Festival Filem Malaysia China membuka tirainya secara rasmi di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan hubungan budaya serta kerjasama industri perfileman antara Malaysia dan China melalui platform yang menghimpunkan karya-karya terbaik dari kedua-dua negara.
Festival yang berlangsung pada 26 hingga 28 Jun serta 3 hingga 5 Julai 2026 itu menampilkan tujuh filem pilihan merangkumi pelbagai genre termasuk thriller, komedi, animasi, drama sejarah dan fantasi. Selain memberi peluang kepada penonton menikmati karya berkualiti, festival ini turut menjadi medan pertukaran idea, teknologi dan pengalaman dalam kalangan penerbit, pengarah, pelakon serta pemain industri kreatif.

FESTIVAL FILEM MALAYSIA CHINA TERUS ERATKAN HUBUNGAN DUA NEGARA
Majlis pembukaan disempurnakan oleh Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, bersama Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Aron Koh Kang Boon dan Ketua Bahagian Pameran GSC, Pan Vui Shang.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib berkata filem mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar medium hiburan kerana ia mampu menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya.
“Filem bukan sekadar medium hiburan. Ia adalah jambatan yang mendekatkan masyarakat melalui perkongsian cerita dan pengalaman, selain menjadi platform untuk bertukar idea serta membina kerjasama baharu antara penggiat industri.”
Beliau berkata festival seperti ini bukan sahaja meraikan hasil karya pembikin filem, malah membuka ruang kepada lebih banyak perbincangan, pertukaran ilmu dan peluang kerjasama antara Malaysia dan China.

Menurut beliau, perkembangan industri filem tempatan turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila 10 filem berbahasa Mandarin dan Kantonis telah ditayangkan di pawagam Malaysia tahun ini, sekali gus membuktikan kepelbagaian budaya negara serta potensinya untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Walaupun teknologi terus berkembang dan membuka pelbagai kemungkinan baharu, kekuatan sebenar industri tetap bergantung kepada bakat, kreativiti penceritaan dan kerjasama yang kukuh.”
Beliau menambah, FINAS akan terus menyokong usaha membangunkan bakat baharu, memperkukuhkan penerbitan bersama serta menggalakkan lebih banyak kerjasama rentas sempadan bagi memastikan industri filem negara terus berkembang.
KOLABORASI MALAYSIA CHINA JADI KUNCI KEJAYAAN
Sementara itu, Aron Koh Kang Boon berkata pasaran Malaysia yang mempunyai kira-kira 33 juta penduduk memerlukan lebih banyak kerjasama penerbitan bersama bagi membolehkan filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
“Malaysia mempunyai kira-kira 33 juta penduduk. Untuk filem tempatan berkembang ke pasaran antarabangsa, kerjasama penerbitan bersama atau co-production adalah satu keperluan.”
Beliau berkata sokongan kerajaan menerusi pelbagai insentif termasuk rebat penggambaran sehingga 30 peratus kepada produksi tempatan dan antarabangsa menjadikan Malaysia destinasi yang semakin menarik untuk penerbit filem luar.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Malaysia dan China bukan sahaja membuka peluang pelaburan baharu, malah membolehkan perkongsian teknologi, kepakaran dan kreativiti yang mampu meningkatkan kualiti penerbitan filem tempatan.
AI SEMAKIN MENGUBAH LANDSKAP PERFILEMAN
Dalam ucapannya, Aron turut berkongsi perkembangan filem Perang Zombi, sebuah produksi bersama Malaysia-China yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas dalam proses pembikinannya.
“Pasukan teknologi kami datang dari China, manakala pasukan kreatif terdiri daripada bakat Malaysia. Perang Zombi dijangka menemui penonton pada suku ketiga tahun ini.”
Beliau bagaimanapun mengakui penggunaan AI bukanlah semudah yang disangka kerana setiap babak masih memerlukan penelitian dan sentuhan manusia.

“Ramai menyangka AI boleh menghasilkan filem dengan mudah, tetapi kami mengambil masa lebih enam bulan untuk menghasilkan kira-kira 10 minit kandungan. AI tidak mampu menggantikan manusia. Ia hanyalah teknologi yang membantu memperkukuhkan proses pembikinan filem.”
Menurutnya, AI seharusnya dilihat sebagai alat yang membantu mempercepatkan proses kerja, meningkatkan kualiti visual dan memperluaskan kreativiti, bukannya menggantikan peranan pengarah, penulis skrip atau tenaga produksi.
KUNGFU JUNIORS BUKA TIRAI FESTIVAL
Festival kali ini dibuka menerusi tayangan Kungfu Juniors, arahan pengarah Hong Kong Ko Chi Sum yang dibintangi Sammo Hung, Michelle Yim, Chu Mimi, Peng Chiquan serta pelakon Malaysia Yuan Teng.
Sebelum ditayangkan kepada umum, filem tersebut telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Cina Toronto 2025, selain memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Asia Pasifik dan Festival Filem Bahasa Cina Vancouver.

Turut ditayangkan ialah filem Malaysia Indera dan House Keeping, manakala filem dari China terdiri daripada Boonie Bears: Guardian Code, Successor, Dead to Rights serta A Writer’s Odyssey 2. Kepelbagaian karya ini memberikan peluang kepada penonton tempatan untuk menikmati perkembangan terkini industri filem kedua-dua negara dalam satu festival.
Orang ramai masih boleh menyaksikan tayangan Festival Filem Malaysia China sepanjang 26 hingga 28 Jun serta 3 hingga 5 Julai 2026 di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dengan harga tiket istimewa hanya RM15.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia