Tag Archives: HARO Sports

2026 AUTOBACS SUPER GT DITUNDA, KRISIS GLOBAL JEJAS PERLUMBAAN

Harapan peminat sukan permotoran tempatan untuk menyaksikan aksi berprestij akhirnya terpaksa ditangguhkan apabila SUPER GT Malaysia ditunda, sekali gus memberi tamparan kepada kalendar acara antarabangsa di negara ini.

Perlumbaan “2026 AUTOBACS SUPER GT Round 3 Malaysia GT 300km Race driven by TOYOTA GAZOO RACING” yang dijadualkan berlangsung tahun ini kini rasmi ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

KRISIS GLOBAL BERI IMPAK BESAR
Keputusan ini dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dunia, termasuk konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Sebagai satu-satunya pusingan luar Jepun dalam kalendar SUPER GT, Malaysia menerima kesan paling besar dari sudut logistik dan operasi.

Keadaan ini menyebabkan perancangan acara menjadi semakin kompleks dan berisiko untuk dilaksanakan mengikut standard antarabangsa.

selebritionline portal hiburan

KOS OPERASI MENINGKAT MENDADAK
Selain faktor geopolitik, peningkatan kos penghantaran antarabangsa dan perjalanan udara turut menjadi cabaran utama.

Kos yang semakin tinggi memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk memastikan acara dapat dijalankan dengan kualiti terbaik tanpa menjejaskan pengalaman pasukan dan peminat.

Situasi ini menjadikan penangguhan sebagai langkah paling rasional buat masa ini.

KOMITMEN UNTUK KEMBALI LEBIH BESAR
Pihak penganjur menegaskan bahawa keputusan ini bukan sesuatu yang diinginkan, namun perlu dilakukan demi menjaga standard kejohanan.

“Ini bukan seperti yang kami rancangkan, namun kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk rakan penaja, media dan peminat atas sokongan yang berterusan,” jelas wakil penganjur.

Mereka turut memberi jaminan bahawa perlumbaan ini akan kembali ke Malaysia dengan skala lebih besar apabila keadaan kembali stabil.

PEMINAT MASIH MENANTI KEMBALI SUPER GT
Walaupun berita ini mengecewakan ramai pihak, harapan untuk melihat kembalinya SUPER GT di Malaysia masih kekal.

Kerjasama antara penganjur tempatan dan pihak antarabangsa akan terus diperkukuh bagi memastikan acara ini dapat dianjurkan semula dalam keadaan lebih stabil dan selamat.

Sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.

SUPER GT MALAYSIA 2025 TARIK 75,977 PEMINAT DI SEPANG

SEPANG, 1 JULAI 2025SUPER GT Malaysia 2025 mencipta kejutan apabila seramai 75,977 peminat membanjiri Litar Antarabangsa Sepang pada 27 dan 28 Jun 2025, menjadikannya antara acara permotoran paling berjaya di Malaysia dalam dekad ini.

Acara ini menandakan kemunculan semula perlumbaan GT paling berprestij dari Jepun, iaitu AUTOBACS SUPER GT, ke Malaysia selepas 12 tahun. Ia dianjurkan oleh HARO Sports & Entertainment, selaku pemegang hak dan penganjur rasmi, dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Tourism Selangor sebagai sebahagian daripada sambutan Visit Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2025.

Menurut Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan HARO, “Kami sangat berterima kasih kepada semua peminat tempatan dan antarabangsa yang memberi sambutan luar biasa. Perbincangan sedang dijalankan bersama GT Association (GTA) untuk menjadikan Malaysia sebagai venue tetap luar negara untuk SUPER GT sehingga tahun 2027.”

Acara ini bukan sekadar perlumbaan tetapi disusun sebagai festival mesra keluarga yang menampilkan:

  • Konsert GT Live!
  • Festival budaya & makanan Jepun
  • Autoshow & pameran automotif
  • Jualan cenderamata eksklusif

Antara sorotan utama ialah pengumuman wildcard Malaysia bagi kelas GT500 pada 2026 serta kejayaan dua wakil negara, Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, yang beraksi dalam kelas GT300 bersama EBM-GIGA Racing Team.

Kemuncak festival turut menyaksikan pemenang bertuah, Au Tzi Hua, membawa pulang Toyota GR Supra Manual bernilai RM650,000 melalui cabutan tiket yang dibeli menggunakan Mastercard, rakan pembayaran rasmi acara ini.

GT500 ialah kemuncak sukan permotoran SUPER GT. Kami sedang berbincang untuk mengenal pasti barisan pemandu dan pengeluar yang bakal mewakili Malaysia,” tambah Fahrizal.

Dengan kejayaan besar tahun ini, semua mata kini tertumpu ke SUPER GT Malaysia 2026, yang dijangka lebih besar dan penuh aksi.