Tag Archives: Exists

KONSERT ROCK NOSTALGIA TERBESAR TAHUN INI BAKAL MEMBARA DI JOHOR BAHRU

Johor Bahru bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam industri muzik tempatan apabila konsert mega ‘A Night To Remember: Rock Nostalgia’ akan berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin pada 14 Disember 2024. Konsert yang menampilkan tiga nama besar dalam industri muzik tanah air – Ella, Kugiran Masdo, dan Exists – dijangka akan mengumpulkan lebih 4,000 peminat muzik dari seluruh rantau ini.

Konsert ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Coaction Events dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tourism Johor, sekaligus menandakan permulaan perkongsian strategik yang akan berlanjutan sehingga tahun 2026. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan awal bagi menyokong kempen Tahun Melawat Johor 2026.

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru, menyatakan, “Penganjuran konsert bertaraf antarabangsa ini membuktikan kesediaan Johor Bahru sebagai destinasi hiburan bertaraf dunia. Konsert ini bukan sahaja meraikan warisan muzik rock tempatan, tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Johor Bahru sebagai hab acara antarabangsa yang dinamik.”

Sharil Nizam Bin Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor, menambah bahawa konsert ini merupakan pencetus kepada siri acara berkualiti yang bakal dianjurkan menjelang Tahun Melawat Johor 2026. “Kami yakin penganjuran konsert sebegini akan meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.

Ella, yang digelar Ratu Rock Malaysia, menyuarakan keterujaan beliau untuk beraksi di Johor Bahru. “A Night to Remember adalah platform sempurna untuk mengimbau zaman kegemilangan muzik rock Malaysia bersama peminat di selatan tanah air,” ujar beliau. Dalam usaha menambah keceriaan malam tersebut, Ella turut mengajak peminat untuk turut serta dalam tema nostalgia konsert ini: “Ella nak ajak semua peminat datang ke konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia dengan dress up ikut artis kegemaran korang. Tak kisahlah nak jadi Ella sendiri atau artis-artis lain macam Masdo dan Exists. Jom kita sama-sama enjoy malam tu!”

David Bareng, Ketua Eksekutif Coaction Events, menyeru peminat muzik dari seluruh rantau, termasuk Singapura dan Kepulauan Riau, untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert bersejarah ini. “Sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan, membuktikan bahawa semangat rock masih membara di Johor Bahru,” jelasnya.

Maklumat Tiket

  • Tarikh: 14 Disember 2024
  • Tempat: Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru
  • Harga: RM99 – RM399
  • Pembelian tiket: www.ticket2u.com.my

Ella Terajui Konsert “A Night To Remember” Bagi Meriahkan Road To Visit Johor 2026

Johor bakal menjadi tumpuan peminat muzik tanah air apabila konsert bertajuk “A Night To Remember” kembali untuk edisi kedua pada 14 Disember 2024 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor. Konsert ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Road To Visit Johor 2026 dan hasil kolaborasi istimewa dengan Tourism Johor.

Penganjuran konsert ini bertujuan untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang menarik, sekaligus menyokong usaha kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong menjelang tahun 2026.

Kemuncak acara ini adalah persembahan daripada ikon rock negara, Ella, yang akan menerajui konsert tersebut bersama Kugiran Masdo dan Exists. Konsert ini menjanjikan malam yang penuh nostalgia dengan persembahan yang mengagumkan, membawa peminat mengimbau kembali ke era kegemilangan rock tanah air.

David Emir Bareng, Ketua Eksekutif Co:Action Events Sdn Bhd selaku penganjur konsert berkongsi, “A Night to Remember telah menjadi acara yang dinanti-nantikan di mana konsert ini menampilkan barisan artis hebat tanah air kepada para peminat di Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.”

Pengarah Tourism Johor, Tuan Shahril Nizam Abdul Rahim berkata, “Konsert ‘A Night to Remember’ bukan sahaja memeriahkan industri hiburan, tetapi juga membantu mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk acara-acara hiburan bertaraf antarabangsa. Kami bangga dapat menyokong inisiatif yang memperkukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab kebudayaan, kesenian dan pelancongan di rantau ini.”

Ratu Rock Ella menyatakan keterujaannya, “Saya sangat gembira kerana dapat mengakhiri tahun ini dengan mencipta momen indah bersama peminat-peminat saya – Ella’s Gang, terutamanya dari selatan tanah air.”

Peminat berpeluang menyanyi dan menari bersama lagu-lagu rock kegemaran mereka, dan mengimbau kembali kenangan indah zaman dahulu. Lebih istimewa, peminat boleh berpakaian seperti artis kegemaran mereka dan menyertai pertandingan di media sosial untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.

Tiket persembahan telah mula dijual di www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula serendah RM99 sehingga RM399.

Sebagai tambahan, Tourism Johor juga sedang menjalankan kempen untuk meraikan 100 tahun sejak pembinaan jambatan Koswe yang menghubungkan Johor dan Singapura. Kempen ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lancar bagi peniaga dari kedua-dua wilayah tersebut.

Konsert “A Night To Remember” dijangka akan menarik ribuan penonton dari seluruh negara dan rantau, sekaligus memberi impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan Johor, menyokong usaha Road To Visit Johor 2026.