Tag Archives: Datuk Hattan

Persembahan amal Rhythm of Legends himpun artis terkenal

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2019 lalu memberi impak besar dari segi ekonomi dan kehidupan harian rakyat dalam negara. Ramai yang terjejas hingga ada antaranya yang menderita.

Tidak hanya itu, banjir besar melanda di beberapa negeri pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini cukup meresahkan jiwa dan raga. Dapat dilihat, kesusahan di merata tempat, menagih simpati dan ihsan daripada mereka yang berkemampuan.

Bersimpati dengan nasib yang menimpa, syarikat pengurusan acara CS Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia tampil menganjurkan persembahan amal Rhythm of Legends yang bakal berlangsung di Dewan Plenarry KLCC, jam 8.30 malam, pada 29 dan 30 Oktober depan.

Menariknya, konsert  amal Rhythm Of Legends  menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama konsert Rhythm of Legends diadakan adalah untuk mengutip dana bagi disalurkan kepada enam NGO, tabung amal, banjir, golongan asnaf dan artis veteran.

“Konsert ini adalah persembahan amal yang mana kita nak mengutip dana. Penganjuran acara ini kami berkolaborasi dengan NGO Drug Free Malaysia. Kami menyasarkan 50 peratus hasil kutipan konsert disalurkan kepada enam badan NGO, tabung amal, tabung banjir dan asnaf. 

“Tidak dilupakan juga, golongan artis veteran yang terkesan sama. Kita tahu, mereka ini juga antara yang turut melalui fasa kesukaran sama. Jadi, kita tidak mahu melupakan mereka. Jadi, dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki dengan banyak pihak. Pendek kata, sumbangan yang bakal disalurkan adalah menyeluruh.

“Rhythm of Legends ini adalah persembahan kedua terbesar yang kami buat. Sebelum ini kami turut menjalankan acara sama iaitu Rock The City di Melaka membabitkan artis antaranya  Caprice,Hujan,Bunkface,MK Clique,Joe Flizzow dan ramai  lagi pada Februari  2020. Sepanjang hampir lima tahun bergiat aktif dalam bidang ini, ada banyak juga program lain yang sudah kami buat,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Marinatasha yang juga pengarah program bagi konsert Rhythm of Legends mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesudian mereka menerima tawaran bagi menjayakan persembahan amal itu,

“Sebelum ini ada ramai artis lain juga yang kami jemput untuk terbabit sama, tapi hanya yang tersenarai ini saja yang berkelapangan untuk persembahan dua hari itu. Mereka juga berminat untuk sama-sama terbabit bagi membantu dan beramal.

“Dari segi persembahan, pihak penganjur telah menetapkan konsep dimana persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (Istana Budaya) di bawah pimpinan Encik Yazid Zakaria. Jadi, selain daripada  lagu-lagu  popular daripada koleksi album artis  itu sendiri, mereka turut akan menyampaikan lagu-lagu popular artis  terkemuka yang lain  dengan gabungan elemen alat muzik moden dan tradisional yang menjadi kepakaran OTM yang pastinya akan memberi suatu kelainan dan kepuasan kepada penonton,” katanya.

Menurut Marinatasha yang juga Ketua Biro Kebudayaan dan Keseniaan Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat dan orang perseorangan yang ingin menyumbang.

Dalam masa sama, Marinatasha mengajak orang ramai untuk membeli tiket sekaligus boleh berhibur dan menderma.

“Sebelum PKP lagi saya bersama Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia terbabit dalam beberapa program amal. Malah, saya bersama seorang lagi Pengarah Urusan CS Excellent iaitu Qhal Iskandar dan Presiden DFM, Dr Khairudin Aziz, memang aktif. Jadi, apabila PKP dilaksanakan dapat dilihat banyak terjejas dari segi pendapatan, pekerjaan dan banyak lagi.

“Apabila kita sudah masuk fasa endemik dan boleh buat konsert, itu yang kami merancang untuk mengadakan persembahan amal berkonsepkan konsert. Macam dikatakan tadi, ia bertujuan untuk berkongsi rezeki. Tak banyak sikit, apa yang penting hasilnya nanti dapat memberi manfaat kepada pihak yang memerlukan.

“Kepada pembeli tiket nanti, mereka bukan saja boleh berhibur tapi juga beramal. Justeru, kami turut mengalu-alukan dan membuka kepada mana-mana badan korporat dan orang perseorangan jika mahu menaja dan menyumbang,” katanya.

Rhythm of Legends bakal dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Tiket Konsert Rhythm Of Legends boleh dibeli secara online di https://www.myticket.asia/ bermula jam 2 petang ini.

Berikut harga tiket menyaksikan Rhythm of Legends:

Meet & Greet             : RM979.00

Diamond            : RM879.00

Gold                : RM679.00

Silver                : RM579.00

Bronze                : RM479.00

Premium 1            : RM379.00

Premium 2            : RM279.00

Premium 3            : RM179.00

‘Astro 25 Concert’ Membariskan Gandingan Artis Tempatan dan Antarabangsa Terhebat

Pelanggan Astro akan dihiburkan dengan konsert virtual, secara langsung yang dibarisi ramai nama-nama hebat tempatan dan antarabangsa termasuklah dari Korea, pada 25 September ini, jam 8:30 malam di televisyen Astro 25 (Saluran 100) dan platform Astro GO. ‘Astro 25 Concert’ ini merupakan tanda penghargaan di atas sokongan pelanggan yang selama ini setia bersama di sepanjang perjalanan Astro sehingga menjadikan ia sebagai destinasi hiburan #1 pilihan rakyat Malaysia.

 

Ella, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli, Dayang Nurfaizah and Agnes Rozario

Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata, “Sebagai sebahagian dari usaha Astro untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun kami berkhidmat ini, kami begitu teruja untuk membawakan ‘Astro 25 Concert’, yang akan menyaksikan persembahan terhebat dari artis-artis naungan Astro yang mana mereka akan turut digandingan bersama ramai lagi nama-nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa. Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama. Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui TV dan radio. Bakal disiarkan di Saluran 100, semua pelanggan Astro boleh menikmati persembahan terhebat yang kami bawakan secara terus ke rumah anda, ditonton dengan selesa bersama keluarga tersayang.”

Dihoskan oleh artis popular tanah air, Nabil Ahmad dan personaliti radio, Ean, Arnold dan Aishah Sinclair, konsert berdurasi tiga (3) jam ini akan menampilkan persembahan hebat dari selebriti berikut: –

  • Bintang ‘Running Man’, Kim Jong Kook, yang turut dikenali dengan suara balada yang merdu dan penuh melankolik; beliau akan mempersembahkan salah satu lagu popular beliau. Running Man merupakan program variasi Korea pilihan nombor 1 rakyat Malaysia dan disiarkan di ONE HD (Astro Saluran 393) pada setiap hari Jumaat.
  • Kumpulan Gen Z yang kini begitu digilai ramai, TOMORROW X TOGETHER, merupakan kumpulan terbaharu dan popular dari Seoul kerana memilik suara yang merdu dan mampu menyampaikan persembahan yang cukup hebat. Muzik mereka dianggap cukup dekat dengan generasi hari ini kerana diinspirasikan dari kisah-kisah tauladan dan sesuai dengan remaja di seluruh dunia.
  • Pemenang anugerah Grammy sebanyak dua (2) kali, Jason Mraz, pemuzik dari Amerika, Pink Sweat$, penyanyi serta penulis lagu, Bazzi, dan alumni program The Voice UK, Jamie Miller.
  • Barisan penghibur tersohor negara termasuklah nama-nama legenda tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira dan Anuar Zain ke Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Zynakal.
  • Kumpulan lelaki Cantopop Hong Kong sensasi, Mirror, bintang Hong Kong Ruco Chan, dan pemenang TVB Stars Academy yang baru sahaja berusia 15 tahun, Gigi Yim.
  • Kumpulan popular Indonesia, Dewa 19, yang turut merupakan kumpulan rock yang begitu disegani ramai khususnya di Indonesia, Once Mekel, bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19, Slam, kumpulan rock tanah air, dan pemenang Singapore Idol, Taufik Batisah.
  • Pelawak dan hos terkemuka negara, Harith Iskander, bersama pemain komedi, pelakon dan pengacara TV popular Singapura, Kumar.
  • Bintang-bintang dari program terbitan Astro seperti Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul.
  • Barisan artis sensasi tanah air seperti Lil J, Orga, TUJULOCA, MK K-Clique, Haqiem Rusli, Yonnyboii dan Abigail – figura generasi hari ini, yang mana popular dan menempa nama menerusi platform media sosial umumnya.

‘Astro 25 Concert’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 25 September, pada jam 8:30 malam di Astro 25 (Saluran 100) dan boleh juga distrim menerusi Astro GO. Siaran ulangan atau ‘encore viewing’ juga boleh ditonton menerusi platform On Demand, selepas berakhirnya konsert. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Astro 25 Concert’, teruskan bersama kami di Facebook @Astro, Twitter @astroonline and Instagram @astromalaysia.

Vince Chong, Nicole Lai, Taufik Batisah dan Mugen Rao

Dalam pada itu, penonton Astro juga boleh menantikan tayangan perdana dua dokumentari istimewa, Tanah Tumpahnya Darah Kita dan We Are No Different, juga di Astro 25 (Saluran 100). Kedua-dua dokumentari ini berkisarkan tentang keindahan dan keharmonian kita hidup bersama sebagai rakyat Malaysia – dari seawal kisah sejarah bagaimana bekas perajurit kita berkorban untuk mempertahankan negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan budaya sehinggalah kepada kisah bagaimana ada di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil dan membesarkan anak angkat tanpa membataskan bangsa masing-masing. Kisah-kisah ini bersama 150 program lain yang mengangkat pelbagai cerita dan filem Malaysia serta serantau terhebat, program-program sepanjang zaman kegemaran rakyat Malaysia dan rancangan realiti kini sedia menanti penonton di Astro 25, Saluran 100. Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ke-25 Astro ini dan tawaran-tawaran menarik yang disusun khas buat anda semua, layari www.astro.com.my/bettertogether

Juga, mulai September ini, Astro akan membawakan banyak program-program baharu dan siri-siri popular serta rancangan realiti kembali menemui peminat seperti All Together Now Malaysia yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam di Astro Ria, Astro Classic Golden Melody 2021 pada setiap hari Sabtu mulai 25 September, jam 8:30 malam di Astro AEC, musim terbaharu Big Boss, mulai 3 Oktober jam 10:00 malam di Star Vijay, program komedi kegemaran ramai, Sepahtu Reunion Live 2021, pada setiap hari Khamis, mulai 23 September, jam 10:00 malam di Astro Warna, drama bersiri Astro Originals, I Tanggang, pada setiap hari Isnin, mulai 13 September, jam 9:00 malam dan drama terbaharu The Hotel, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 15 September, jam 10:00 malam di Astro Ria. Jangan lepaskan peluang menonton sajian terbaik dan terkini dari kami di Astro!