Tag Archives: Khai Bahar

PENGUMUMAN LOKASI BAHARU KONSERT CINTA NOSTALGIA KRIS DAYANTI DI PUTRAJAYA

PUTRAJAYA, 16 Jun 2025 – Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kini secara rasminya menjadi pentas baharu bagi KONSERT CINTA NOSTALGIA KRIS DAYANTI, yang akan berlangsung pada 22 JUN 2025 jam 8.30 MALAM. Pertukaran lokasi ini dibuat demi memberikan pengalaman persembahan yang lebih selesa, eksklusif dan memuaskan untuk semua peminat diva ternama Nusantara ini.

Selepas kejayaan Konsert Romansa Kris Dayanti pada 2017, kemunculan semula Primadona Indonesia ke Malaysia kali ini bakal menggamit memori lama dengan dendangan lagu-lagu malar segar, diiringi gubahan muzik orkestra yang diarah sendiri oleh maestro terkenal, ERWIN GUTAWA.

Lebih istimewa, malam nostalgia ini bakal diserikan oleh penampilan artis jemputan sensasi tanah air iaitu MIMIFLY dan KHAI BAHAR, yang terkenal dengan aura persembahan bertenaga serta suara yang merdu, bakal melengkapkan magis pentas CINTA NOSTALGIA ini.

Para peminat dinasihatkan mendapatkan tiket lebih awal melalui platform rasmi UberTickets di pautan berikut:

👉 https://cintanostalgia.ubertickets.asia

Jangan lepaskan peluang menikmati malam penuh emosi, keindahan muzik dan kenangan manis bersama KRIS DAYANTI, MIMIFLY dan KHAI BAHAR di PICC PUTRAJAYA!

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi Suami’. Drama ini akan bersiaran di saluran Astro Prima (105) mulai 2 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang.

Meneruskan kejayaan slot drama petang terdahulu, ‘Berbahagi Suami’ tampil berani membincangkan isu poligami yang sering menjadi perbualan hangat dalam masyarakat. Selain menawarkan hiburan, drama ini turut mengetengahkan aspek pendidikan tentang tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga, hak-hak isteri, peranan ibu, dan konsep keadilan dalam berpoligami.

Drama 65 episod ini dihasilkan oleh Radius One di bawah arahan Uchee Fukada, pengarah yang pernah mengarahkan drama popular seperti ‘Malang Si Puteri’ (2024) dan ‘Dendam Seorang Isteri’ (2022). Lagu tema drama ini, “Berbagi Hati”, dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Khai Bahar dan Wany Hasrita.

Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh berkata, “Astro bukan sekadar mahu menghasilkan drama yang menghiburkan, tetapi juga membawa mesej yang bermakna kepada penonton. ‘Berbahagi Suami’ membincangkan isu poligami secara menyeluruh, merangkumi aspek keadilan, pengurusan emosi keluarga, kesan-kesan poligami, dan ciri-ciri suami yang bertanggungjawab. Perlu diingat, drama ini bukan bertujuan menggalakkan poligami, sebaliknya memberi pencerahan tentang perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan dalam perkahwinan sebegini.”

Drama ini mengisahkan Dhani (Amar Baharin) dan Bella (Elizad Sharifuddin) yang kehidupan rumahtangga mereka berubah apabila Dhani memperkenalkan Aishah (Sharifah Husna) sebagai isteri kedua. Walaupun keluarga Dhani cuba menentang Aishah, Bella mengejutkan semua pihak dengan menyokong keputusan suaminya. Bella kini berdepan dilema: sama ada menerima Aishah sebagai madunya atau berhadapan dengan pembongkaran rahsia silam yang disaksikan oleh Aishah.

Penonton boleh menonton ‘Berbahagi Suami’ melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box dan aplikasi Astro GO serta sooka. Pakej Astro One boleh dilanggan sekarang. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my atau WhatsApp 03 9543 3838.

Konsert Ulang Tahun CUCKOO Bersama Duta Jenama, LEE MINHO Dan DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Jenama Pencipta Kediaman Sihat (Healthy Home Creator), CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd (CUCKOO International) telah mengumumkan anjuran konsert ulang tahun berjudul Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th yang akan menyaksikan penampilan duta jenamanya, Lee Minho dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada 1 Oktober ini di Axiata Arena, Bukit Jalil!

Bukan itu sahaja, konsert ulang tahun CUCKOO ke-8 ini juga akan mementaskan artis terkemuka seperti Aina Abdul, Hael Husaini, DOLLA, Dato’ Jamal Abdillah, Misha Omar, Floor 88, Naqiu, Amelina, Khai Bahar, Kmy Kmo dan Luca Sickta bagi menggegarkan lagi pentas konsert CUCKOO.

“Dalam situasi pandemik yang terkawal ini, kami berasa ini adalah masa yang tepat bagi kami untuk menganjurkan sebuah konsert untuk meraihkan semangat teguh Rakyat Malaysia dalam menentang pandemik. Selain daripada itu, konsert ini juga diadakan bagi memberi penghargaan atas sokongan CUCKOO Family, pelanggan-pelanggan dan peminat-peminat kami selama ini. Tiadanya anda, tiadanya CUCKOO. Dengan itu, konsert ini boleh dikatakan bukan sekadar konsert ulang tahun sahaja, tetapi ia juga merupakan sebuah konsert penghargaan dan merupakan sebuah hadiah dari kami kepada semua. Kami tidak sabar untuk berjumpa dengan anda,” berkata pengasas dan ketua pegawai eksekutif CUCKOO International, En KC Hoe (Hoe Kian Choon).

Tiket Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th boleh didapatkan dengan penyertaan Peraduan  CUCKOO Appreci8th sebelum 14 September 2022 atau dimenangi menerusi peraduan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh rakan media rasmi konsert – Era, Gegar, Sinar, and Zayan.

Pada awal tahun ini, CUCKOO International telah melantik artis Korea Selatan terkemuka, Lee Minho sebagai duta jenama terbaharunya di samping mengekalkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai dutanya bagi mewakili CUCKOO untuk #SAMASAMA memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.

Maklumat lanjut tentang Konsert Ulang Tahun CUCKOO Appreci8th Anniversary Concert boleh didapatkan menerusi pautan ini: https://www.cuckoo.com.my/appreci8th .

LULUH diumum lagu HOT 2017

Luluh nyanyian Khai Bahar dipilih sebagai Lagu Hot 2017 apabila mengungguli undian tertinggi untuk kategori tersebut di Top Hot 2017 yang bermula dari 13 November sehingga 15 Disember lalu. Khai turut menerima trofi bagi kategori Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan FB Live Hot 2017 yang bergandingan bersama penyanyi baru Wany Hasrita pada pengumuman yang telah dibuat seawal pagi tadi di konti Hot FM.

Penyanyi berusia 16 tahun yang popular dengan lagu Senyum, As’ad Motawh telah beraya merangkul kategori Penyanyi Baru Hot 2017 manakala Putera Band yang dianggotai empat anak remaja memenangi kategori Super Band 2017. Dalam pada itu, Siti Nordiana telah mencipta kemenangan bagi kategori Penyanyi Wanita Hot 2017.

Secara keseluruhan, sebanyak 6 kategori telah dipertandingan dan diadili melalui dua pusingan undian oleh peminat. Pengumuman pemenang Top Hot 2017 disiarkan secara langsung menerusi stesen radio Hot FM bersama Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Ajak, Fizie manakala Lagu Hot 2017 diumumkan dalam segmen Mega Hot kendalian El bersama Haziq.

Top Hot 2017 anjuran stesen radio Hot FM merupakan kali pertama diadakan dan juara telah dipilih berdasarkan undian tertinggi peminat menerusi laman web rasmi www.hotfm.com.my. Kesemua artis yang terlibat dicalonkan menerusi karya mereka yang ke udara di Hot FM dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2017.

Senarai penuh pemenang Top Hot 2017

1) Lagu Hot 2017: Luluh – Khai Bahar

2) Penyanyi Lelaki Hot 2017: Khai Bahar

3) Penyanyi Wanita Hot 2017: Siti Nordiana

4) Penyanyi Baru Hot 2017: As’ad Motawh

5) Super Band 2017: Putera Band

6) FB Live Hot 2017: FB Live Hot Jamming Ramadan bersama Khai Bahar & Wany Hasrita