Tag Archives: KIX HD

Ikuti Siti Saleha dan Suaminya Lutfi Dalam Siri Realiti Baharu KIX HD

Percutian idaman seringkali dikaitkan dengan membeli-belah atau menikmati pemandangan pantai yang indah. Namun ada juga yang mahukan pengembaraan lasak ketika bercuti. Oktober ini, saluran hiburan aksi KIX HD (Saluran Astro 729) bakal menayangkan rancangan siri realiti terbaharu, Extreme Ends, yang memaparkan sisi berlainan kota Hong Kong yang jarang dilawati pelancong.

Dibintangi empat selebriti dari empat negara Asia Tenggara, Saleha mewakili Malaysia dan menyahut cabaran ini bersama suaminya Ahmad Lutfi Azhar. Pasangan yang baru menyambut ulang tahun perkahwinan pertama mereka ini gemar mengembara dan sesuai untuk mengalami aktiviti berlainan yang dipilih untuk Extreme Ends. Setiap episod akan menampilkan seorang selebriti bersama tetamu istimewa mereka menghadapi tema bertentangan yang ekstrem seperti “Tinggi dan Rendah” atau “Siang dan Malam”. Tema-tema ini akan memaparkan wajah Hong Kong yang jarang dilihat serta mempamerkan perbezaan ketara yang sangat menarik dan ciri khas Hong Kong yang bergaya.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan Lembaga Pelancongan Hong Kong dan teruja untuk memberikan pengalaman baharu kepada penonton bagi melihat perbezaan ketara negara Hong Kong. Penonton juga dapat mengenali dengan lebih dekat setiap selebriti yang terlibat kerana mereka akan ditemani orang tersayang sementara melalui aktiviti yang unik bersama. Secara tidak langsung, penonton akan berasa seperti turut bersama-sama mereka dalam pengembaraan di Hong Kong,” kata Betty Tsui, Naib Presiden, Pengaturcaraan – KIX dan Thrill, Celestial Tiger Entertainment.

“Kejayaan yang diraih oleh The Ultimate BROcation menambahkan keyakinan kami untuk sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan Celestial Tiger Entertainment. Hong Kong terkenal sebagai destinasi pelancongan terpilih di kalangan penduduk Asia Tenggara dengan pelbagai pilihan untuk menjamu selera, membeli-belah, hiburan waktu malam dan acara hebat. Selain itu, negara ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta tarikan alam semula jadi yang indah. Penampilan selebriti dari Asia Tenggara dalam siri ini akan memberikan inspirasi kepada penonton untuk menjelajahi tempat-tempat baharu di Hong Kong seperti penduduk tempatan,” kata Raymond Chan, Pengurus Serantau, Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Hong Kong.

Berkongsi pengalamannya menjayakan siri ini, Saleha berkata, “Memandangkan ini pengalaman pertama saya membintangi siri realiti pengembaraan, saya melakukan persediaan sebaik mungkin untuk siri Extreme Ends terbitan KIX HD ini. Namun apa yang saya lalui di Hong Kong sememangnya sesuatu yang sangat baharu bagi saya. Siapa sangka, Hong Kong mempunyai banyak aktiviti yang menarik dan unik. Kenangan yang paling saya tidak boleh lupa ialah pemandangan ketika mendaki pada waktu malam dan juga permainan pistol BB yang memerlukan saya memakai pakaian seragam askar. Seperkara lagi yang menarik ialah temu bual yang diadakan pada penghujung hari. Kami lebih mengenali antara satu sama lain sebagai pasangan suami isteri dan dapat belajar perkara baharu tentang diri masing-masing. Ini barulah pengembaraan sebenar!”

Untuk lebih banyak aksi menarik, jangan ketinggalan menyaksikan Extreme Ends yang akan ditayangkan secara eksklusif di KIX HD (Saluran Astro 729) pada 17 Oktober, setiap Rabu jam 9.30 malam!

Extreme Ends diterbitkan oleh syarikat induk KIX iaitu Celestial Tiger Entertainment, pengendali persendirian saluran pan Asia terbesar yang diterbitkan khusus untuk hiburan Asia. Rancangan ini ditaja oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong dan disokong oleh Harbour City.

The Ultimate BROcation Siri Realiti Terbaharu KIX XD Menggambarkan SonaOne dan Tiga Selebriti Lelaki Asia

SonaOne, penyanyi rap dan pemenang anugerah berbakat besar dari Malaysia yang juga artis grafiti, penulis lagu dan penerbit, tiba di Hong Kong baru-baru ini untuk menjalani penggambaran The Ultimate BROcation, sebuah siri realiti televisyen terbaharu yang dihasilkan oleh saluran TV aksi hiburan KIX HD (Saluran Astro 729). The Ultimate BROcation akan memaparkan aksi lucu dan keriuhan SonaOne dan tiga selebriti lelaki Asia lain sepanjang pengembaraan mereka di Hong Kong sebagai destinasi percutian yang menyeronokkan bagi kaum lelaki.

Terkenal dengan lagu hitnya, No More yang telah memenangi kategori ‘Lagu Terbaik’ dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 2014 dan lagu Apa Khabar yang mendapat tempat pertama dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) 29 sebulan selepas itu, SonaOne akan menyuntik rentak tersendiri ke dalam ritma pengembaraan di Hong Kong bersama rakan-rakan baharunya: penyanyi, penari dan pelakon Filipina-Amerika, Billy Crawford; hos TV dan radio terkenal di Thailand, DJ PK; dan chef handalan dan pemilik restoran dari Singapura, Bjorn Shen.

The Ultimate BROcation merupakan siri realiti lima episod yang mengikuti pengembaraan empat selebriti lelaki di Hong Kong dalam percutian yang menjadi idaman setiap lelaki. Rancangan ini akan dipenuhi dengan parti, aktiviti menyeronokkan, hidangan lazat, gadis cantik, gajet hebat dan hubungan persahabatan empat sekawan. Keempat-empat selebriti ini bermula sebagai orang asing, tetapi mereka bakal menjadi sahabat baik setelah mengikuti percutian “brocation” bersama. Turut menyertai mereka adalah pelakon kung-fu terkenal dari Hong Kong, Philip Ng, yang bakal membuat penampilan istimewa. Bintang drama TV A Fist Within Four Walls dan filem aksi epik Once Upon A Time In Shanghai ini akan memperkenalkan bandarnya dan turut menjadi penasihat mereka sepanjang percutian ini.

“Saya suka mengembara dan menerokai tempat baharu untuk mencari pengalaman dan mendapatkan  sumber inspirasi. Saya teruja untuk melihat sendiri keunikan Hong Kong dan saya tahu ianya pasti menghiburkan. Mungkin pengalaman berjumpa orang baharu dan melawat tempat-tempat menarik di sini dapat memberi saya inspirasi untuk projek seterusnya,” kata SonaOne. “Saya juga teruja untuk bercuti bersama rakan-rakan baharu saya; pastinya  kami semua dapat mempelajari banyak perkara daripada satu sama lain – saya ingin mengetahui tentang makanan daripada Bjorn atau belajar bahasa Thai dengan PK!”

SonaOne, atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach, berketurunan Melayu-Perancis. Keluarganya kerap berpindah sewaktu zaman mudanya dan pernah menetap di Sepanyol, Jepun dan Perancis sebelum akhirnya kembali ke Malaysia, dan pengalaman-pengalaman inilah yang telah memberi banyak inspirasi kepadanya. Minat yang tinggi dalam kerjayanya serta perwatakannya yang ceria dan suka mengembara membuatkan sesiapa sahaja senang berkawan dengan SonaOne.

The Ultimate BROcation diterbitkan oleh syarikat induk KIX HD, Celestial Tiger Entertainment – pengendali saluran-saluran pan-Asia yang menumpukan kepada hiburan Asia – dan Endemol Shine Group, penerbit global yang menghasilkan siri yang memenangi anugerah, MasterChef Asia dan Big Brother. Rancangan ini disokong oleh Hong Kong Tourism Board, dengan penaja Cathay Pacific dan Harbour Grand Hong Kong. The Ultimate BROcation akan ditayangkan buat pertama kali secara eksklusif di KIX HD (Saluran Astro 729).