Tag Archives: Revolution Stage

Teater Muzikal SUPERHERO Suntik Semangat Dan Inspirasi

Superhero Poster

Revolution Stage dengan kerjasama myHarapan bakal mementaskan sebuah teater muzikal bertajuk SuperHero Disember ini. Ini merupakan teater muzikal ketiga daripada Revolution Stage dan yang pertama bersama myHarapan (Yayasan Amanah Belia).

Setelah kejayaan teater ASRAMARA AllStars di KLPAC Oktober lalu, Revolution Stage kini kembali mempertaruhkan bakat anak-anak muda untuk pementasan teater muzikal SuperHero. Teater ini bermula dengan bengkel asas lakon yang dikendalikan oleh Revolution Stage dibawah pengurusan myHarapan. Ia disertai oleh lebih kurang 15 peserta yang terdiri daripada remaja-remaja daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR). Bengkel yang dibahagikan kepada 3 fasa ini telah memasuki fasa terakhir iaitu pementasan.

Komen Khairunazwan tentang naskhah yang ditulisnya, “SuperHero adalah berdasarkan kisah-kisah benar yang saya kumpul daripada kawan-kawan serta kenalan”. Dengan tagline “hanya perlu percaya”, teater muzikal SuperHero mengajak para penonton untuk percaya dengan diri sendiri untuk berjaya.

Kejayaan tidak datang bergolek. Tambah Khairunazwan lagi – yang juga merangkap pengarah pementasan – “tajuk SuperHero itu sendiri membangkitkan semangat dan mencetus inspirasi, maka saya akan cuba untuk mengekalkan semangat dan inspirasi itu sepanjang pementasan sehingga tamat”.

“Melalui projek teater ini, dan seterusnya pementasan SuperHero, myHarapan berharap objektif inisiatif ini iaitu mengetengahkan bakat-bakat muda khususnya daripada komuniti PPR (Projek Perumahan Rakyat) dapat dicapai,” kata Nurfarini Daing, Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan. “Projek teater ini juga telah membuktikan bahawa remaja-remaja daripada komuniti-komuniti PPR juga mampu untuk meraih kecemerlangan jika mereka diberi platform yang bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya platform kreatif seperti seni persembahan,” tambah beliau lagi.

Selain daripada itu, Nurfarini juga berpendapat bahawa keistimewaan SuperHero terletak pada ketulenan ceritanya, iaitu berdasarkan cerita-cerita benar mengenai watak-watak yang sememangnya wujud di kalangan komuniti yang kurang bernasib baik. Teater ini bermatlamat mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat awam di negara ini mengenai masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan belia daripada komuniti ini.

Pementasan ini menampilkan Projek BB (Budak Baru); sebuah kumpulan yang juga bermula daripada bengkel asas teater anjuran myHarapan. Projek BB sebelum ini telah berjaya mementaskan dua teater muzikal iaitu Ramleefestasi dan SudirMania. Bagi pementasan SuperHero ini, Projek BB bertindak sebagai mentor kepada para peserta PPR selain turut terlibat sebagai pelakon.

Teater Muzikal SuperHero akan didokong oleh Along Eyzendy, Aqasha dan Zulin Aziz. Tiket berharga RM45 dan RM35 (pembelian early bird bermula pada 25 November sehingga 2 Disember 2014). Untuk tempahan dan pembelian tiket, sila hubungi Cik Atikah di talian 01123428322.Sila klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage dan myHarapan untuk maklumat lanjut.

9 Bintang Bawa Watak Pelajar Sekolah Dalam ASRAMA-RA ALLSTARS

IMG_1652

Revolution Stage bakal mementaskan sebuah teater yang bertajuk Asrama-RA All-Stars dengan membawakan 9 artis yang dikenali sebagai teraju utama.

Teater ASRAMARA pernah dipentaskan di Menara MARA pada Oktober 2013 yang lalu dilakonkan oleh peserta-peserta First Time Workshop anjuran Revolution Stage. Walaupun pernah dipentaskan, pengarah teater ASRAMARA, Khairunazwan Rodzy berhasrat mementaskan semula teater ini dengan mempertaruhkan artis-artis dikenali. Kerana itu pementasan kali ini dinamakan ASRAMA-RA All-Stars. Pelakon-pelakon yang terlibat ialah Sharifah Amani, Siti Saleha, Dira Abu Zahar, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Sherry Al-Hadad, Fynn Jamal, Intan Nor Saina dan Tuan Faisal dari Projek Disko Baldi.

Poster-Ramai-A4 (2)

Menurut Khairunazwan “penonton yang selalu mengikuti perkembangan Revolution Stage pasti tahu akan identiti Revolution Stage yang sentiasa mengetengahkan bakat baru dalam setiap pementasan. Namun kali ini kami ingin mengembangkan budaya menonton teater kepada khalayak ramai. Jadi, artis-artis dikenali diambil sebagai peneraju utama pementasan kali ini”. Walaubagainamanapun, beliau menekankan bahawa pemilihan artis-artis dikenali ini bukan berdasarkan populariti semata-mata. Contohnya, Sharifah Amani, Amerul Affendi,  Dira Abu Zahar dan Nadiya Nisaa bukanlah nama baru dalam bidang lakonan. Sherry Al-Hadad yang sedang meningkat naik sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang teater. Seperti Sherry, Tuan Faisal juga mempunyai kredibiliti dalam pementasan teater dengan kejayaan Projek Disko Baldi. Pemilihan Fynn Jamal pula adalah berdasarkan watak yang dirasakan sebagai sangat sesuai dibawakan oleh beliau, seperti mana Intan Nor Saina yang sebelum ini terlibat dalam pementasan teater muzikal SudirMania. Siti Saleha pula dipilih untuk memperkenalkan beliau dalam industri teater. Pementasan ini bakal menjadi pementasan teater kedua beliau.

ASRAMA-RA All-Stars akan dipentaskan di Pentas 1, KLPAC pada 16 hingga 19 Oktober 2014. Pementasan akan berlangsung pada pukul 8.30 malam pada 16 hingga 19 Oktober dan pada pukul 3 petang pada 18 dan 19 Oktober.

Tiket berharga RM 40, RM 45 (early bird) dan RM50. Untuk maklumat lanjut, sila klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage. Manakala untuk tempahan dan pembelian tiket, sila hubungi Nik Chip Afiq di talian 0107603101.

Muzikal SudirMANIA Kembalikan Nostalgia Konsert Gergasi Chow Kit Road 1986

IMG_7329

Pentas Revolusi dengan kerjasama Revolution Stage dan Istana Budaya bakal mementaskan teater muzikal bertajuk sudirMANIA yang memberi penghargaan kepada lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.

SUDIRMANIA akan menjadikan Konsert Gergasi Chow Kit Road sebagai latar tempat. Berlatarkan tahun 1986, mengisahkan tentang beberapa kumpulan remaja dari latar kampung, bandar dan pinggir bandar yang terlalu meminati Sudirman dan ingin pergi ke Konsert Gergasi Sudirman di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, Ramlan menerima jemputan perkahwinan dari Zeti yang tinggal di bandar. Zeti bakal berkahwin dengan Osman tanpa kerelaannya sehari selepas konsert gergasi tersebut. Yusuf pula, ayah kepada Ramlan, tekad mahu ke bandar berjumpa dengan bekas isterinya. Mereka mahu bertemu pada konsert tersebut. Manakala, 3 orang mat ganja yang bermaustautin di Chow Kit merasakan konsert ini bakal menganggu ketenteraman tanah pusaka mereka yang selama ini sunyi. Mereka bertiga, di ketuai oleh Mael, mahu melakukan kegiatan menyeluk saku mereka di konsert itu nanti.

IMG_7313

Pengarah merangkap penulis skrip Khairunazwan Rodzy berkata “SUDIRMANIA mengembalikan nostalgia lagu-lagu Allahyarham dalam bentuk teater yang berlatarkan Konsert Gergasi Chow Kit Road”. Beliau merasakan perlu untuk mementaskan teater ini kerana semakin ramai anak-anak muda yang makin lupa dengan lagu-lagu Allahyarham, juga yang tidak tahu akan kewujudan konsert yang telah menempa nama dalam Malaysia Book of Records ini. Beliau menambah “SUDIRMANIA menggambarkan kegilaan penonton pada penghibur kesayangan mereka itu”.

Muzikal ini akan dikendalikan oleh Ayop Azril (Pengarah Muzik)c dari segi susunan musik dan menampilkan lebih daripada 20 orang pelakon dari Projek BB; satu kumpulan teater yang dianggotai oleh belia yang cintakan seni persembahan pentas. Projek BB pernah mementaskan RAMLEEFESTASI, satu teater penghargaan kepada lagu-lagu dan filem-filem Allahyarham P Ramlee.

IMG_7430

Intan Nor Saina akan membawakan watak Zeti, gadis bandar yang mahu ke konsert untuk berjumpa dengan kekasihnya, Ramlan. Turut membantu adalah Kirin Muhamad dan Mustaqim Mohamed dari Pelangi Chenta. Pelangi Chenta adalah satu ‘band’ yang sedang dalam proses merakamkan single pertama mereka. Kirin Muhamad (vokalis) akan memegang watak Yusuf. Mustaqim Mohamed yang bakal tampil dengan filem CEO tahun ini akan memegang watak Osman.

SUDIRMANIA akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 28 Mei hingga 1 Jun 2014. Pementasan berlangsung pada 8.30 (28 Mei hingga 1 Jun) dan pada 3pm dan 8.30pm (31 Mei). Tiket berharga RM35 dan RM55 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage. Untuk tempahan dan pembelian tiket pula, hubungi Jiggy Wawa 0192177507