Tag Archives: Maya HD

Drama ‘SELUDUP’ Di Astro Prima Mulai 4 Disember Ini

 

Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn Bhd bersama barisan pelakon drama siri SELUDUP

Ditunjangi pelakon-pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Nam Ron, Raja Ilya dan Syafie Naswip, drama ‘SELUDUP’ yang dinanti-nantikan oleh peminat drama televisyen tempatan dijadualkan untuk menemui penonton pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam di Astro Prima bermula 4 Disember dan di saluran Maya HD pada setiap Sabtu jam 6.00 petang bermula 6 Disember 2014.

Dengan formula baru dan mesej berat tentang gejala penyeludupan haram di Malaysia, Jehan Miskin sebagai produser, pengarah dan pelakon telah berjaya menghasilkan satu naskhah yang segar dan tidak pernah ditonton sebelum ini di kaca televisyen. Drama 13 episod ini juga pasti tambah menarik dengan garapan kisah cinta antara watak dua pelakon utamanya, Pekin dan Tiz.

“Astro sentiasa prihatin dengan kehendak penonton yang dahagakan hiburan berkualiti tinggi pada setiap masa dan ‘SELUDUP’ mempunyai kesemua formula yang kami anggap sesuai dan menarik untuk tatapan peminat setia drama tempatan. Saya percaya naskhah terbaru Jehan ini bakal diminati ramai dan mesej yang ditampilkan juga akan berjaya disampaikan dengan baik kepada masyarakat Malaysia” kata Cik Farah Zainul, Pengurus Saluran Astro Prima di tayangan perdana drama tersebut di TGV One Utama, Kuala Lumpur.

SeludupKeyartFA_Low Res

Ia berkisar tentang watak bernama Amran (Pekin) yang merupakan seorang nelayan dan usahawan muda yang berjaya di Teluk Permata, sebuah perkampungan nelayan di Pantai Barat Malaysia. Amran mendapat tahu bahawa sekumpulan penyeludup diketuai oleh Tam (Nam Ron) dan dibantu oleh adik perempuannya, Rina (Raja Ilya) sedang mengupah nelayan kampung untuk menyeludup minuman keras, rokok, dan manusia ke dalam negara. Walau berdepan pelbagai jenis bahaya dan mengancam bukan sahaja dirinya malah keluarga dan Yasmin (Tiz Zaqyah), teman wanitanya, dia bertekad untuk menghalang gejala ini, dan menyelamatkan kampungnya sebelum lebih ramai rakan-rakannya dan penduduk kampung menjadi mangsa.

Menurut Jehan, “SELUDUP berniat bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi juga memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang gejala penyeludupan khususnya rokok seludup serta kesan negatifnya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Banyak sungguh cabaran yang saya hadapi untuk menghasilkan drama ini namun berkat kesungguhan kesemua pelakon dan krew produksi, kami berjaya melakukannya. Saya percaya drama ini akan membuka lembaran baru dalam industri drama televisyen negara. Saya berharap rakyat Malaysia akan menonton drama SELUDUP ini dan terus menyokong karya-karya tempatan yang bermutu tinggi”.

Tayangan perdana tersebut dihadiri para pelakon yang kesemuanya diriaskan di dalam persalinan Sacoor Brothers, krew produksi, wakil-wakil daripada Astro, penaja, media dan pihak-pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak di dalam pembikinan drama tersebut. ‘Seludup’ dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

 

ASTRO OASIS Perkenal Dunia Pencetus Ummah

KYS_1047

Program realiti Pencetus Ummah ternyata telah berjaya mencipta fenomena televisyen di Malaysia. Kelainan pendekatan dakwah yang dibawakan berjaya mencuri perhatian dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Terbaru, pihak Astro Oasis bakal menjelajah ke seluruh negara dengan membawakan program Dunia Pencetus Ummah bermula 19 April ini di Dewan JKNN, Seremban, Negeri Sembilan bermula jam 2.00 petang.

Kini, lahirlah sebuah rancangan bagi menghargai masyarakat khususnya peminat program Pencetus Ummah mengalami sendiri suasana pendekatan dakwah dalam Dunia Pencetus Ummah. Hal ini secara tidak langsung dapat meneruskan jenama Pencetus Ummah itu di kalangan masyarakat. Slot rancangan keagamaan ini juga turut akan disiarkan di Astro Oasis (Saluran 106) dan ditayangkan serentak di Maya HD (saluran 135) pada setiap Khamis 9.00 malam bermula 1 Mei.

KYS_1098

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris, “Astro Oasis amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat terhadap program Pencetus Ummah yang lalu. Sebagai tanda terima kasih kepada sokongan ini, Pencetus Ummah akan kembali kepada masyarakat dan menyumbang kepakaran kami dalam membangunkan Islam. Kami akan meneruskan pendekatan kreatif kami, kali ini lebih dekat dengan masyarakat yang telah menyokong program kami selama ini.”

Menampilkan Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Fahrin Ahmad sebagai pengacara, Dunia Pencetus Ummah akan membawakan tazkirah oleh PU Hafiz, PU Shahul, PU Yeop, PU Rahmat dan para Pencetus Ummah yang lain dengan pendekatan kreatif seperti yang ditayangkan di televisyen. Dunia Pencetus Ummah turut diselangi persembahan istimewa oleh barisan artis terkenal seperti Shahir, Sabhi Saddi dan kumpulan In Team dan masih mendapat sokongan daripada fasilitator, Ustaz Zulkefli Hamat dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak.

Berikut adalah antara lokasi Dunia Pencetus Ummah;

Tarikh

Lokasi

19 & 20 April 2014 Dewan JKKN, Seremban Negeri Sembilan
17 & 18 Mei 2014 MITC, Ayer Keroh, Melaka
13 & 14 June 2014 Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu
5 & 6 Julai 2014 Dewan Utama Wisma Belia, Kuantan Pahang
18 & 19 Julai 2014 Dewan JKKN, Kota Bharu Kelantan
8 & 9 Ogos 2014 Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor
22 & 23 Ogos 2014 Dewan Perbandaran Sg. Petani, Kedah 

Sebagai persiapan untuk musim akan datang, pihak Astro Oasis turut mengadakan sesi ujibakat Pencetus Ummah musim kedua serentak di setiap lokasi Dunia Pencetus Ummah ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Sesi ujian dan temubual ini terbuka kepada semua lelaki Muslim yang fasih berbahasa Melayu dan berusia di antara 18 – 40 tahun serta sihat tubuh badan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R di samping mempunyai latar belakang agama yang baik dan berpengetahuan luas dalam bidang agama dan memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

KYS_1074

Selain perlu membaca surah Al Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta juga perlu hadir dan bersedia dengan salah satu topik tazkirah seperti berikut;

1.              Bencana Alam

2.              Poligami

3.              Keruntuhan akhlak

4.              Hiburan dalam Islam

5.              Ekonomi Islam

Namanzee menambah, “Kami di Astro Oasis sentiasa terkehadapan dalam menyusun program untuk disiarkan di saluran ini. Berakhirnya program Pencetus Ummah yang menobatkan PU Hafiz pada Januari lalu tidak bermakna usaha menerbitkan program dakwah di Astro Oasis terhenti setakat itu sahaja. Malah kami terus merancang penerbitan Pencetus Ummah untuk musim yang kedua. Justeru, kami mengalu-alukan kehadiran para peserta ke sesi ujibakat yang akan diadakan ini serta berharap masyarakat akan terus memberikan sokongan padu kepada program Pencetus Ummah selepas ini.”

KYS_0720

Astro mengekalkan pendekatan media baru dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih dekat dengan aktiviti dakwah. Para pengguna telefon bimbit diperkenalkan dengan aplikasi islamik terkini; Salam Muslim. Aplikasi percuma ini mengandungi waktu solat seluruh Malaysia dan peringatan solat, arah kiblat, tasbih digital, nasihat serta kata-kata hikmat dari tokoh islamik dan banyak lagi. Jadual rancangan program-program menarik di Astro Oasis turut terdapat di aplikasi Salam Muslim ini yang boleh dimuat turun di Android Google Play atau di Apps Store sekarang.

Selain itu, para penonton setia Astro Oasis boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi rakaman Dunia Pencetus Ummah dengan melayari www.pencetusummah.com.my

 

ASTRO PRIMA Pertaruh Perempuan Dalam Pasungan

PDP STILL08

Istimewa bulan ini, Astro dengan berbesar hati ingin mengajak para penonton untuk menyelami kisah cinta agung di antara Fariena dan Farid menerusi drama bersiri terbaru berjudul Perempuan Dalam Pasungan. Kisah cinta abadi penuh iktibar, moral dan pengajaran ini boleh ditonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 5.00 petang secara eksklusif di Astro Prima (saluran 105) & Maya HD (saluran 135).

Kisah cinta 28 episod terbitan produksi Darkwave Pictures yang meruntun jiwa dengan takdir dan ketentuan ilahi ini diarahkan oleh pelakon, penulis skrip dan kini bergelar pengarah Zul Huzaimy Marzuki. Konsep penceritaan pula diilhamkan oleh Dato’ Rafiena Ezanee Ramli dan Haida Mazni selaku penulis skrip.

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini turut menampilkan gabungan barisan pelakon baru dan lama dan diterajui oleh pelakon terkenal. Dato’ Eizlan Yusof yang memegang watak sebagai Farid, Dato’ Rafiena Ezanee sebagai Fariena dan Zul Huzaimy sebagai Kamarulzaman. Turut menjayakan drama ini ialah , Dato’ Jalaludin Hassan, Lia Natalia, Rahim Jailani, Rosnah Mat aris, Shah Iskandar, Faradhiya, Safura, Mubarak Majid, Kismah Johar, Aida Khalida dan Dian P.Ramlee. Penyanyi Shae yang berasal dari Indonesia dan popular dengan lagu Sayang juga terlibat sebagai artis undangan dalam drama bersiri ini.

PDP STILL02

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima; Encik Namanzee Harris berkata, “Sebagai sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, matlamat utama Astro Prima ialah untuk memastikan para penonton disajikan dengan pelbagai kisah dan genre drama yang pelbagai bagi memberi variasi kepada penonton-penonton kami.

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha kami dalam terus menarik perhatian ramai penonton terutamanya daripada golongan berkeluarga.

Kami melihat drama bersiri seperti Perempuan Dalam Pasungan ini dapat memberi pengajaran bahawa kita harus tabah dalam mengharungi apa sahaja dugaan dan takdir yang telah ditentukan.

Bukan itu sahaja, plot-plot cerita yang akan memperkenalkan beberapa watak antagonis di dalam drama bersiri ini secara berperingkat juga akan pasti membuat para penonton tidak mahu melepaskan walau satu episod pun.”

PDP STILL01

Drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan ini mengisahkan tentang perjalanan hidup Fariena (lakonan Dato’ Rafiena Ezanee) yang dipasung dalam ‘takdir’ hidupnya sendiri. Percintaan yang terjalin sejak dari bangku sekolah dengan Kamarulzaman (lakonan Zul Huzaimy) ditentang keras oleh papa (lakonan Dato’ Jalaludin Hassan) dan mama (lakonan Aida Khalida) Fariena kerana mereka berbeza darjat. Papa Fariena memperkenalkan Farid yang akhirnya berjaya membuat Fariena jatuh cinta pada Farid (Dato’ Eizlan Yusof).

Farah (lakonan Faradhiya) yang merupakan kawan baik kepada Fariena pula terlalu cintakan Alex (lakonan Roy Azman). Manakala Alex pula menaruh hati pada Fariena, tetapi Fariena menolak cinta Alex.Farid pula dipaksa berkahwin dengan anak orang gaji oleh ayahnya. Mama Farid menentang keras namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terlalu inginkan Fariena menjadi menantunya. Farid terima Alisya (lakonan Lia Natalia) sebagai isterinya kerana terpaksa.

PDP STILL09

Cinta yang dipasung oleh takdir menjadi semakin rumit bila Fariena nekad balik ke Kuala Lumpur dari Amsterdam dan menuntut kembali janji Farid. Farid dalam masa yang sama sudah mula sayangkan Alisya dan anak mereka Adelia. Farah yang rasa bersalah dengan apa yang berlaku cuba menyatukan kembali cinta Farid dan Fariena.

Apakah kesudahan perjalanan hidup Fariena? Adakah dia berjaya mendapat cinta sejati yang dicari selama ini, atau kembali pada Farid, cinta yang terlalu diagung-agungkan selama ini.  Apakah yang tejadi pada Kamarulzaman, bekas kekasih Fariena yang masih manaruh harapan yang tinggi pada Fariena?

Untuk mengetahui jawapannya, saksikan drama Perempuan Dalam Pasungan ini yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 5.00 petang di Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD(135)