Tag Archives: Dream Theater

DREAM THEATER Bakal Gegarkan KUALA LUMPUR Dan SINGAPURA

Buat para peminat kumpulan dari Boston, Amerika ini, Dream Theater akan muncul di Kuala Lumpur dan Singapura untuk bertemu kalian.

Dalam rangkaian jelajah Top Of The World mereka, Kuala Lumpur dan Singapura merupakan antara lokasi yang bakal mereka gegarkan. Shiraz Projects dengan bangganya membawakan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1985 ini di The Star Theatre, Singapura pada 9 Mei 2023 manakala di Zepp Kuala Lumpur pada 10 Mei 2023.

Buat Shiraz Projects, adalah menjadi sebuah kebanggaan dapat menjadi sebahagian dari rangkaian Top Of The World yang bermula dari Seoul, Korea kemudian melalui beberapa buah negara dan dan berakhir di Indonesia. “Pihak Shiraz Projects percaya para peminat Dream Theater sudah lama mahu menyaksikan mereka kembali beraksi dan kami berasa sangat gembira dapat membawakan Top Of The World kepada para peminat di Malaysia dan Singapura,” ujar Shirazdeen Karim selaku Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects.

Dream Theater menamatkan jelajah UK 2023 mereka pada 21 Februari, dan telah memulakan semula jelajah di Seoul pada 26 April. Mereka kemudian menuju ke Jepun untuk tiga tarikh di Tokyo, Nagoya dan Osaka, sebelum mengegarkan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pernah muncul sebelum ini di Kuala Lumpur pada September 2017, kemunculan Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) sentiasa dinanti-nanti terutama dalam kalangan pemuzik rock dan metal.

Dream Theater cukup dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka dilihat cukup progresif, kompleks dan padat terutama daripada permainan gitar Petrucci yang juga ‘mastermind’ mereka. Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia. Beliau diletakkan di kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada 2009.

Album terakhir Dream Theater bertajuk “A View From The Top Of The World” telah dilancarkan tahun lalu dan ia merupakan projek pertama yang dirakamkan di studio mereka sendiri iaitu Dream Theater Headquarters. Dan dengan judul yang sama mereka telah mengelilingi banyak lokasi untuk bertemu dengan para peminat mereka dan tidak ketinggalan – Malaysia dan Singapura.

Dream Theater dikhabarkan sedang membuat persediaan untuk produksi album studio ke-16 selepas ‘A View From The Top Of The World’ pada akhir 2021. Mengenai muzik baharu, Petrucci menyatakan bahawa mereka masih mengusahakannya, namun tidak merasakan bahawa dirinya bersama ahli-ahli kumpulan akan berada di studio rakaman dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, dia mengesahkan mereka akan kembali merakam album baharu mereka lewat tahun ini . Album baharu itu akan mengikuti album studio kelima belas mereka ‘A View From The Top Of The World’, yang dikeluarkan pada tahun 2021. Lagu ‘’The Alien’ dalam album tersebut telah memenangi Anugerah Grammy pertama mereka dalam kategori ‘Best Metal Performance ‘ di Anugerah Grammy ke-64 pada 2022. Melalui satu kenyataan media, album “A View From The Top Of The World” telah digambarkan sebagai ‘Dream Theater at its musical finest’. Ini berikutan perkembangan bunyi yang mereka cipta disamping mengekalkan elemen-elemen baharu dan lama yang sekaligus diminati oleh para peminat mereka di serata dunia.

Album yang memuatkan tujuh lagu itu juga turut menyaksikan album tersebut sebagai album studio kedua kerjasama dengan InsideOut Music/Sony Music. . “A View From The Top Of The World” telah diterbitkan oleh Petrucci dan menyaksikan James “Jimmy T” Meslin bertugas sebagai jurutera dan produksi serta hasil kerja mixing/mastering oleh Andy Sneap.

Untuk para peminat tegar Dream Theater, jangan lupa dapatkan tiket dengan harga, RM700 (VIP), RM398 (Diamond – Standing), RM258 (Platinum – Standing), RM398 (Gold – Seated) dan RM258 (Silver – Seated). Manakala untuk Singapura pula, tiket dijual pada harga $168 (Diamond), $148 (Platinum), $128 (Gold), $108 (Silver) dan $88 (Restricted View).

Tiket akan mula dijual pada 3 April 2023, pukul 2pm di www.myticket.asia untuk Kuala Lumpur dan www.sistic.com.sg untuk konsert Singapura. Bagi informasi atau update terkini, sila layari laman sosial Shiraz Projects.

DREAM THEATER TOP OF THE WORLD TOUR yang merupakan konsert satu malam sahaja ini dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

DREAM THEATER TOP OF THE WORLD TOUR

Singapura

Tarikh                 : 9 Mei 2023 (Singapura)

Venue                 : The Star Theatre, Singapura

Harga tiket          : $168 (Diamond), $148 (Platinum), $128 (Gold), $108 (Silver) dan $88 (Restricted View) Tiket        : www.sistic.com.sg

Kuala Lumpur

Tarikh                 : 10 Mei 2023 (Kuala Lumpur)

Venue                 : Zepp Kuala Lumpur

Harga tiket          : RM700 (VIP), RM398 (Diamond – Standing), RM258 (Platinum – Standing), RM398 (Gold – Seated) RM258 (Silver – Seated)

Tiket                   : www.myticket.asia Laman Web          : www.shirazprojects.com Facebook                          : shirazprojects

Instagram           : shirazprojects

Dream Theater ‘Tawan’ Kuala Lumpur

Penantian peminat Dream Theater umumnya untuk menyaksikan kumpulan yang berjalurkan genre progresif metal pastinya terubat setelah kumpulan itu akhirnya beraksi  di hadapan lebih 2,500 peminatnya kelmarin dengan iringan muzik serta dambaan cahaya yang cukup mengujakan, ternyata Dream Theater terlalu luar biasa buat hadirin yang rata-ratanya adalah di kalangan pemuzik.

Konsert Dream Theater yang dianjurkan oleh IME Asia itu telah di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 Oktober lalu adalah sebahagian daripada jelajah Image, Words & Beyond 25th Anniversary Tour yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.

Ia juga sempena ulang tahun ke-25 album Images & Words terbitan 1992. Image & Words yang juga album kedua Dream Theater adalah album mereka yang paling laris dan mendapat pengiktirafan emas daripada Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) selepas terjual lebih 600,000 unit.

Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) ternyata bijak mengatur setiap lagu yang dipersembahkan agar ianya tidak menganggu ‘mood’ hadirin apatah lagi  Dream Theater adalah band yang cukup dikenali dengan ketelitian mereka dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka dilihat cukup kompleks dan padat.

Tanpa ‘opening band’ Dream Thaeter memulakan aksi sekitar jam 8.30 malam dengan rangkaian lagu-lagu seperti “The Dark Eternal Night”, “The Bigger Picture”, “Hell’s Kitchen”, “The Gift of Music” dan “Our New World”.

Pentas yang sentiasi dilimpahi cahaya dan dentuman keramat, petikan gitar serta alunan jemari melalui sentuhan kibordis sentiasa berjaya menjadi tumpuan fanatika Dream Theater yang dilihat bagai dirasuk dengan melodi yang cukup mendambakan perasaan. Sungguhpun setiap lagu yang dipersembahkan cukup panjang tetapi pengisiannya meresapi jiwa diselangi riffing serta solo yang membunuh.

Tidak sekadar memaku penonton dengan teknikal gitar, mereka juga menyerang hadirin dengan ketukan dram daripada Mike Mangini yang di selang selikan dengan off beat yang menggegar jantung, kejutan solo kibod dari Jordan Rudess yang menjadikan setiap lagu yang di lontarkan menjadi melodi keramat.

Tanpa berceloteh panjang  James LaBrie turut memperkenalkan John Myung selaku basis untuk beraksi solo melalui lagu ‘Portait of Tracy’ sebagai tribute untuk Jaco Pastorius. Di ikuti selepas itu dengan 2 buah lagu As I Am dan Breaking All Illusions sebelum mereka berhenti rehat selama 20 minit.

“Album Images & Words adalah album Dream Theater yang paling laris, dan sudah pasti di set kedua ini mereka mengembalikan nostalgia peminat dengan rangkaian lagu-lagu yang terdapat di dalam album tersebut.  Antara lagu-lagu yang menjadi sandaran adalah “Pull Me Under”, “Another Day”, “Take the Time”, “Surrounded”, “Metropolis Pt. 1: The Miracle and the Sleeper”, “Under a Glass Moon”, “Wait for Sleep”, dan “Learning to Live”.

Inilah keistimewaan konsert Dream Theater, mereka tampil tanpa ‘quenue’ yang terlalu lama diibaratkan peminat seolah-olah sedang menyaksikan persembahan magis dan bukannya sebuah konsert seperti selalu. Apatah lagi ianya di muatkan dengan sistem audio yang cukup untuk memberikan impak kepada hadirin.

Rata-rata hadirin dilihat tersenyum puas meninggalkan lokasi konsert, malah ada di antaranya pertama kali mendengar lagu-lagu yang di mainkan oleh Dream Theater namun setelah menyaksikan kehebatan 5 figura ini beraksi mereka terus jatuh cinta malah jika diizinkan mereka ingin melihat serta terus mengikuti perkembangan band yang cukup segala rencah serta acuan muzik yang cukup rempah ratusnya.

Sejak album sulung “When Dream and Day Unite” yang diriliskan pada tahun 1989, Dream Theater sudah menghasilkan 13 album studio dan hingga hari ini semua album mereka terjual lebih 10 juta unit di seluruh dunia.

*Semua photo diambil dengan Canon EOS #5DMarkV

 

Dream Theater Adakan Konsert Di Malaysia Oktober Ini

Setelah sekian lama menantikan kehadiran jentera yang cukup disegani di seantaro dunia apatah lagi sebelum ini mereka hanya singgah ke negara jiran tetangga sahaja.  Kini semua persoalan seakan sudah terjawab apabila pihak IME Asia telah berbesar hati untuk membawa band yang bernuansakan progresif metal, Dream Theater ke Malaysia.

Pastinya ia merupakan hadiah paling bermakna buat fanatika Dream Theater di Malaysia khasnya, apatah lagi ianya di adakan di lokasi yang cukup berprestij dan eksklusif iaitu di KLCC  Planery Hall, Kuala Lumpur.

“Images, Words & Beyond 25th Anniversary Tour” adalah merupakan siri jelajah Dream Theater ke seluruh Asia.  Konsert anjuran IME Asia ini akan berlangsung pada 2 Oktober 2017 dan akan bermula sekitar jam 8.30 malam.  Umum mahupun peminat setia Dream Theater sendiri pasti tahu kecemerlangan serta kegemilangan yang telah di capai oleh jentera dambaan mereka.

Sehingga kini kesemua album album yang diriliskan oleh Dream Theater telah terjual lebih 10 milion di seluruh dunia.  Pastinya rangkaian lagu-lagu popular seperti Pull Me Under, Another Day, Metropolis Part 1 dan Under A Glass akan berkumandang di KLCC Planery Hall.

Dream Theater kini dibarisi oleh John Petrucci (gitaris), John Myung (bassis), James LaBrie (vokalis), Jordan Rudess (kibordis) dan Mike Mangini (drum) pastinya bakal memberikan persembahan hebat dan bertenaga bersempena siri jelajah konsert “Images, Words & Beyond 25th Anniversary Tour”.

Sebagai rekod mereka telah merakamkan 13 buah album antaranya ialah When Dream and Day Unite (1989), Images and Words (1992), Awake (1994), Falling into Infinity (1997), Metropolis Pt. 2: Scenes from a Memory (1999), Six Degrees of Inner Turbulence (2002), Train of Thought (2003), Octavarium (2005), Systematic Chaos (2007), Black Clouds & Silver , Linings (2009), A Dramatic Turn of Events (2011), Dream Theater (2013)  dan The Astonishing (2016).

Tiket-tiket untuk “Images, Words & Beyond 25th Anniversary Tour” telah mula di jual pada 11 September  dan ianya boleh di dapati dengan melayari website www.ticketcharge.com.my.  Sebagai info anda boleh mendapatkan tiket yang berharga VIP – RM488, Cat 1 – RM398,,Cat 2 – RM308, Cat 3 – RM238, dan Cat 4 – RM188.  Semua tiket mempunyai tempat duduk dan telah termasuk cukai GST.
Selain membeli secara online peminat juga boleh mendapatkan tiket di ibu pejabat Ticket Charge atau ejen rasmi seperti Speedy video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts serta di kaunter informasi di The Mines dan 1 Shamelin.

Untuk info terkini berkenaan konsert Dream Theater “Images, Words & Beyond 25th Anniversary Tour”, anda boleh ikuti di IME Asia Facebook, @IME_Asia on Instagram, @IMEProduction on Twitter, or @IMEProductions on WeChat. #dreamtheater #liveinKualaLumpur