Tag Archives: Malam Dari Kasih Ke Ehsan

MALAM DARI KASIH KE EHSAN SASAR KUTIPAN RM1 JUTA UNTUK MISI KEMANUSIAAN

Global Ehsan Relief bakal menganjurkan Malam Dari Kasih Ke Ehsan pada 14 Ogos 2026 di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi menyokong pelbagai projek kemanusiaan yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di Malaysia dan luar negara.

Program makan malam amal itu akan menghimpunkan para penderma, wakil korporat, agensi kerajaan, rakan strategik dan masyarakat umum dalam usaha memperluaskan impak bantuan yang telah dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief sejak lebih sedekad lalu.

MALAM DARI KASIH KE EHSAN TAMPIL DENGAN PENGISIAN INSPIRASI

Acara berprestij ini bakal diserikan dengan persembahan khas daripada Inteam, selain perkongsian pengalaman dan inspirasi daripada barisan duta Global Ehsan Relief Malaysia iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin).

Majlis tersebut turut dihoskan oleh Fedtri Yahya yang akan membawa para hadirin menyelami pelbagai kisah kemanusiaan serta impak bantuan yang telah mengubah kehidupan ribuan penerima manfaat.

Menurut Pengarah Program, Suffi Shukor, program ini bukan sekadar makan malam amal biasa tetapi sebuah platform untuk masyarakat melihat sendiri bagaimana setiap sumbangan diterjemahkan kepada bantuan yang memberi kesan besar kepada mereka yang memerlukan.

Malam Dari Kasih Ke Ehsan anjuran Global Ehsan Relief di Kuala Lumpur

LEBIH 815,000 PENERIMA MANFAAT DIBANTU MELALUI MISI KEMANUSIAAN

Antara perkongsian utama yang bakal diketengahkan ialah pengalaman Ustaz Hanafiah Abdul Malek yang terlibat secara langsung dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan di negara-negara yang dilanda konflik.

“Sejak tahun 2017 kami menyampaikan bantuan kecemasan musim sejuk kepada pelarian Syria khususnya di kawasan sempadan Turki. Alhamdulillah, selain menyampaikan bantuan kemanusiaan, kami juga berjaya membina lebih daripada empat buah masjid di Syria.

Bantuan yang diberikan bukan sekadar menyelamatkan nyawa, malah membantu bayi, kanak-kanak dan keluarga yang berdepan kebuluran serta kehilangan tempat bergantung akibat peperangan.

Sehingga hari ini, lebih 815,000 penerima manfaat telah menerima bantuan melalui program bantuan musim sejuk yang dilaksanakan di Gaza, Syria, Jordan, Lubnan, Turki, Yaman dan Pakistan.”

Beliau berkata setiap bantuan yang disalurkan bukan sahaja memberi kelegaan kepada mangsa konflik, malah membawa harapan baharu kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat peperangan.

PROGRAM UMRAH ANAK YATIM JADI TUMPUAN

Selain bantuan kecemasan, Global Ehsan Relief turut memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan anak yatim menerusi program tajaan berterusan yang kini melibatkan ribuan penerima manfaat.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, program tersebut bukan sekadar bantuan sekali beri tetapi melibatkan pemantauan berkala, pendidikan, keperluan asas dan pembangunan masa depan anak-anak yatim.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah pengurusan anak yatim yang dilakukan oleh Global Ehsan Relief. Ia bukan sekadar bantuan one-off. Anak-anak ini didaftarkan, dipantau secara berkala dan kebajikan mereka terus dijaga.

Kesan bantuan itu bukan hanya kepada anak yatim, tetapi seluruh keluarga mereka. Saya sendiri melihat bagaimana ibu mereka menangis mengucapkan terima kasih kerana bantuan yang diterima telah mengubah kehidupan keluarga mereka.

Sehingga kini, lebih 9,454 penerima manfaat telah dibantu melalui program anak yatim yang dilaksanakan.

Kita bukan sahaja mahu menyediakan makanan dan pendidikan kepada mereka, tetapi memberi peluang sekali seumur hidup untuk mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci.”

Beliau turut memaklumkan bahawa menerusi kempen Malam Dari Kasih Ke Ehsan, pihaknya menyasarkan untuk membawa 1,000 anak yatim dari Palestin, Syria, Jordan dan Yaman menunaikan ibadah umrah pada masa hadapan.

Malam Dari Kasih Ke Ehsan anjuran Global Ehsan Relief di Kuala Lumpur

PU AMIN SERU KORPORAT SOKONG MISI KEMANUSIAAN

Turut berkongsi pandangan ialah PU Amin yang menegaskan bahawa kejayaan pelbagai program kemanusiaan Global Ehsan Relief adalah hasil tadbir urus yang telus serta sokongan berterusan rakyat Malaysia dan sektor korporat.

“Alhamdulillah, lebih 815,449 penerima manfaat telah dibantu melalui pelbagai program kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief.

Apa yang paling penting ialah setiap sumbangan yang diterima diuruskan melalui tadbir urus yang telus dan dipantau oleh pihak berautoriti.

Melalui sokongan rakyat Malaysia, lebih 32.8 juta liter air bersih berjaya disalurkan kepada rakyat Gaza. Ini membuktikan bahawa setiap sumbangan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.”

Beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat dan organisasi hadir ke Malam Dari Kasih Ke Ehsan bagi melihat sendiri pencapaian serta impak pelbagai program kemanusiaan yang telah dilaksanakan oleh organisasi tersebut.

INTEAM BAWA MESEJ KASIH DAN KEMANUSIAAN

Kumpulan nasyid terkenal Inteam yang bakal membuat persembahan pada Malam Dari Kasih Ke Ehsan menyifatkan penglibatan mereka dalam program tersebut sebagai sesuatu yang cukup dekat dengan identiti kumpulan itu yang banyak menghasilkan karya bertemakan kasih sayang dan kemanusiaan.

“Nama Inteam sendiri sangat dekat dengan perkataan kasih. Banyak lagu kami membawa mesej kasih sayang dan nilai kemanusiaan.

Sebab itu apabila dijemput menjayakan Malam Dari Kasih Ke Ehsan, kami melihat ia sebagai satu usaha yang sangat bertepatan dengan perjuangan yang kami bawa selama ini.

Pada malam itu nanti kami akan mempersembahkan enam buah lagu termasuk lagu-lagu pilihan peminat serta beberapa lagu bertemakan kemanusiaan yang diharap dapat menambahkan lagi penghayatan dan semangat untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.”

SASARAN KUTIPAN RM1 JUTA UNTUK PERLUASKAN MISI KEMANUSIAAN

Melalui Malam Dari Kasih Ke Ehsan, pihak penganjur menyasarkan kutipan dana keseluruhan sebanyak RM1 juta bagi memastikan pelbagai projek kemanusiaan dan kebajikan dapat diteruskan secara berterusan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500,000 disasarkan menerusi penjualan meja kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, organisasi dan individu yang ingin menyokong usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Global Ehsan Relief.

Sebanyak 500 tempat duduk disediakan untuk acara berkenaan yang dijangka menghimpunkan penyumbang, rakan strategik, tokoh korporat serta individu yang prihatin terhadap isu kemanusiaan global.

Dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan untuk menyokong Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk, Program Anak Yatim, Projek Umrah Anak Yatim serta pelbagai inisiatif kemanusiaan lain yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

PENGALAMAN UNIK GABUNGKAN NASYID DAN TAUSIAH

Berbeza daripada kebanyakan majlis makan malam amal, Malam Dari Kasih Ke Ehsan dirancang sebagai sebuah pengalaman yang menggabungkan elemen hiburan, perkongsian ilmu dan kesedaran kemanusiaan dalam satu platform.

Program akan berlangsung dari 8 malam hingga 12 tengah malam, manakala pendaftaran tetamu dibuka seawal 6 petang bagi memberi ruang kepada para hadirin menunaikan solat Maghrib dan menjalinkan hubungan bersama rakan strategik yang hadir.

Sepanjang acara berlangsung, persembahan daripada Inteam akan diselang-selikan dengan sesi tazkirah dan tausiah oleh Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan PU Amin.

Pendekatan ini dipilih bagi memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada para tetamu supaya mereka dapat memahami dengan lebih dekat realiti kerja-kerja kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Global Ehsan Relief di pelbagai negara.

Melalui gabungan persembahan nasyid, perkongsian pengalaman lapangan dan kisah-kisah sebenar penerima bantuan, para hadirin bukan sahaja menikmati sebuah acara eksklusif tetapi turut berpeluang melihat sendiri impak sumbangan yang telah disalurkan kepada golongan memerlukan.

TIKET KINI DIBUKA UNTUK ORANG RAMAI

Orang ramai yang ingin menghadiri Malam Dari Kasih Ke Ehsan boleh mendapatkan tiket bermula hari ini melalui saluran rasmi penganjur.

Harga tiket individu ditawarkan bermula daripada RM175, manakala pakej meja untuk syarikat korporat, agensi kerajaan dan rakan strategik ditawarkan pada harga antara RM5,000 hingga RM25,000 serta layak menikmati pelepasan cukai.

Penganjuran Malam Dari Kasih Ke Ehsan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara sektor korporat, badan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia.