Tag Archives: May

Rock Warrior Music Festival 2024: Menghidupkan Semula Era Kegemilangan Muzik Rock Tempatan

Industri muzik tanah air bakal digegarkan dengan penganjuran Rock Warrior Music Festival (RWMF) yang akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi. Festival ini merupakan inisiatif terbaru Rumah Produksi Merah (RPM) milik legenda rock tanah air, Dato’ Awie, yang bertujuan untuk menghimpunkan bakat-bakat rock tempatan dalam satu persembahan epik.

Walaupun industri muzik telah beralih ke era digital yang serba canggih, kehebatan nama-nama besar seperti Din dan Kid dari Search, serta kumpulan Wings, XPDC dan May masih kekal relevan dan merajai hati peminat. Situasi ini telah mencetuskan idea kepada Dato’ Awie untuk menganjurkan RWMF sebagai platform untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock.

Edisi sulung RWMF akan menampilkan barisan artis rock terkemuka tanah air seperti Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B. Kesemua artis ini akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga era kini, menjanjikan pengalaman nostalgia yang tidak ternilai buat peminat.

Menurut Dato’ Awie, RWMF bukan sahaja bertujuan untuk mengenengahkan pemuzik-pemuzik lama, tetapi juga memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan kebolehan mereka. “Ini adalah platform yang kita rancang untuk diadakan setiap tahun. Kita mahu mencari bakat-bakat baru untuk mewarnai dan menggantikan yang lama-lama yang akan pergi,” ujarnya.

Selain persembahan muzik, RWMF juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara. Pengunjung boleh menikmati gerai-gerai jualan makanan, minuman, dan produk gaya hidup rock seperti aksesori dan barangan eksklusif. Festival ini juga menyediakan hiburan untuk keluarga, menjadikannya sebuah karnival yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Satu lagi tarikan utama RWMF ialah Pentas Rock Hero yang akan menampilkan 24 band bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam di dalam hangar KL Base. Ini memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan baru untuk beraksi dan memperkenalkan karya original mereka kepada dunia.

Persembahan pada malam pertama RWMF akan diisi oleh Wings, Search KidDin dan XPDC Militia, manakala malam kedua akan menampilkan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B. dan Ella Rockqueen.

Tiket untuk RWMF boleh didapati secara dalam talian melalui laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/. Harga tiket untuk dua hari adalah RM250 (Gold – seated), RM200 (Silver – standing) dan RM150 (Bronze – standing). Menariknya, pembeli tiket RM150 dibenarkan membawa kerusi healing/camping untuk menyaksikan persembahan.

Dato’ Awie menyifatkan RWMF sebagai satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia. “Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” katanya.

Dengan penganjuran RWMF, industri muzik rock tanah air dijangka akan mendapat nafas baru dan terus berkembang, memberi inspirasi kepada generasi baru peminat dan pemuzik rock tempatan.

“Rock Legend 2018” Satukan May dan Prime Domestic

Dua kumpulan rock, Prime Domestic dan May bakal berkolaborasi menerusi siri konsert ‘Rock Legend 2018’ yang akan di adakan di Pintu 2, MAEPS, Serdang pada 5 Mei nanti.

Konsert selama dua jam setengah anjuran Dreamstage ini bakal bermula sekitar jam 8 malam memberikan kelainan kepada peminat rock apatah lagi ianya turut di ‘terjemahkan’ dengan warna serta bunyi yang akan di adaptasikan dengan sistem bunyi yang cukup untuk memecahkan halwa telinga anda selaku penonton.

Disamping lokasi konsert yang luas serta kemudahan tempat letak kereta, peminat juga dijanjikan dengan pelbagai kejutan daripada Prime Domestik yang diterajui oleh ikon-ikon muzik yang berpengalaman seperti Joe (gitar), Aweera (vokalis), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainoll (dram).

Berkolaborasi dengan kumpulan May yang masih lagi bertahan sehingga kini membuktikan bahawa Mus (vokal), Abu (gitar), Yus (bass) dan Man (dram) masih lagi punya peminat. Kemampuan May dengan kelantangan suara vokalisnya Mus menarik peminat menonton persembahan ‘live’ mereka adalah sesuatu yang terbukti.

Untuk menghangatkan lagi pentas “Rock Legend 2018”, Mus akan turut menyampaikan beberapa buah lagu ketika bersama kumpulan Wings. Pihak penganjur iaitu Dreamstage juga mengambil langkah proaktif untuk menggunakan 2 paparan LED gergasi sebagai ‘live feed’ untuk para penonton melihat persembahan di pentas, 6 buah menara sistem bunyi untuk mendapatkan impak yang terbaik dan sistem stereo bunyi keliling versi 5.1 untuk mendapatkan kejelasan butiran bunyi dan ‘ambience’ yang benar benar akan memberi kepuasan kepada telinga yang mendengar.

Semua pelaburan dari pihak penganjur adalah semata mata bertujuan untuk menjadikan “Rock Legend 2018” sebagai sebuah konsert yang boleh diklasifikasikan  ‘epik’  oleh penonton yang hadir.

Sebarang info berkenaan konsert boleh di dapati melalui Facebook zhardreamstage dan Instagram primedomestic .  Bagi menyaksikan konsert “Rock Legend 2018”, peminat boleh dapatkan tiket yang berharga RM120 (rock zone), RM180 (5.1 surround zone) dan RM68 (G zone).

Tiket-tiket boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com , www.dreamstageconcert.com atau hubungi talian 03-21706333 / 017-2630437.

 

 

Selepas 3 Dekad Juara Juara Rock Kembali Bersatu

Sejarah kewujudan kumpulan rock di Malaysia bermula secara meluas pada awal tahun 1980-an menerusi beberapa siri pertandingan yang di anjurkan.  Bermula dari detik itu maka lahirlah beberapa siri pertandingan yang berjaya mencipta puluhan kumpulan yang bernuansakan rock sebagai platform malah terus dikenali sehingga kini.  Juara-Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands 1 & 2 antara beberapa siri pertandingan yang cukup dikenali.

Tidak hanya sekadar menyertai pertandingan, kumpulan yang dinobatkan sebagai pemenang juga diberi peluang untuk merakamkan beberapa buah lagu di dalam sebuah album kompilasi. Bermula dari situlah mereka kemudiannya akan merakamkan album studio.

Salah sebuah album kompilasi yang menjadi medan uji kumpulan-kumpulan tersebut ialah  “Juara-Juara Rock” yang menampilkan MAY, Scandals, Burnmarks, Metalian, D’Febians yang berjaya menonjolkan pelbagai lagu-lagu rock berat seperti Peperangan, Roda Penghidupan, Bukan Untuk Selamanya (D’Febians), Kuasa, Kuasa II, Gadis Kota (Scandals), Kabus, Gerimis Rindu, Aku Dengan Caraku (Metalian), Pemuzik Muda, Derita Bangsa, Gadis Misteri (MAY) dan Makan Hati Ulam Jantung, Insaflah, Snooker (Burnmarks).

Manakala lagu slow seperti lagu Kembalilah Semula, Bayangan Hidup, Skestsa Sebuah Cinta (MAY), Secebis Rayuan, Penantian Sepi, Galeri Kasih (Burnmarks), Rindu, Musnahlah Sebuah Cinta, Penantian Yang Tak Pasti (Scandals), Cinta Pertama, Kehilangan, Kenangan Abadi (D’Febians) dan Tetap Di Sini, Segala Untukmu, Biarkan Aku Sendiri (Metalian).

Kini setelah lebih 3 dekad album kompilasi “Juara Juara Rock” yang menghimpunkan nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan khususnya rock malahan lagu-lagunya sentiasa malar segar bakal di satukan di sebuah pentas bagi menghiburkan peminat-peminat tegar rock.

Konsert mini 3 Dekad Juara Juara Rock bakal di adakan di The House G-Tower pada 8 April depan.  Konsert ini merupakan konsert yang cukup eksklusif kerana buat pertama kali ianya akan menghimpunkan semula kesemua anggota kumpulan terbabit selain memberi pengalaman sebenar peminat yang baru hendak mengenali genre rock.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan eksklusif Juara Juara Rock  boleh membeli tiket yang berharga RM98 sehingga RM338 (termasuk minuman ringan) di lokasi atau dengan menghubungi 019-6888739 atau 012-6502352 .

 

Malaysia Autoshow 2017 Tampilkan Kelainan

Gandingan Malaysia Autoshow 2017 bersama Festival SoundValley dijangka akan memberi nafas baru bagi peminat muzik dan permotoran apabila ia di gabungkan di bawah satu bumbung.  Malah ianya melakar sejarah tersendiri apabila sebuah festival muzik yang luar biasa akan berlangsung selari dengan Pameran Permotoran Terbesar di Malaysia.

11 kumpulan muzik tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan England bakal membuat persembahan di Festival SoundValley 2017. Festival yang akan berlangsung selama dua hari ini menawarkan kepelbagaian genre muzik kepada semua pengunjung.

Festival SoundValley ini dianjurkan oleh Malaysia Automotive Institute (MAI) dengan kerjasama RSVP Media Sdn Bhd, akan berlangsung pada 11 dan 12 November 2017, dari 2.30 petang. hingga 11:30 malam bertempat di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) bersempena Malaysia Autoshow 2017.

Pengunjung Festival SoundValley akan menerima tiket percuma ke Malayia Autoshow 2017, sekaligus mendapat peluang untuk mengunjungi pameran automotif yang dianjurkan.

Pada hari pertama, peminat indie khususnya tidak harus melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat daripada Bloc Party (UK) , kumpulan indie tempatan iaitu Hujan , Bunkface juga tidak ketinggalan memeriahkan suasana festival muzik ini . Kumpulan daripada Indonesia, Barasuara  dan juga  elektro rock , The Otherside Orchestra akan beraksi pada 11 November.

Manakala pada 12 November peminat genre rock pastinya akan memenuhi pentas apabila  gergasi Heavy Metal daripada Asia iaitu Loudness akan beraksi buat kali ke dua di Malaysia. Tidak ketinggalan jentera rock yang sentiasa menjadi ikon di sanubari fanatika rock tempatan Wings dan May. Metalasia yang bertunjangkan genre Progresif Metal pastinya akan memberikan kelainan dalam konsert ini.  Cassandra dan kumpulan FiftyOne50  juga turut diberi ruang untuk beraksi di acara yang pastinya memberi impak kepada muzik dambaan mereka.

Persembahan artis tempatan dan antarabangsa ini adalah sempena Malaysia Autoshow 2017 yang akan berlangsung 9 November hingga 12 November , para peminat yang datang bukan sahaja dapat menikmati festival muzik yang diadakan tetapi turut menikmati pameran kereta dan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan pada hari tersebut .

TICKETS PRICE

PRICE CATEGORY Day 1

11th Nov 2017

Day 2

12th Nov 2017

2 Day

Passes

Remarks
VVIP

 

RM 588 RM 288 RM 836 – Chill Out Zone with Rooftop

– Light Refreshments & Finger Food

– Festival T-shirt

– Poster

– Free Autoshow Ticket

– Express Entry Lane

VIP

 

RM 348 RM 188 RM 496 – Rock Zone

– Festival T-shirt

– Poster

– Free Autoshow Ticket

– Express Entry Lane

Normal

 

RM 288 RM 128 RM 386 – Free Autoshow Ticket
Early Bird

 

RM 248 RM 98 – Free Autoshow Ticket

Pembeli tiket Festival SoundValley akan menikmati harga istimewa bermula 10 Okt sehingga 18 Okt 2017. Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket yang berharga RM98 hingga RM836. Untuk maklumat lanjut mengenai Festival SoundValley Festival 2017, layari www.airasiaredtix.com 

 

*Kredit photo @lensaayid

‘The Blue Jeans Concert’ Tampilkan Exist,May & Blues Gang Pertama Kali Di Istana Budaya

‘The Blue Jeans Concert’ Tampilkan Exist,May & Blues Gang Pertama Kali Di Istana Budaya | Berkonsepkan satu malam satu band, Exist,May dan Blues Gang digabungkan dalam The Blue Jeans Concert yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 23-25 Oktober 2015.Konsert ini dibawakan khas oleh Bombbay Worldwide yang menampilkan Zambre Shaari atau Bombay sebagai pengarah konsert.

Exist akan mengadakan persembahan pada 23 Oktober,May pula pada 24 Oktober dan Blues Gang pada 25 Oktober 2015.Ini merupakan kali pertama ketiga-tiga band mengadakan persembahan di Istana Budaya. Exist bakal menampilkan Ezad sebagai vokalis serta Musa,Ujang,Shah dan Along. Mereka bakal mempersembahkan diantara 18-20 buah lagu pada malam tersebut.

May pula masih menampilkan Mus,Man,Abu dan Yus untuk malam kedua konsert ini. Antara lagu-lagu May yang masih menjadi siulan adalah Sendiri,Cintamu Mekar Di Hati dan Dari Kaca Mata.Persembahan mereka juga bakal diserikan dengan kemunculan pemuzik undangan.

Blues Gang yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Apo Nak DiKato,Ibu,Lagu Tiga Kupang dan Oh! Mama Saya Mahu Kawin bakal mengimbau kembali nostalgia para peminat mereka pada malam ketiga.

The Blue Jeans Concert menawarkan harga tiket yang bermula dari RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.Untuk tempahan sila layari www.ticket2u.biz dan untuk sebarang pertanyaan sila hubungi 03-4147 8600 atau 019-2111 600.

*Kredit Photo – Rentak Sejuta