Tag Archives: Hans Isaac

Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’

Selepas Maharaja Lawak Mega musim ini melabuhkan tirainya, keriuhan dan gelak tawa yang bergema pada setiap Jumaat malam akan terus dihidupkan dengan sebuah program variasi hiburan komedi baharu, ‘Konsert Komedi’. ‘Konsert Komedi’ yang memperlihatkan penglibatan lapan pemain komedi popular tanah air ini akan mula menggeletek hati penonton mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.

Program Konsert Komedi bakal menyaksikan persembahan nyanyian eksklusif yang diselangi dengan sketsa oleh pemain komedi baik solo mahupun berkumpulan bersama selebriti undangan mereka selama satu jam. Berdurasi sebanyak lapan episod, program ini akan bersiaran secara langsung bagi episod pertama dan kedua manakala episod selebihnya merupakan episod rakaman yang dibuat di Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Istimewanya program ini, setiap pemain komedi diberi kebebasan penuh untuk mencorak sendiri persembahan nyanyian dan sketsa yang dipentaskan mengikut daya kreatif serta cara mereka sendiri. Setiap persembahan pula akan diiiringi oleh live band iringan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Lapan pemain komedi yang akan mengemudi program ini terdiri daripada Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Awie yang bergabung di bawah nama kumpulan ‘Baik Punya Cilok’, ‘Shiro’, ‘Zero’, ‘Bocey’, ‘Nabil’, ‘Sepahtu’, ‘Dato’ AC Mizal’ dan kemunculan semula kumpulan lawak otai yang dirindui semua peminat tegar komedi di Malaysia iaitu ‘Senario’ yang dianggotai oleh Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yasin, Ilya dan Hamdan.

Setiap daripada mereka turut mengundang selebriti pilihan mereka sendiri bagi memeriahkan lagi episod masing-masing. Antara selebriti undangan yang memeriahkan program ini adalah Erra Fazira, Ella, Stacy, Siti Nordiana, Indah Ruhaila, Misha Omar dan ramai lagi. Beberapa nama yang sudah lama berada dalam industri seni turut turun padang menyokong program ini seperti kumpulan yang popular dengan lagu Fiona; 4U2C, Datuk Zainal Abidin, Datuk Chef Wan dan Ramlah Ram.

Ayuh kita saksikan program hiburan komedi terbaharu, ‘Konsert Komedi’ yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand. Selamat menonton!

Filem Nota Gandingkan Maya Karin Dengan Hans Isaac

Filem Nota merupakan filem pertama terbitan 42nd Pictures. Filem ini dibintangi oleh Maya Karin dan Hans Isaac Ia adalah sebuah filem yang mempamerkan keindahan alam semulajadi negeri Sarawak. Di samping lokasi pengambaran yang menarik di Taman Negara Bako, ia juga memperlihatkan gaya kehidupan dan budaya di negeri Sarawak. Lokasi istimewa ini akan mampu menarik minat orang ramai untuk melancong ke negeri Sarawak.

Nota Poster

Tempoh penggambaran filem ini mengambil masa selama 26 hari bermula dari April sehingga Mei 2013. Di samping itu juga terdapat babak-babak menarik yang di rakam dengan menggunakan helikopter.

Filem Nota mengisahkan Kamal dan Erin adalah sepasang suami isteri yang telah lama menghadapi masalah rumah tangga kerana gagal untuk mendapatkan zuriat, akibatnya mereka jarang berkomunikasi. Ketika ulangtahun perkahwinan yang ke-10, mereka memilih untuk bercuti ke Taman Negara Bako di mana Kamal telah melamar Erin, 10 tahun yang lalu. 

HANS&MAYA

Ketika perjalanan mereka ke Bako, Erin tak sengaja terjumpa nota yang ditulis Kamal yang membayangkan dia akan mengakhiri semuanya di puncak tebing. Erin berasa sangat bersalah dengan situasi berkenaan. Selepas itu Erin mendapat tahu bahawa Kamal mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan sekarang ini telah mengandung anak Kamal.

Dalam keadaan sedih dan tertekan, antara cinta dan benci, Erin merancang satu pembunuhan dengan menggunakan nota itu menjadi bukti yang kuat untuk dirinya. Rancangannya tergendala dengan kehadiran Jemat, seorang pembawa bot yang membawa mereka ke kawasan Taman Negara Bako.

vlcsnap-2015-06-02-10h14m26s17

Filem Nota bakal ditayangkan di pawagam pada 13 Ogos 2015 ini. Ia membariskan pelakon handalan tanahair seperti Maya Karin, Hans Isaac, arwah Ramli Hassan dan Rin Izumi. Pihak produksi mendedikasikan filem ini khas buat arwah Ramli Hassan sebagai mengenang filem lakonan terakhir beliau. Jangan lupa saksikan filem arahan Yasu Tanaka, genrenya ialah ‘phychological thriller’, misteri dan jenayah.

Lawak Ke Der 2015

IBC_2935 copy‘Lawak Ke Der’ merupakan persembahan komedi yang telah diperkenalkan sejak tahun 2012 lagi. Lawak Ke Der 2015 adalah produksi keempat susulan daripada ‘Lawak Ke Der?’, ‘Lawak Ke Der 2’ dan ‘Lawak Ke Der 3’.

 

Seperti setiap siri Lawak Ke Der yang lalu, Lawak Ke Der 2015 juga akan mengekalkan mutu persembahan setiap pelawak yang ditampilkan. Ini akan dipastikan oleh pengarah persembahan iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Hans Isaac.

Lawak Ke Der sememangnya dikenali sebagai persembahan komedi yang berkualiti. Antara pelawak yang pernah membuat persembahan dengan Lawak Ke Der setakat ini adalah Johan, Zizan, Kumpulan Osbon, Harun Salim Bachik, Ahmad Nabil, Kumpulan Jambu dan Kuah Jenhan.

Tahun ini, penonton pasti akan terhibur dengan persembahan yang akan disajikan oleh pelawak-pelawak terbaik negara :

Harith Iskander – Bakatnya dalam bidang komedi tidak dapat disangkal lagi, sehingga dia digelar sebagai The Godfather of Malaysian Stand-Up Comedy. Jika selalunya Harith dilihat membuat persembahan dalam Bahasa Inggeris, dengan Lawak Ke Der penonton akan dihiburkan dengan cerita-cerita lucunya yang disampaikan dalam Bahasa Malaysia.

Afdlin Shauki – Sebelum terkenal dengan persembahan komedi secara berkumpulan, Afdlin merupakan seorang stand-up comedian. Ramai yang mengenali Afdlin sebagai seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan pemuzik. Lawak Ke Der 2015 menjemput anda semua untuk mengenali Afdlin Shauki sebagai seorang pelawak solo.

Douglas Lim – Ramai yang sering lupa bahawa Douglas Lim sudah mewarnai industri hiburan tanahair sejak tahun 1998 lagi menerusi sitkom ‘Kopitiam’. Sejak dari itu, Douglas membuktikan bakatnya yang pelbagai. Kini, Douglas bergelar pengarah, pelakon, pelakon muzikal, penyanyi, pencipta lagu, penulis dan pelawak sepenuh masa. Ini kali ke-3 Douglas akan menjayakan persembahan Lawak Ke Der.

Bocey – Kumpulan ini dianggotai Acey (Juara Bintang Mencari Bintang 2013) serta Fard & Abam (Naib Juara Bintang Mencari Bintang 2013). Walaupun mula berkecimpung dalam bidang komedi secara berasingan, mereka berjaya disatukan menjadi sebuah kumpulan komedi yang baik. Ini terbukti apabila mereka memenangi tempat ketiga dalam Maharaja Lawak Mega 2013 dan tempat kelima dalam Maharaja Lawak Mega 2014.

Selain daripada nama-nama besar di atas, Lawak Ke Der 2015 akan memperkenalkan seorang bakat baru yang bernama Rayza Mukmin. Namanya mungkin tidak anda kenali, namun selepas menonton Lawak Ke Der 2015, perhatian anda pasti akan beralih ke pelawak muda yang kaya dengan ide segar ini.

LAWAK KE DER 2015 akan bertemu anda di Istana Budaya pada 16 April sehingga 19 April(persembahan pada jam 8.30 malam pada setiap hari/persembahan jam 3 khusus untuk hari Sabtu dan Ahad sahaja). Harga tiket adalah RM56, RM86, RM126, RM156 dan RM176.

Sila layari www.ticket2u.biz untuk pembelian tiket atau hubungi 03 4253 2241.

BAIK PUNYA CILOK Dipentaskan Di Istana Budaya

IMG_8955Pada awal bulan Mac 2015, sebuah undian telah dijalankan dimana orang ramai diberi pilihan untuk menentukan filem apakah yang patut dijadikan persembahan pentas di Istana Budaya. Antara filem yang tercalon dalam undian adalah filem Pontianak vs Orang Minyak, Baik Punya Cilok, Lemak Kampung Santan, Papadom, Sumolah dan Buli.

Keputusan menunjukkan yang rata-rata peminat filem dan peminat teater ingin melihat Baik Punya Cilok, arahan Afdlin Shauki pada tahun 2005, dibawa ke pentas teater, sewajar dengan ulangtahun ke-10 filem tersebut.

Seperti filemnya, Teater Baik Punya Cilok akan mempertemukan semula watak Aben (Afdlin Shauki), Bob (Awie), Jerry (Hans Isaac) dan Wak (Datuk AC Mizal) di atas satu pentas.

IMG_8968Afdlin Shauki yang merupakan penulis dan pengarah asal juga akan memikul tanggungjawab yang sama untuk pementasan ini. Elemen komedi dan intipati yang terdapat dalam filem akan dikekalkan di dalam produksi teater Baik Punya Cilok. Kelainan yang akan ditampilkan adalah elemen muzikal yang akan disuntik di dalam pementasan ini. Pengarah muzik yang akan menjayakan teater ini adalah Pacai.

Teater Baik Punya Cilok akan berlangsung dari 25 April 2015 sehingga 1 Mei 2015 di Istana Budaya.

Harga tiket bermula dari RM56, RM85, RM110, RM140, RM160, RM190.

Promosi istimewa sehingga 1 April 2015 : Jika anda membeli tiket ‘Teater Baik Punya Cilok’ DAN ‘Lawak Ke Der 2015’, tiket untuk setiap persembahan akan diberi diskaun sebanyak 20%!

Tiket boleh dibeli di laman www.ticket2u.biz, di kaunter box-office Istana Budaya atau boleh hubungi talian03 4253 2241.

IMG_8952SINOPSIS RINGKAS

Kisah lucu 4 orang sahabat, Aben, Bob, Jerry dan Wak yang berpakat untuk merompak Tauke Wong, seorang tauke kedai pajak, bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul. Menyedari nilai keronsang itu begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang tersebut, lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak tidak mampu membayarnya.

Dalam keadaan yang terdesak, 4 sahabat itu merancang untuk merompak Tauke Wong, hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang tersebut. Lagaknya seperti Robin Hood abad baru. Leman mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu. Sahabat yang lain tidak bersetuju dengan ide Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati, mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa. Namun, Leman kemudiannya telah menarik diri di saat akhir.

Rancangan harus diteruskan dan persiapan rapi diatur. Setelah melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba bagi membuktikan kejantanan mereka. Tanpa diduga, kejutan telah menanti mereka di kedai Tauke Wong. Kedai tersebut telahpun dirompak terlebih dahulu oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya. Dengan sarung kaki wanita sebagai topeng dan timun serta terung yang dibalut bagi menampakkan seperti senjata, mereka telah ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong, atas cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada di dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri. Kawan-kawan yang berada di lokap mula mencurigai Jerry. Ini kerana Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.

Hans dan Ac Mizal Berdamai Selepas 8 Tahun

IMG_8973Selepas lapan tahun berlalu, teater Baik Punya Cilok menjadi pentas penyatuan semula persahabatan antara pelakon dan penebit, Hans Isaac dengan pengacara popular, Datuk AC Mizal.

Kedua sahabat baik ini mengambil haluan masing-masing selepas berlakunya perselisihan faham sejak teater Cuci The Muzikal 2 yang pernah dipentaskan pada tahun 2011.

Kata AC, kematangan membuatkan mereka kini bersedia untuk menjalinkan semula persahabatan.”Pada mulanya saya terfikir sama ada Hans sudi untuk berbaik semula selepas apa yang berlaku.

Namun, saya bersyukur dia sendiri mempunyai rasa yang sama untuk kami berbaik semula. Saya tak sangka dia dengan rendah diri meminta maaf dan kami berbaik semula,” katanya ketika di temui pada sidang media Teater Baik Punya Cilok bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur, hari ini.

IMG_8971Dalam pada itu, Hans juga menyatakan sejak dua tahun lalu dia mula berpegang pada prinsip memaafkan dan tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa walaupun orang itu adalah individu itu mahu menegur atau tidak suka dengannya.

“Sejak dua tahun lalu saya sudah mula berpengang pada prinsip saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa tak kiralah sama ada orang itu suka atau tidak pada saya.

“Di atas prinsip ini sudah tiba masanya untuk saya bertemu AC dan kami berbincang. Tambahan Awie dan Afdlin memberi sokongan.”Saya pun rindukan momen kami berempat bersama kembali macam dulu,” katanya yang turut meluahkan rasa syukur kerana persengketaan mereka telah terlerai.

Sementara itu, gandingan empat sahabat iaitu Hans, AC, Afdlin dan Awie akan menjayakan teater Baik Punya Cilok yang akan dipentaskan pada 25 April sehingga 1 Mei nanti di Istana Budaya.

Harga tiket bermula dari RM55, RM85, RM110, RM140, RM160 dan RM190.

*Sumber – MalaysianDigest