdings Sdn. Bhd selaku penaja utama. Menurut Dato’ Aliff Syukri, Pengarah Urusan D’herbs Holdings Sdn. Bhd, “Jenama D’Herbs yang sinonim dengan tagline “Terlajak Laris”, setiap tahun akan muncul dengan kelainan dari segi pemasaran dan promosi produk. Merujuk kepada Pengarah Urusan D’Herbs Holdings Sdn Bhd, Dato Aliff Syukri Kamarzaman, “Penajaan Da’i pada tahun ini menunjukkan kematangan jenama dan produk D’Herbs yang telah bertapak selama hampir 6 tahun. Kami mempunyai lebih dari 100 produk dibawah jenama D’Herbs. Untuk memasarkan kesemua produk memerlukan kos dan masa yang banyak. Melalui penajaan Da’i tahun ini, D’Herbs akan mengenengahkan 3 produk terbaru iaitu Air Masyhur, Inai Berherba D’Herbs dan Rani Gel Liner Dherbs. Kami akan terus menyokong program bebentuk islamik dan ilmiah seperti ini kerana kami yakin, penonton sekarang lebih cenderung menonton program yang berinformasi seperti Da’i ini. Ia akan memberikan manfaat kepada setiap keluarga yang menonton!“

DEX_0987

 

Musim ketiga ini masih lagi mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai pengacara namun menampilkan pengacara tersohor Tn. Hj. Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama. Episod pertama pada 16 Ogos jam 9 malam ini akan memaparkan sesi ujibakat yang telah diadakan dan sesi bootcamp yang dijalankan selama empat hari di Nur Laman Bestari Eco Resort, Ulu Yam, Selangor pada 13 hingga 16 Jun lalu. Jangan lupa untuk menyaksikan perjalanan 10 pendakwah muda membuktikan kemampuan untuk bergelar pendakwah milenia hanya di TV3, saluran 103 dan ulangannya pada hari Jumaat jam 10 pagi. Penonton juga dapat menonton secara eksklusif persembahan para peserta, paparan-paparan istimewa yang tidak dapat dilihat di kaca televisyen di laman web rasmi Da’i musim ketiga iaitu www.tv3.com.my/da’i.

Da’i Kembali Untuk Musim Ke-3

Dai2015_AuditionPosterAmendSetelah dua musim bersiaran, program keagamaan yang ingin memartabatkan status pendakwah Da’i- Pendakwah Milenia kini kembali bagi musim ke-3. Program yang ingin memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul oleh seorang Da’i di zaman yang penuh cabaran ini akan memulakan pencarian pendakwah muda dalam uji bakat Da’i musim ketiga yang akan bermula pada 28 Mac hingga 24 April 2015 ini. Da’i musim ke-3 akan menjelajah ke 8 buah lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, orang awam yang berminat untuk menjadi peserta Da’i musim ke-3 ini, bolehlah menghadirkan diri ke sesi uji bakat yang akan diadakan di lokasi berikut pada jam 9.00 pagi – 5.00 petang:

Tarikh Lokasi
28 & 29 Mac 2015 Sri Pentas

Persiaran Bandar Utama

5 & 6 April 2015 Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)

Gong Badak, Kuala Terengganu

8 & 9 April 2015 Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra

Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan

11 & 12 April 2015 Kolej Universiti INSANIAH

Kuala Ketil, Kedah

14 & 15 April 2015 Masjid Sultan Idris Syah II

Ipoh, Perak

17 & 18 April 2015 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor

20 & 21 April 2015 Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan

23 & 24 April 2015 Kompleks Islam

Johor Bahru, Johor

Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:

  • Pelajar/berpendidikan
  • Lelaki & perempuan berusia 20-30 tahun
  • Aktif dalam aktiviti pendidikan, beruniform & kemasyarakatan
  • Petah berhujah di khalayak ramai
  • Berpakaian kemas & profesional
  • Bawa bersama salinan kad pengenalan dan gambar berukuran pasport

Para peserta mestilah fasih berbahasa Melayu dan mereka yang berkebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa adalah satu bonus. Serlahkan bakat dan kongsikan Ilmu yang anda miliki kerana Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari, dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk dimaanfaatkan oleh orang lain.

DA’I Musim Ke-2 Kini Bermula

DEX_2441Seiring perkembangan teknologi yang lebih moden dan mudah, cara untuk menyampaikan dakwah secara berkesan perlulah mempunyai kepelbagaian dan pendekatan yang lebih mendekati jiwa agar dapat menarik minat masyarakat mendalami ajaran Islam terutamanya golongan muda.  Penerimaan memberangsangkan yang diterima daripada para penonton bagi musim pertama penganjuran program realiti keagamaan TV3, Da’i, yang memartabatkan status pendakwah muda diteruskan lagi untuk musim kedua.

Setelah menjelajah ke lima buah universiti tempatan akhirnya lapan finalis telah terpilih untuk berjuang di medan pencarian pendakwah muda berkaliber dalam program realiti, Da’i musim ke-2 bermula 15 Ogos ini.  Da’i musim ke-2 yang bakal bersiaran sebanyak 10 episod akan memperlihatkan kebolehan lapan finalis iaitu Mohd Annas bin Khamis, Nik Ahmad Farhan Bin Nik Muhamad, Ahmad Izzhar Bin Ahmad Nazri, Nurul Dayana Binti Mohd Zahari, Nurul Amirah binti Mohd Azmi, Mohd Elyas Bin Yusoff, Wan Dazrin Bin Wan Din, Ammar Bin Ismail bagi merebut gelaran Pendakwah Milenia dan peluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50, 000!.

VIP

Rancangan Da’i musim ke-2 ini ditaja oleh Roselle White selaku penaja utama dan dimeriahkan oleh penaja bersama iaitu Harwany. Hadir di majlis pelancaran rancangan realiti agama ini ialah Encik Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media MPB), Encik Azhar Md Yusoff (Pengarah Urusan Roselle White), Encik Teoh Chong Leng (Pengarah Jualan Harwany), Encik Harisyani Bin Haji Mohamad (Pakar Produk), Cik Sherina Nordin (Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9), Puan Dorothy Empam (Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Perkhidmatan Pelanggan), Shukri Ibrahim (Produser Da’i musim ke-2) dan Encik Mezlan Hamat (Pengetua Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan.

Majlis sidang media Da’i juga turut meraikan 30 kakitangan dan pelajar dari Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan.

Episod pengenalan pada 15 Ogos ini akan memaparkan suasana dan gelagat peserta yang hadir ke sesi uji bakat dan juga bootcamp yang diadakan selama 3 hari 2 malam di Port Dickson. Kebolehan setiap peserta untuk menarik minat masyarakat dalam menyampaikan dakwah pula akan dinilai oleh dua juri tetap yang digalas oleh Ustaz Sharhan Shafie dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman serta seorang lagi juri jemputan yang mewakili 70% markah keseluruhan manakala 30% lagi ditentukan oleh juri awam.  Peserta akan turut mendapat bimbingan oleh Murabbi terkenal iaitu Ustaz Mohd Izhar dan Ustazah Asni Abu Mansor.  Berlainan bagi musim kedua ini, program ini akan dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan dibantu oleh Tajdid Hadhari dan Azam Al-Kankari iaitu pemenang tempat kedua dan ketiga bagi Da’i musim pertama.

DEX_2421

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 “Sambutan menggalakkan telah diterima di setiap lokasi ujibakat pencarian Da’i musim ke-2 telah menunjukkan penganjuran program sebegini dilihat menepati sasaran untuk melahirkan golongan pendakwah muda yang memahami konsep dakwah secara moden yang boleh dipelbagaikan, relevan dan lebih mesra. Selain dapat melahirkan pendakwah muda yang mempunyai integriti tinggi dan berkebolehan, program ini dapat membentuk peribadi dan akhlak baik untuk golongan muda”.

Produk Roselle White, di bawah syarikat Al Faiz Industires Sdn Bhd Sementara itu, menurut Encik Azhar Md Yusoff, Pengarah Urusan Roselle White, “Penajaan ini menjadikan Al Faiz Industries Sdn Bhd, diatas nama produk Roselle White sebagai penaja utama bagi program pencarian pendakwah generasi muda ini. Penajaan bagi program berprestij ini merupakan inisiatif Roselle White bagi menggalakkan penganjuran program TV yang mampu memartabatkan program ilmiah serta membuka peluang kepada jenama Roselle White untuk lebih dikenali bukan sahaja sebagai salah satu produk halal yang terdapat di Malaysia malah seiring dengan matlamat untuk menaiktaraf produk berasaskan roselle. Disamping itu, misi Al Faiz ingin membawa penjenamaan syarikat tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi dalam pasaran dalam dan luar negara.

DEX_2318

Antara tugasan yang menanti mereka bagi musim kedua ini adalah mengimarahkan masjid, membimbing adik angkat di sekolah agama berasrama, sehari bersama saudara baru dan banyak lagi yang pastinya menguji keupayaan mereka untuk menjadi pendakwah yang disegani. Saksikan bagaimana lapan finalis pendakwah muda yang terpilih untuk mengharungi cabaran untuk bergelar Pendakwah Milenia setiap hari Jumaat, pada jam 9 malam.

Anda juga boleh menonton Da’i musim ke-2 melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my/dai serta akaun Twitter rasmi Da’i iaitu @DaiTV3 dan    Facebook/DaiPendakwahMilenia. Anda juga boleh mengetahui informasi lanjut dan terkini mengenai Da’i musim ke-2 di Facebook & Twitter TV3Malaysia.