Tag Archives: Roax Tan

‘Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!!

‘Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!! | Ekoran kejayaan siri komedi pendidikan Oh My English! (OME), Astro dengan bangganya mempersembahkan sebuah lagi telefilem istimewa untuk peminat setia OME berjudul ‘Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!!. Telefilem ini akan ditayangkan secara eksklusif pada 5 September 2015, jam 9 malam, secara serentak di 3 saluran iaitu Astro TVIQ (Saluran 610), Astro Prima (Saluran 105) dan juga dalam siaran definisi tinggi di Astro Maya HD (Saluran 135).

Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!! merupakan telefilem keempat siri Oh My English! selepas Oh My Ganu!, Oh My English – Hello America dan Oh My English: Villa Isabellaaa! Filem yang diarahkan oleh Shamyl Othman dan Umi Omar ini mengisahkan pengembaraan Mr Henry Middleton yang menawarkan diri untuk mengajar di sebuah kampung terpencil di Malaysia bernama Kampung Dalam Ayer. Di sana, dia bertemu ‘teman’ baharu yang cukup istimewa iaitu seekor kambing yang sudah lama menjadi penghuni tetap Kampung Dalam Ayer, (suara latar kambing dihidupkan oleh Jihan Muse; pemenang Anugerah Artis Komedi Wanita Terbaik, Anugerah Lawak Warna 2015).

Biarpun pada peringkat awal peminat filem ini mungkin sedikit suspens melihat Mr Henry Middleton menangani cabaran ketika berhadapan dengan kemudahan asas yang cukup terhad dan ancaman haiwan berbisa, keupayaannya menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang baharu pasti akan menghiburkan mereka. Abam Bochey (pemenang Anugerah Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014) akan menampilkan komedi dan jenaka bersahaja beliau menerusi karakternya sebagai Mail, ‘penghulu’ Kampung Dalam Ayer. Mail meninggalkan Mr Henry Middleton dengan tugas yang agak berat dan mencabar iaitu menawan hati murid-muridnya di SK Dalam Ayer, Leela (Kashika from Ceria Popstar), Abu (Haiqal Eqmal) dan Izz Illham (Hafiz), yang penuh helah dan lebih gemar mengenakan cikgu baharu mereka berbanding belajar bersama Mr Henry Middleton.

Sementara itu di Ayer Dalam, perhubungan Encik Ariff (Nazrief Nazri) dan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) semakin intim. Dalam usaha menghentikan perhubungan tersebut daripada terus mekar, bekas pelajar Mr.Henry Middleton membuat keputusan mengejut untuk melawat beliau dan membawanya kembali ke Ayer Dalam. Kedatangan Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin), Taylor Marie Smith (Juliana Evans) dan See Yew Soon (Roax Tan) ke Kampung Dalam Ayer meletakkan Mr Henry Middleton di dalam dilema sama ada untuk terus berbakti di Kampung Dalam Ayer ataupun kembali ke SMK Ayer Dalam. Selain daripada pelakon asal siri Oh My English, Jasmin Hamid juga akan membuat kemunculan istimewa dalam telefilem ini. Jangan lupa menyaksikan Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!! untuk mengetahui apakah kesudahan telefilem ini.

Vickie Lai, Ketua Bahagian Pendidikan Astro berkata, “Kami di Astro akan terus menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik dan dekat di hati rakyat Malaysia. Dalam Oh My English: Oh My Goat – Come Baaack!!, kami meletakkan karakter-karakter kegemaran kita daripada SMK Ayer Dalam ke dalam persekitaran yang baharu yang cukup asing dalam usaha membuktikan kepada mereka di luar sana tanpa mengira latar belakang dan tempat, pendidikan dan penguasaan Bahasa Ingggeris itu amat penting dalam kehidupan seharian. Kami berharap para peminat dapat berhibur sambil belajar dengan para pelakon kami dalam telefilem istimewa ini. Kami juga ingin berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Xpax dan Vitagen atas sokongan padu dan kerjasama mereka.”

Peminat setia Oh My English! boleh mengikuti perkembangan terkini rancangan tersebut menerusi Oh My English – sama ada menerusi Facebook (Oh My English), Twitter (Oh_My_English!), YouTube (Oh My English!) dan Instagram (@ohmyenglish). Apa yang dianggap Istimewa kali ini ialah bagaimana satu kempen media sosial khas, “Oh My Goat Show” turut didedikasikan khas bersempena dengan telefilem ini. Kempen ini menampilkan kambing yang digunakan dalam telefilem tersebut, Cik Kam Ambing. Peminat boleh menghantar cetakan skrin mana-mana kesilapan penggunaan Bahasa Inggeris, bersama soalan mereka dengan menyertakan hashtag #ohmygoat menerusi akaun Facebook, Twitter dan Instagram masing-masing. Menariknya, Cik Kam akan melayan serta menyelesaikan segala persoalan ini menerusi telatah lucu dan gelagatnya dalam video yang akan menyusul. Layari laman sesawang rasmi Oh My English! www.ohmyEnglish.com.my untuk maklumat lanjut.

OH MY ENGLISH! Musim Ketiga Tampilkan Nadiya Nisaa, Ogy Dan Carmen Soo

OME3_3

Berikutan kejayaan siri Oh My English (OME!) Musim Pertama, Musim Kedua, Oh My Ganu dan OME! Hello America, siri hiburan berpendidikan popular ini kembali dengan Oh My English! Musim Ketiga yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad bermula dari 18 Mei 2014, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (saluran 135).

Musim terbaru ini bakal menyaksikan para pelajar kelas 3 Merah telah meningkat setahun dewasa tatkala mereka memulakan semester yang baru di dalam kelas 4 Merah. Watak-watak kegemaran anda seperti Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran) serta guru-guru kesayangan mereka Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) akan kembali dalam musim ini dengan kisah serta jalan cerita yang lebih segar.

OME3_4

Para peminat siri ini pastinya teruja tatkala SMK Ayer Dalam akan menerima barisan pelajar, guru dan seorang pegawai keselamatan yang baru. OME! Musim Ketiga akan menampilkan barisan bakat baru dan juga veteran yang sangat berpengalaman dalam industri hiburan. Pelakon terkenal yang telah merangkul pelbagai anugerah, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dengan panggilan Ogy akan bergandingan dengan seorang pelakon yang melonjakkan namanya menerusi lakonan mantap dalam drama ‘Adam & Hawa’ iaitu Nadiya Nisaa.

Seorang pelakon jelita tanah air yang berjaya mencipta nama menerusi lakonan beliau dalam beberapa siri drama Filipina iaitu Carmen Soo juga akan turut serta di dalam siri ini bersama pelakon komedi yang hebat iaitu Rahim R2. OME! Musim Ketiga juga akan memperkenalkan bakat-bakat baru yang semakin meningkat naik antaranya Amyra Rosli, Shafiq Kyle, Juzzthin dan juga Sherry Alhadad yang pastinya akan menyuntik kemeriahan dengan telatah dan gelagat mereka di samping mengetengahkan elemen pendidikan dan juga pengajaran nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada rancangan ini.

Selain daripada barisan pelakon utama yang sedia ada, terdapat ramai selebriti popular tanah air yang akan turut membuat penampilan khas sepanjang musim baru ini antaranya Faizal Hussein, Hans Isaac, Rashidi Ishak, Waris dan Bront Palare yang pastinya akan menggamatkan lagi suasana. Pastikan anda terus menonton kesemua 23 episod untuk musim ketiga ini bagi mengetahui watak yang akan dibawa oleh barisan pelakon baru dan penampilan khas ini.

OME3_1

Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Perniagaan Astro berkata: “Kami di Astro begitu komited dalam memenuhi kehendak para penonton kami yang terdiri dari pelbagai golongan termasuklah golongan belia seperti para pelajar sekolah rendah dan menengah. Janji kami untuk membekalkan rangkaian program televisyen yang relevan dan menarik telah terbukti menerusi penyiaran siri Oh My English! yang bukan sahaja menghiburkan malah menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran Bahasa Inggeris di luar bilik darjah yang berkesan. Oh My English diterbitkan dengan kaedah yang interaktif dan mudah difahami serta sesuai untuk tontonan ibu bapa, para pelajar dan seluruh ahli keluarga”.

Beliau menambah, “di samping menerima sokongan yang sangat memberangsangkan daripada orang ramai dan juga Kementerian Pendidikan, kami turut terharu atas ribuan pesanan positif yang diterima dari para peminat yang menginginkan siri Oh My English yang sudah sebati dengan mereka ini diteruskan. Jumlah tontonan bagi program ini juga adalah sangat menakjubkan di mana kami menerima lebih daripada 3.6 juta tontonan pada musim pertama, 5.2 juta pada musim kedua dan untuk dua buah telefilem istimewa Oh My Ganu dan Hello America yang masing-masing mencatatkan lebih daripada 2.7 juta dan 2.5 juta. Oh My English! juga terus merentasi populariti media sosial dengan mencatatkan 616,000 peminat di Facebook, 82,000 pengikut di Twitter dan 13 juta tontonan di YouTube. Berikutan penerimaan luar biasa sepanjang dua tahun yang lepas, kami dengan berbesar hati ingin mengumumkan Oh My English akan kembali ke kaca televisyen bagi menghiburkan anda”.

Kami berharap agar para penonton akan terhibur dengan musim ketiga ini yang penuh dengan kejutan dan kelainan. Berbeza dengan musim-musim sebelumnya, musim terbaru ini bukan sahaja padat dengan elemen jenaka dan pendidikan, malah akan turut diselitkan dengan pelbagai nilai murni yang boleh dicontohi. Saya mewakili Astro dan pihak produksi Oh My English ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua peminat dan penaja kami yang bertungkus lumus dalam memberikan sokongan padu sehingga berjaya menerbitkan siri Oh My English! Musim Ketiga”, tambah Putri Yasmin lagi.

Kombinasi pelbagai watak baru, drama, jalan cerita yang lucu dan kandungan pengajian Bahasa Inggeris yang mantap pastinya akan menjanjikan pengalaman tontonan yang unik, berbeza serta menyeronokkan di kaca televisyen anda. Musim ini juga akan membawa topik-tpoik menarik yang selari dengan peristiwa dan situasi semasa seperti laman sosial, Instagram, Piala Dunia dan juga hari kemerdekaan Malaysia di mana dalam episod Merdeka ini mereka akan merentasi masa dan kembali ke tahun 1957 lantas bertindak seakan-akan masyarakat yang hidup di era tersebut.

Selain itu, para peminat boleh mendapatkan kandungan pengajian bahasa yang lebih mendalam meliputi pengajian kosa kata, tatabahasa, sebutan, peribahasa dan banyak lagi melalui variasi permainan dan aktiviti dengan melayari laman sesawang khusus (www.ohmyenglish.com.my). Para peminat juga akan berpeluang untuk berjumpa dengan watak-watak kegemaran mereka secara langsung melalui pelbagai aktiviti seperti jerayawara, sesi beramah mesra bersama peminat, ‘OME day out’ dan lain-lain lagi.

Bukan itu sahaja, Astro TVIQ juga akan menyiarkan sebuah episod istimewa “Di Sebalik Tabir” Oh My English Musim Ketiga pada 11 Mei 2014 (Ahad), jam 9.00 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135)

Astro ternyata sangat berbesar hati dengan sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh barisan penaja dalam menjayakan OME! Musim Ketiga ini.

Penaja utama:

Nestlé telah menyokong siri OME sejak dari mula lagi dan untuk musim ini, Nestle Crunch Wafer bertindak selaku penaja utama disertai dengan Nescafe UHT dan Nestle Mat Kool. Peluang untuk mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih baik harus diberikan pada semua dan Nestle sentiasa menyokong usaha dalam membantu belia Malaysia untuk menambah baik kemahiran bebahasa Inggeris mereka dengan cara yang menyeronokkan.