Tag Archives: Quranic Madani

QURANIC MADANI DI RUMAH TITIAN KASEH PERKUKUH ASPIRASI MENTERI AGAMA

Program Quranic Madani yang digerakkan oleh pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail terus menerima sambutan positif apabila lokasi pertama program itu berjaya dilaksanakan di Rumah Titian Kaseh baru-baru ini.

Program berteraskan pengajaran al-Quran dan tajwid itu menghimpunkan golongan asnaf serta kanak-kanak kurang berkemampuan dalam usaha memperkukuhkan kefahaman agama sejak usia muda.

PU Riz bersama penghuni Rumah Titian Kaseh dalam program Quranic Madani.

QURANIC MADANI DEKATI GOLONGAN MEMERLUKAN

Menurut PU Riz, program tersebut menjadi satu usaha penting bagi memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Qur’an dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini. Bermula dengan anak-anak sekecil lapan tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas.

“Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi baik. Semua dapat manfaat,” katanya.

Program itu turut mendapat sambutan baik daripada penghuni rumah kebajikan berkenaan yang dilihat cukup teruja mengikuti sesi pembelajaran bersama tenaga pengajar.

PU Riz bersama penghuni Rumah Titian Kaseh dalam program Quranic Madani.

SELARI DENGAN USAHA KEMENTERIAN AGAMA

PU Riz turut menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bergerak seiring dengan usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Agama dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat memerlukan.

Menurutnya, sokongan pendidikan agama dan bantuan kebajikan yang disalurkan mampu memberi impak besar kepada pembangunan komuniti.

“Dan ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada asnaf-asnaf yang juga berada di sini. Kita ucapkan tahniah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menghargai usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dalam memperkukuhkan agenda kebajikan dan pendidikan Islam.

PU Riz bersama penghuni Rumah Titian Kaseh dalam program Quranic Madani.

MAHU PERLUAS PROGRAM KE SELURUH NEGARA

Dalam masa sama, PU Riz berharap program Quranic Madani dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi selepas ini agar lebih ramai masyarakat mendapat manfaat.

Katanya, usaha melahirkan masyarakat celik al-Quran perlu dilakukan secara berterusan dan dekat dengan komuniti.

“Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik. Allahuakbar,” katanya.

Program Quranic Madani dijangka akan diteruskan di beberapa lokasi lain sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat melalui pendidikan al-Quran secara lebih menyeluruh.

PU RIZ ANJUR QURANIC MADANI DI BUKIT BINTANG, AJAK ORANG RAMAI HAYATI AL-QURAN

Suasana tengah bandar raya dijangka berubah menjadi lebih tenang dan penuh penghayatan apabila pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz menganjurkan program Quranic Madani – Night Reset: Bersatu Dalam Saf di hadapan Pavilion Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Program yang berlangsung secara percuma itu mengajak masyarakat pelbagai lapisan usia untuk bersama-sama membaca, memahami dan mendekati al-Quran dalam suasana santai di tengah kesibukan kota raya.

PU Riz berkata, program tersebut diwujudkan bagi menyemarakkan budaya mencintai al-Quran serta menghimpunkan seramai mungkin masyarakat dalam satu saf ukhuwah.

PU Riz ajak masyarakat hadir program Quranic Madani di Bukit Bintang.

PROGRAM TERBUKA UNTUK SEMUA

Menurut PU Riz, orang ramai tanpa mengira usia dialu-alukan hadir bagi mengimarahkan program yang dijadual bermula jam 8.30 malam itu.

Beliau menjelaskan bahawa Quranic Madani bukan sekadar program biasa, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat kembali mendekati kalam Allah SWT dalam kehidupan harian.

“Insya-Allah, kita pada Jumaat ini bakal mengadakan majlis al-Quran iaitu Quranic Madani supaya kita dapat menghimpunkan seramai mungkin masyarakat untuk bersama membaca dan memahami al-Quran,” katanya.

PU Riz ajak masyarakat hadir program Quranic Madani di Bukit Bintang.

FOKUS LAHIRKAN GENERASI CINTA AL-QURAN

Selain pengisian bacaan dan penghayatan al-Quran, program itu turut memberi fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak khususnya dalam hafazan al-Quran.

PU Riz berkata, pihak penganjur mahu memberi peluang kepada kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun untuk mula menghafal al-Quran bermula dengan Juzuk 30.

Katanya, usaha tersebut penting dalam membentuk generasi muda yang dekat dengan al-Quran sejak kecil, selari dengan hadis Rasulullah SAW mengenai kemuliaan individu yang belajar dan mengajarkan al-Quran.

BUKIT BINTANG JADI LOKASI PENYATUAN UMMAH

Pemilihan kawasan Bukit Bintang sebagai lokasi program turut dilihat membawa simbolik tersendiri apabila kawasan tumpuan awam itu bakal dihiasi dengan pengisian kerohanian dan majlis ilmu.

PU Riz turut mengajak orang ramai hadir bersama keluarga dan sahabat bagi memeriahkan program berkenaan sambil menghayati bacaan al-Quran secara berjemaah.

Beliau berharap Quranic Madani mampu menjadi titik penyatuan masyarakat serta membawa keberkatan kepada negara menerusi usaha mengangkat syiar al-Quran di tengah suasana moden ibu kota.