Tag Archives: Mitec

Pengumuman senarai penuh calon mewakili parti BN & PN yang bertanding untuk PRU-15

Saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati bakal membawakan laporan lintas langsung di sekitar majlis pengumuman rasmi senarai penuh calon akhir yang akan dibuat oleh parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara serentak dari dua lokasi berlainan di ibu negara.

Liputan istimewa ‘Pengumuman Calon Barisan Nasional’ yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan disiarkan bermula jam 8.30 malam. Manakala liputan ‘Pengumuman Calon Perikatan Nasional’ pula akan bersiaran pada jam 11.30 malam menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112.

BN akan mengumumkan calon mereka pada majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam masa yang sama, sesi penamaan calon untuk PN pula dijangka akan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)

Pengumuman tersebut sekaligus bakal menamatkan segala spekulasi dan desas-desus politik mengenai senarai muktamad yang bakal bertanding di 222 buah kerusi Parlimen untuk penggal baharu.

Barisan Artis Bakal Sertai Festival Bazaar 66 Jam

Festival yang bakal dianjurkan dengan kerjasama Mitec dan Absolut Event & Management Sdn. Bhd. serta My Events International Sdn. Bhd mensasarkan satu juta pengunjung merupakan festival raya terbesar yang diadakan pada bulan Ramadan nanti.

Ben Ali berkata, festival ini bakal berlangsung selama 66 jam tanpa henti itu akan diadakan bermula 22 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Objektif utama penganjuran karnival tersebut diadakan adalah bagi membantu serta menghidupkan semula sektor ekonomi para peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda.

Festival ini bakal disertai dengan pelbagai jenis industri, seperti makanan, minuman, kuih muih, pakaian, produk kecantikan dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Ben Ali berkata, pihak penganjur akan menyediakan dua dewan pempamer yang mampu memuatkan seramai 5,000 pengunjung dalam satu masa dan satu dewan tambahan akan dibuka jika berlaku kesesakan.

“Kami akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan secara lebih teliti seperti mengimbas masuk menerusi sistem MySejahtera selain menyediakan paramedik dan ambulans sebagai langkah penjagaan.

“Kami juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk menaja kit ujian air liur kepada pengunjung dan terdapat juga syarikat yang telah bersetuju untuk menaja pelitup muka kepada pengunjung” jelasnya.

Tambah Ben Ali, beberapa barisan artis turut dijangka akan turut membuka gerai jualan antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Fatah Amin, Nelydia Senrose, Zul Ariffin,Uqasha Senrose, Raysha Rizrose dan Mira Filzah.

Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh didapati di Instagram Absolut Bazaar dan Gaya Raya