Tag Archives: filem

Filem Werewolf Dari Bangladesh

IMG_8151

Selepas menghasilkan filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Ariabella Sdn Bhd mengambil langkah semakin besar dalam industri filem tanahair dengan Filem Werewolf Dari Bangladesh, yang akan menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 9hb Mac ini.

Dibarisi pelakon-pelakon hebat tanahair seperti Zizan Razak, Usop Wilcha, Emma Maembong, Saiful Apek, dan ramai lagi, Werewolf Dari Bangladesh dihasilkan dengan kos sekitar RM 1.8 juta dan telah menjalani pengambaran sekitar Taiping dan Ipoh, Perak.

Mengulas mengenai filem terbaru ini, pengarah yang tidak asing lagi, Mamat Khalid berkata, “Filem abang kali ni, abang tampilkan sesuatu yang berbeza. Jika kome semua pernah nengok werewolf mat saleh, untuk kali ni, abang bawakan werewolf dari Bangladesh, yang pastinya kome akan ketawa tak kering gusi. Filem ni memang A.”

IMG_8152

“Alhamdullilah, abang bersyukur sebab semua artis berikan kerjasama. Untuk werewolf ni, memang kerja berat. Dengan teknik yamg digunakan dalam menghasilkan filem ni, abang boleh katakan, ini antara filem terbaik abang. Jadi buat peminat filem-filem abang, jangan lupa ke pawagam ya,” tambah Mamat Khalid lagi.

Bagi penerbit, Zairul Azman, Werewolf Dari Bangladesh merupakan satu kolabrasi yang cukup memberi kesan positif, dan diharap mampu membawa penonton ke pawagam apabila ditayang nanti.

di-pawagam
“Saya melihat, kombinasi di antara Mamat Khalid, Zizan Razak, Usop Wilcha juga pelakon-pelakon lain, mampu menjadi satu daya tarikan penonton ke pawagam. Mamat Khalid memang diketahui dengan arahan filem yang cukup memberi kesan dan Zizan Razak dikenali dengan lakonan komedi yang semestinya mencuit hati. Tambahan, ini gandingan pertama kali antara mereka,” kata Zairul pula.

Mula ditayangkan di pawagam pada 5hb Mac 2015, Filem Werewolf Dari Bangladesh, edaran TGV Pictures membariskan pelakon komedia terkemuka tanahair, Zizan Razak, juga Emma Maembong, Usop Wilcha, Saiful Apek dan ramai lagi.

IMG_8145

Sinopsis

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh (Werewolf) bermula kisahnya 20 tahun lalu apabila Mirdu, lakonan Saiful Apek iaitu seorang warga Bangladesh diserang seekor serigala mengakibatkan berlaku perubahan fizikal ke atas dirinya menjadi haiwan berkenaan.

Tidak hanya pada fizikal, tingkah laku Mirdu juga menjadi ganas dan kejam hingga ramai penduduk kampung menjadi korban kerakusannya. Penduduk kampung yang sudah tidak boleh bersabar akhirnya mengambil keputusan membakar rumah Mirdu.

Mirdu yang marah dengan kejadian itu bertindak menggigit dua anak kembar Kumba (Muhamad Ikhwan) dan Kumbi (Muhamad Azwan), sekali gus menyebarkan jangkitan wabak itu sebelum dia ditembak mati.

IMG_8150
Di Malaysia, Usop Wilcha (Shy 8) yang baru berpindah ke kawasan baru bersama Wahab B (Sharwani NS) bertemu dengan Jaynab Ramunggei (Emma Maembong) dan tinggal berjiran serta menjalankan perniagaan bersama-sama di sebuah medan selera.

Pada masa sama, wabak werewolf itu sudah mula merebak di Malaysia.

Kumbi yang kini sudah dewasa juga berada di Malaysia untuk mendapatkan bantuan Jaynab bagi mengembangkan pembiakan baka werewolf, sekali gus melenyapkan spesies manusia di muka bumi.

Bagaimanapun, semua agenda jahat ini sudah lama diketahui Pilun (Zizan Razak) iaitu seorang pekerja asing tanpa izin warga Bangladesh yang bekerja di gerai Usop.

Pilun berkali-kali mencuba untuk memaklumkan kepada Usop mengenai perkara itu tetapi usahanya sering terhalang.

 

 

 

 

Pra Pelancaran Program #MyIndieFilem

IMG_7815

Dunia industri kreatif tempatan, kini menerima nafas baru apabila buat julung kalinya, program mencari kandungan kreatif baru yang segar telah diwujudkan.

#MyIndieFilem, program pencarian kandungan kreatif, yang dibuka kepada seluruh belia di Malaysia, adalah hasil dari kolabrasi di antara Yang Berhormat Dato’ Seri Azalina Othman juga Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Bila diminta mengulas bagaimana tercetusnya idea #MyIndieFilem, Dato’ Azalina Othman berkata, “Industri perfileman tempatan, dalam situasi yang agak suram sejak kebelakangan ini. Jadi saya merasakan, ini adalah peluang dalam membantu menjana semula industri perfileman tempatan, dengan mencari kandungan kreatif yang baru, ditambah pula dengan penglibatan belia, yang merupakan golongan sasaran untuk program ini.”

Bagi Ahmad Idham Ahmad Nadzri, penglibatannya dalam bidang pengarahan cukup dikenali ramai. Dalam jalinan kolabrasi ini, Ahmad Idham bakal menyediakan platform kepada peserta melalui kolejnya, AIFA.

“Tujuan penubuhan AIFA adalah ingin mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang perfileman, jadinya, dengan wujudnya program seperti #MyIndieFilem, ianya bakal membentuk satu simbiosis yang memberi kesan positif kepada pertumbuhan industri kandungan kreatif tempatan, sekaligus memulihkan keyakinan kepada industri perfileman tempatan,” ujar Ahmad Idham ketika ditemui selepas majlis pra pelancaran #MyIndieFilem.

Dalam pada itu, #MyIndieFilem bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Yang Amat BerHormat, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bersetuju untuk menjadi penaung, dan ianya merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna.

Program #MyFilmIndie terbuka kepada belia berumur di bawah 40 tahun, dan mendapat pendidikan formal dalam bidang kreatif juga berpengalaman dalam bidang terbabit.

Acara pada hari ini, merupakan langkah permulaan #MyIndieFilem dalam mencari idea segar dan dinamik industri kandungan kreatif tempatan, sebelum menuju ke pelancaran rasminya, Disember 2014 nanti oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Untuk sebarang maklumat serta syarat penyertaan, boleh hubungi Meen Fadzil 013.774 2007 di Marhaen Productions Sdn Bhd.

“Magical Moment” Lagu Duet Jaclyn Victor Dan Az Yet

tumblr_m3yqllmtJI1qc4fnto1_1280

Bersempena dengan pemasaran filem Bahasa Inggeris Animasi 3D pertama terbitan KRU Studios berjudul “Ribbit” untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, KRU Music dengan bangganya mempersembahkan lagu tema filem tersebut berjudul “Magical Moment” yang dinyanyikan oleh salah satu bintang tersohor Malaysia iaitu Jaclyn Victor dan kumpulan R&B antarabangsa Az Yet!

“Magical Moment” telah dicipta dan digubah oleh Edry Abdul Halim dengan lirik nukilan ahli kumpulan Az Yet sendiri yang terdiri daripada Dion Allen, Shawn Rivera, Kenny Terry dan Claude Thomas. Ini merupakan satu lagi titik kejayaan buat Jaclyn Victor sejak bernaung dibawah KRU Music pada Januari 2012. Jac, pemenang AIM Persembahan Vokal Wanita Terbaik baru-baru ini; begitu teruja kerana dapat berpadu suara dengan artis berkumpulan bertaraf antarabangsa.

“Saya sangat terharu bila diberikan peluang ini kerana saya tidak sangka dapat merakamkan lagu dengan sebuah artis berkumpulan antarabangsa yang sangat disegani dan saya harap semua orang akan menyukai lagu ini.” jelas Jaclyn Victor.

Ini juga merupakan lagu Bahasa Inggeris pertama buat Jac yang dirakam bersama KRU Music selepas merakamkan dua buah lagu Melayu iaitu “Sebelah Jiwaku” “Jagalah Diri” dan “Ikut Rentakku” sebelum ini. Bagi kumpulan Az Yet pula, ini adalah satu kemunculan semula yang dinanti-nantikan peminat bukan saja di Asia tetapi juga di seluruh dunia.

IMG_0844

Az Yet pernah merakamkan sebuah album pada tahun 1996 dibawah LaFace Records. Album tersebut menampilkan nama-nama terbesar industri muzik Amerika seperti David Foster, Babyface, Sheila E. dan Brian McKnight. Single pertama mereka, “Last Night,” mencapai tempat ke sembilan di carta US Hot 100, nombor satu di carta R&B, nombor dua di carta ARIA Australia dan menduduki tempat pertama selama dua minggu di carta RIANZ di New Zealand, sehingga mendapat pingat platinum di Amerika Syarikat. Single kedua mereka , “Hard to Say I’m Sorry” (nyanyian semula lagu asal kumpulan Chicago), dicalonkan untuk anugerah Grammy (kategori Persembahan vokal R&B berkumpulan terbaik), mencapai tempat kelapan di carta Hot 100, dan turut mendapat penghargaan peringkat platinum. Dengan kejayaan kedua-dua lagu tersebut, album itu mendapat pingat multi-platinum RIAA (Persatuan Industri Rakaman Amerika).

Filem animasi “Ribbit” akan dilpasarkan pada bulan September 2014 dan menampilkan suara bintang-bintang antarabangsa ternama seperti Sean Astin dari filem Lord of The Rings, Tim Curry serta Russell Peters.