Tag Archives: Inteam

MALAM DARI KASIH KE EHSAN SASAR KUTIPAN RM1 JUTA UNTUK MISI KEMANUSIAAN

Global Ehsan Relief bakal menganjurkan Malam Dari Kasih Ke Ehsan pada 14 Ogos 2026 di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi menyokong pelbagai projek kemanusiaan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di Malaysia dan luar negara.

Program makan malam amal itu akan menghimpunkan para penderma, wakil korporat, agensi kerajaan, rakan strategik dan masyarakat umum dalam usaha memperluaskan impak bantuan yang telah dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief sejak lebih sedekad lalu.

MALAM DARI KASIH KE EHSAN TAMPIL DENGAN PENGISIAN INSPIRASI

Acara berprestij ini bakal diserikan dengan persembahan khas daripada Inteam, selain perkongsian pengalaman dan inspirasi daripada barisan duta Global Ehsan Relief Malaysia iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin).

Majlis tersebut turut dihoskan oleh Fedtri Yahya yang akan membawa para hadirin menyelami pelbagai kisah kemanusiaan serta impak bantuan yang telah mengubah kehidupan ribuan penerima manfaat.

Menurut Pengarah Program, Suffi Shukor, program ini bukan sekadar makan malam amal biasa tetapi sebuah platform untuk masyarakat melihat sendiri bagaimana setiap sumbangan diterjemahkan kepada bantuan yang memberi kesan besar kepada mereka yang memerlukan.

Malam Dari Kasih Ke Ehsan anjuran Global Ehsan Relief di Kuala Lumpur

LEBIH 815,000 PENERIMA MANFAAT DIBANTU MELALUI MISI KEMANUSIAAN

Antara perkongsian utama yang bakal diketengahkan ialah pengalaman Ustaz Hanafiah Abdul Malek yang terlibat secara langsung dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan di negara-negara yang dilanda konflik.

“Sejak tahun 2017 kami menyampaikan bantuan kecemasan musim sejuk kepada pelarian Syria khususnya di kawasan sempadan Turki. Alhamdulillah, selain menyampaikan bantuan kemanusiaan, kami juga berjaya membina lebih daripada empat buah masjid di Syria.

Bantuan yang diberikan bukan sekadar menyelamatkan nyawa, malah membantu bayi, kanak-kanak dan keluarga yang berdepan kebuluran serta kehilangan tempat bergantung akibat peperangan.

Sehingga hari ini, lebih 815,000 penerima manfaat telah menerima bantuan melalui program bantuan musim sejuk yang dilaksanakan di Gaza, Syria, Jordan, Lubnan, Turki, Yaman dan Pakistan.”

Beliau berkata setiap bantuan yang disalurkan bukan sahaja memberi kelegaan kepada mangsa konflik, malah membawa harapan baharu kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat peperangan.

PROGRAM UMRAH ANAK YATIM JADI TUMPUAN

Selain bantuan kecemasan, Global Ehsan Relief turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan anak yatim menerusi program tajaan berterusan yang kini melibatkan ribuan penerima manfaat.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, program tersebut bukan sekadar bantuan sekali beri tetapi melibatkan pemantauan berkala, pendidikan, keperluan asas dan pembangunan masa depan anak-anak yatim.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah pengurusan anak yatim yang dilakukan oleh Global Ehsan Relief. Ia bukan sekadar bantuan one-off. Anak-anak ini didaftarkan, dipantau secara berkala dan kebajikan mereka terus dijaga.

Kesan bantuan itu bukan hanya kepada anak yatim, tetapi seluruh keluarga mereka. Saya sendiri melihat bagaimana ibu mereka menangis mengucapkan terima kasih kerana bantuan yang diterima telah mengubah kehidupan keluarga mereka.

Sehingga kini, lebih 9,454 penerima manfaat telah dibantu melalui program anak yatim yang dilaksanakan.

Kita bukan sahaja mahu menyediakan makanan dan pendidikan kepada mereka, tetapi memberi peluang sekali seumur hidup untuk mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci.”

Beliau turut memaklumkan bahawa menerusi kempen Malam Dari Kasih Ke Ehsan, pihaknya menyasarkan untuk membawa 1,000 anak yatim dari Palestin, Syria, Jordan dan Yaman menunaikan ibadah umrah pada masa hadapan.

Malam Dari Kasih Ke Ehsan anjuran Global Ehsan Relief di Kuala Lumpur

PU AMIN SERU KORPORAT SOKONG MISI KEMANUSIAAN

Turut berkongsi pandangan ialah PU Amin yang menegaskan bahawa kejayaan pelbagai program kemanusiaan Global Ehsan Relief adalah hasil tadbir urus yang telus serta sokongan berterusan rakyat Malaysia dan sektor korporat.

“Alhamdulillah, lebih 815,449 penerima manfaat telah dibantu melalui pelbagai program kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief.

Apa yang paling penting ialah setiap sumbangan yang diterima diuruskan melalui tadbir urus yang telus dan dipantau oleh pihak berautoriti.

Melalui sokongan rakyat Malaysia, lebih 32.8 juta liter air bersih berjaya disalurkan kepada rakyat Gaza. Ini membuktikan bahawa setiap sumbangan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.”

Beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat dan organisasi hadir ke Malam Dari Kasih Ke Ehsan bagi melihat sendiri pencapaian serta impak pelbagai program kemanusiaan yang telah dilaksanakan oleh organisasi tersebut.

INTEAM BAWA MESEJ KASIH DAN KEMANUSIAAN

Kumpulan nasyid terkenal Inteam yang bakal membuat persembahan pada Malam Dari Kasih Ke Ehsan menyifatkan penglibatan mereka dalam program tersebut sebagai sesuatu yang cukup dekat dengan identiti kumpulan itu yang banyak menghasilkan karya bertemakan kasih sayang dan kemanusiaan.

“Nama Inteam sendiri sangat dekat dengan perkataan kasih. Banyak lagu kami membawa mesej kasih sayang dan nilai kemanusiaan.

Sebab itu apabila dijemput menjayakan Malam Dari Kasih Ke Ehsan, kami melihat ia sebagai satu usaha yang sangat bertepatan dengan perjuangan yang kami bawa selama ini.

Pada malam itu nanti kami akan mempersembahkan enam buah lagu termasuk lagu-lagu pilihan peminat serta beberapa lagu bertemakan kemanusiaan yang diharap dapat menambahkan lagi penghayatan dan semangat untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.”

SASARAN KUTIPAN RM1 JUTA UNTUK PERLUASKAN MISI KEMANUSIAAN

Melalui Malam Dari Kasih Ke Ehsan, pihak penganjur menyasarkan kutipan dana keseluruhan sebanyak RM1 juta bagi memastikan pelbagai projek kemanusiaan dan kebajikan dapat diteruskan secara berterusan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500,000 disasarkan menerusi penjualan meja kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, organisasi dan individu yang ingin menyokong usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Global Ehsan Relief.

Sebanyak 500 tempat duduk disediakan untuk acara berkenaan yang dijangka menghimpunkan penyumbang, rakan strategik, tokoh korporat serta individu yang prihatin terhadap isu kemanusiaan global.

Dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan untuk menyokong Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk, Program Anak Yatim, Projek Umrah Anak Yatim serta pelbagai inisiatif kemanusiaan lain yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

PENGALAMAN UNIK GABUNGKAN NASYID DAN TAUSIAH

Berbeza daripada kebanyakan majlis makan malam amal, Malam Dari Kasih Ke Ehsan dirancang sebagai sebuah pengalaman yang menggabungkan elemen hiburan, perkongsian ilmu dan kesedaran kemanusiaan dalam satu platform.

Program akan berlangsung dari 8 malam hingga 12 tengah malam, manakala pendaftaran tetamu dibuka seawal 6 petang bagi memberi ruang kepada para hadirin menunaikan solat Maghrib dan menjalinkan hubungan bersama rakan strategik yang hadir.

Sepanjang acara berlangsung, persembahan daripada Inteam akan diselang-selikan dengan sesi tazkirah dan tausiah oleh Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan PU Amin.

Pendekatan ini dipilih bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada para tetamu supaya mereka dapat memahami dengan lebih dekat realiti kerja-kerja kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief di pelbagai negara.

Melalui gabungan persembahan nasyid, perkongsian pengalaman lapangan dan kisah-kisah sebenar penerima bantuan, para hadirin bukan sahaja menikmati sebuah acara eksklusif tetapi turut berpeluang melihat sendiri impak sumbangan yang telah disalurkan kepada golongan memerlukan.

TIKET KINI DIBUKA UNTUK ORANG RAMAI

Orang ramai yang ingin menghadiri Malam Dari Kasih Ke Ehsan boleh mendapatkan tiket bermula hari ini melalui saluran rasmi penganjur.

Harga tiket individu ditawarkan bermula daripada RM175, manakala pakej meja untuk syarikat korporat, agensi kerajaan dan rakan strategik ditawarkan pada harga antara RM5,000 hingga RM25,000 serta layak menikmati pelepasan cukai.

Penganjuran Malam Dari Kasih Ke Ehsan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara sektor korporat, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia.

KONSERT NASYID MEGA 2026 HIMPUNKAN NAMA BESAR DI SHAH ALAM

Gelombang nasyid tanah air kembali meletup apabila Konsert Nasyid Mega 2026 bakal menghimpunkan nama-nama besar dalam satu malam penuh emosi dan spiritual di Shah Alam. Dengan hanya 800 tempat duduk, acara ini sudah mula mencuri perhatian peminat dan dijangka ‘sold out’ lebih awal.

Konsert ini merupakan gabungan unik hiburan patuh syariah, dakwah dan misi kebajikan, menjadikannya bukan sekadar persembahan muzik biasa tetapi satu pengalaman rohani yang mendalam.

Konsert Nasyid Mega 2026 di SAMTTAJ Shah Alam

BARISAN ARTIS LAGENDA KEMBALI SATU PENTAS

Antara tarikan utama adalah kemunculan semula kumpulan legenda seperti Hijjaz, Inteam dan The Rayhan, yang sebelum ini jarang berkongsi pentas dalam satu acara berskala besar.

Turut memeriahkan malam tersebut ialah Qathrunnada, bersama penampilan khas Adik Nur Muhammad yang dijangka mencuri tumpuan penonton.

Lebih menarik, konsert ini juga menampilkan figura inspirasi seperti FBI, Fynn Jamal dan Ustaz Nadzrie Abbas, yang akan membawa elemen motivasi serta pengisian dakwah sepanjang program berlangsung.

Konsert Nasyid Mega 2026 di SAMTTAJ Shah Alam

KONSEP HIBURAN + KEBAJIKAN JADI TARUHAN UTAMA

Mengangkat tema “Spread Kindness, Achieve Excellence”, konsert ini dianjurkan oleh PIBG SAMT Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) bersama DPIM Putrajaya.

Objektif utama adalah menyampaikan mesej kebaikan melalui pendekatan hiburan yang mendidik, sambil menyokong usaha kebajikan dan pembangunan komuniti.

Konsep ini menjadikan konsert ini lebih ‘bernilai’ berbanding konsert biasa—ada jiwa, ada mesej, ada sebab.

Konsert Nasyid Mega 2026 di SAMTTAJ Shah Alam

INFO ACARA & TIKET TERHAD

Konsert akan berlangsung pada 4 Julai 2026 (Sabtu), dari jam 8.30 malam hingga 11.59 malam, bertempat di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMTTAJ, Shah Alam.

Dengan kapasiti hanya 800 tempat duduk, orang ramai disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi yang disediakan penganjur.

Konsert ini dijangka menjadi antara acara nasyid terbesar tahun ini—bukan sekadar hiburan, tetapi satu gerakan menyatukan komuniti melalui muzik dan dakwah.

Pertubuhan Peduli Insan Malaysia Teruskan Misi Bantuan Musim Sejuk Tahun 2022

Pertubuhan Kemanusiaan, Peduli Insan meneruskan misi bantuan musim sejuk tahun 2022 yang mensasarkan tiga negara iaitu, Syria, Palestin dan Yaman.

Pengerusi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) Ustaz Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan  dalam kenyataan hari ini berkata melalui Ikon Kemanusiaan mereka, Inteam, berjaya mengumpulkan dana bantuan untuk Syria sebanyak RM1,025,252.75 sepanjang tahun 2022.

“Dana yang terkumpul itu telah dimanfaatkan kepada 10,000 pelarian Syria sepanjang tahun 2022 di dalam bentuk bantuan berupa kit makanan, membaik pulih khemah, pendidikan, bantuan kecemasan serta alat pemanas dan bahan bakar yang amat penting untuk mengharungi musim sejuk,” katanya.

Inteam yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Lagu & Muzik Video Selimut Kasih menzahirkan rasa syukur di atas sokongan peminat yang turut sama menyumbang bagi membantu pelarian Syria berharap agar kerjasama yang terjalin bersama Peduli Insan ini dapat diteruskan dengan usaha yang pelbagai di masa hadapan yang mampu memberikan impak positif melalui nilai kreatif. Lagu Selimut Kasih telah tercalon di dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) pada September lalu.

“Alhamdulillah Inteam telah menghasilkan sebuah lagu berjudul Selimut Kasih yang menceritakan keperitan hidup sebagai seorang pelarian melalui bait lirik tulisan yang diilhamkan oleh air tangan Fedtri Yahya. Muzik video lagu ini juga dirakamkan ketika Inteam menyertai misi kemanusiaan Musim Sejuk Syria bersama Peduli Insan pada awal tahun ini,” kata Syah selaku ketua kumpulan dan pencipta lagu Selimut Kasih.

“Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di kem pelarian Syria yang terletak di kawasan utara Syria di mana Inteam dapat melihat dan merasai sendiri kesusahan dan penderitaan yang dialami pelarian menjadikan kami semakin menghayati tiap bait lirik lagu ini,” kata Hazamin pula.

Melihat kepada muzik video yang dikongsikan secara rasmi buat pertama kali kepada pihak media, jelas menimbulkan rasa simpati terhadap pelarian Syria yang hilang segalanya dalam sekelip mata akibat dari kesan peperangan dan krisis ini telah berlanjutan sehingga hampir 12 tahun.

Dalam pada itu, Inteam berharap melalui lagu Selimut Kasih ini mampu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk terus membantu pelarian Syria serta pelarian yang menghadapi nasib serupa di Palestin dan Yaman. Pengerusi Peduli Insan juga menzahirkan rasa terima kasih kepada semua kumpulan media yang telah menyokong kempen-kempen kemanusiaan yang dilaksanakan Peduli Insan dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya nilai ihsan demi insan dapat diterapkan kepada masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan pelarian Syria, Palestin dan Yaman boleh menyumbang ke dalam akaun rasmi Bank Islam 0704 3011 06 2019 di atas nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.

INTEAM Lancar Kempen #CABARAN12JAMSYRIA

Baru-baru ini Ikon Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Inteam telah pun bertolak ke Syria bagi menyertai Kempen Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Syria Siri 10. Inteam, yang diwakili oleh Hazamin, Rahim dan Syahril telah melancarkan kempen Cabaran 12 Jam Syria pada 18 Febuari 2022 di mana mereka akan cuba tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian yang terletak di wilayah utara Syria dan merasai sendiri suasana cuaca yang sejuk dan sukar di sana.

“Cabaran 12 Jam Syria adalah inisiatif bersama di antara Pertubuhan Peduli Insan Malaysia dan Inteam untuk berkongsi secara telus dan terus tentang realiti kehidupan sebagai seorang pelarian di Syria.” ujar Syahril merangkap ketua kumpulan Inteam.

“Cabaran ini bermula dari pukul 11 pagi sehingga 11 malam waktu tempatan melalui siaran secara langsung (Facebook LIVE) di akaun rasmi Facebook Inteam @officialinteam dan cabaran ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM1,000,000.”

“Sumbangan yang bakal terkumpul semasa cabaran ini akan disalurkan terus di dalam pelbagai bentuk bantuan seperti bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, selimut dan set pakaian musim sejuk kepada 100,000 pelarian Syria.”

Hazamin yang pernah mengikuti Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk bersama Peduli Insan di Syria pada tahun lepas turut menyatakan kesyukuran kerana tahun ini anggota Inteam yang lain turut dapat sama-sama menyertai misi kali ini dan akan melihat sendiri situasi kesukaran di kem-kem pelarian di Syria.

Beberapa selebriti tanah air juga akan turut menyertai Cabaran 12 Jam Syria sebagai tetamu istimewa secara atas talian seperti Dr. Fitri Haris, Mawi, Hafiz Hamidun, Fedtri Yahya, Dato’ Sri Mahadi, Bob Lokman, Ustaz Syamsul Debat dan ramai lagi. Ini adalah tanda solidariti serta sokongan terhadap krisis yang dihadapi oleh pelarian Syria yang telah berlarutan selamahampir 11 tahun.

Serentak dengan Cabaran 12 Jam Syria ini juga, Inteam akan turut melancarkan single terbaru kerjasama dengan Pertubuhan Peduli Insan Malaysia berjudul Selimut Kasih. Single ini akan berada di platform-platform digital manakala muzik videonya akan turut dirakamkan di beberapa lokasi di Syria.

“Kami sangat berharap semua pihak tampil menyatakan sokongan terhadap pelarian-pelarian Syria dengan berkongsi maklumat mengenai kempen ini melalui sosial media dengan menggunakan tanda pagar #Cabaran12JamSyria #12HoursWithSyria.” Ujar Rahim Inteam.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor 07043011061824 yang didaftarkan di bawah nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia atau melalui laman web rasmi Peduli Insan www.peduliinsan.org

FESTIVAL RAMADHAN 2019 Dianjurkan oleh AZADAN RABBANI

Bulan puasa dah tak lama lagi. Anda semua tentu pening di mana agaknya tempat nak membeli belah untuk persiapan hari raya serta sambil berbuka puasa. Jangan risau, anda tak perlu lagi ke ibu kota.Anda boleh sahaja membeli apa sahaja keperluan hari raya malah boleh berbuka puasa di sana juga.Buat julung kalinya, Ustaz Azadan Rabbani menerusi Rabbani Resources dan En. Khairul Faisal menganjurkan Festival Ramadan 2019 di Star Avenue,Subang Bistari bermula 1 Mei hingga 1 Jun 2019.

Bermula 1 mei 2019 ini hingga 1 jun 2019 Star Avenue Subang Bistari kembali bergema dengan kunjungan orang ramai dengan adanya Festival Ramadan anjuran Rabbani Resources, rakan penaja dan dengan kerjasama pihak Star Avenue Mall. Pelbagai aktiviti menarik bakal dijalankan sepanjang program antaranya Gerai Jualan pelbagai produk persiapan hari raya seperti baju raya, hiasan wanita, perabut, barang kemas, produk kecantikan, barang elektronik, gajet, kuih raya, makanan kesihatan dan banyak lagi.

Lebih menarik lagi Festival Ramadan @star avenue Subang Bistari menyajikan aktiviti yang bersesuaian dibulan yang mulia ini antaranya, Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim, Solat Terawih berjemaah, Moreh, Tadarus Al Quran, Bubur Lambuk dan Kuanter Zakat Fitrah.

Kemeriahan Festival Ramadan @star Avenue Subang Bestari pasti mengemparkan dengan adanya penampilan istimewa daripada artis artis Popular sepanjang zaman seperti Dato Nasir Wahab, Rohana Jalil,Siti Fairuz,  Zaiton Samion, Farhan Af, Isma Af, Rabbani, Hijjaz, Inteam, Raihan, Putra Fawazz.

Azadan Rabbani

Peluang terbaik untuk pengunjung dan peminat artis kesayangan anda untuk membeli dan mendapatkan produk berjenama dengan harga istimewa seperti Baju melayu, Kurta, jubbah, tudung dan kuih raya di sepanjang Festival Ramadan @star Anvnue Subang Bistari.Hadiah istimewa untuk pengunjung bertuah yang membeli belah di Festival Ramadan @star Avenue Subang Bistari akan mendapat ampau dan hamper raya. Cabutan bertuah akan diadakan pada setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Bagi rakan niaga yang ingin mendapatkan makluman detail berkaitan booth dan sebagainya bolehlah berhubung dengan wakil kami di talian 01161329179 atau 01132621042 atau layari Facebook dan Ig “Festival Ramadan”.