Tag Archives: Rumoh Mekda

RUMOH MEKDA, RASA PANTAI TIMUR DALAM SUASANA RUMOH

KUALA LUMPUR – Apa yang bermula daripada kecintaan terhadap masakan Melayu dan perniagaan katering kini berkembang menjadi sebuah destinasi kulinari tersendiri menerusi Rumoh Mekda Bangsar.

Terletak di Bangsar Village 1, Rumoh Mekda secara rasmi dilancarkan dalam sebuah majlis yang diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Pelancaran itu menandakan lembaran baharu buat jenama yang selama ini membawa cita rasa Pantai Timur ke rumah, majlis dan pelbagai keraian pelanggan.

Di sebalik Rumoh Mekda ialah pengasasnya, Mekda, yang mempunyai kecintaan mendalam terhadap dunia masakan. Daripada memasak untuk keluarga, minat tersebut berkembang menjadi perniagaan makanan sebelum akhirnya melahirkan sebuah restoran yang boleh dikunjungi setiap hari.

Rumoh Mekda Bangsar membawa masakan Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Bangsar Village 1.

DARI DAPUR KELUARGA KE RUMOH MEKDA

Perjalanan Mekda dalam bidang makanan bermula ketika beliau berusia lingkungan 30-an. Antara makanan terawal yang diusahakan ialah sandwic sebelum beliau mula menjual nasi lemak selama beberapa tahun.

Pandemik COVID-19 kemudian mengubah cara perniagaan dijalankan. Mekda beralih kepada jualan dalam talian dengan menawarkan nasi lemak, nasi kerabu serta pelbagai lauk-pauk Melayu kepada pelanggan.

Daripada jualan dalam talian, perniagaan tersebut berkembang kepada katering. Melalui perkhidmatan itu, Rumoh Mekda mula membina hubungan dengan pelanggan menerusi hidangan yang disediakan untuk keluarga, majlis dan pelbagai keraian.

Rumoh Mekda Bangsar membawa masakan Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Bangsar Village 1.

Selepas kira-kira enam tahun membina perniagaan serta menerima galakan keluarga, pelanggan dan rakan-rakan, Mekda akhirnya mengambil keputusan untuk mempunyai sebuah premis sendiri.

“Rumoh Mekda bermula dengan katering. Kami sangat bertuah kerana diberi peluang membawa makanan kami ke rumah dan majlis pelanggan. Di situlah sebenarnya perjalanan ini bermula.

“Lama-kelamaan, kami terfikir untuk mewujudkan sebuah tempat di mana orang ramai pula boleh datang kepada kami. Makanan ini kini boleh dinikmati setiap hari dan bukan hanya untuk majlis tertentu,” katanya.

JIWA PANTAI TIMUR DI TENGAH BANGSAR

Pemilihan Bangsar Village 1 memberikan Rumoh Mekda peluang memperkenalkan masakan Pantai Timur kepada komuniti lebih luas. Bangsar yang dihuni masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta dikelilingi kawasan pejabat dan perniagaan dilihat sesuai dengan konsep tersebut.

Nama Rumoh Mekda sendiri mencerminkan identiti yang mahu dibawa. Ia diinspirasikan daripada kehangatan sebuah rumah, tempat makanan disediakan dengan penuh kasih sayang dan setiap tetamu mempunyai tempat di meja makan.

Rumoh Mekda Bangsar membawa masakan Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Bangsar Village 1.

Konsep tersebut juga dekat dengan keperibadian Mekda. Beliau sejak dahulu gemar memasak untuk keluarga dan rakan-rakan serta sering mengajak mereka datang menikmati hidangan yang disediakannya.

“Saya memang suka memasak untuk keluarga dan orang sekeliling. Bila saya masak, saya akan panggil mereka datang makan. Saya gembira apabila melihat orang menikmati makanan yang saya sediakan,” katanya.

Pengalaman itu kemudiannya diterjemahkan menerusi Rumoh Mekda. Pelanggan bukan sekadar datang untuk makan, sebaliknya mahu diberikan pengalaman seperti bertamu ke sebuah rumah.

NASI KERABU, PATIN TEMPOYAK HINGGA SINGGANG OXTAIL

Di tengah identiti Rumoh Mekda Bangsar ialah masakan Pantai Timur yang mengambil inspirasi daripada tradisi kulinari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Antara menu yang diketengahkan termasuk Nasi Kerabu Ayam Percik, Ikan Patin Goreng Sambal Tempoyak, Daging Tumbok dan Singgang Oxtail. Setiap hidangan membawa karakter tersendiri dengan rasa yang dekat dengan tradisi masakan Pantai Timur.

Sebagai pelengkap, Puding Diraja turut ditawarkan sebagai pencuci mulut. Hidangan tersebut membawa elemen nostalgia yang dekat dengan pengalaman menikmati juadah tradisional.

Rumoh Mekda Bangsar membawa masakan Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Bangsar Village 1.

Selain menu utama, pelanggan terutama ketika waktu tengah hari turut mempunyai pilihan pelbagai lauk-pauk Melayu. Menu restoran juga terus dikembangkan secara berperingkat bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Bagi Mekda, makanan tradisional bukan hanya mengenai rasa. Setiap hidangan mempunyai hubungan tersendiri dengan memori, keluarga dan kampung halaman.

“Makanan sangat dekat dengan hati kita. Satu hidangan boleh mengingatkan kita kepada ibu, nenek, kampung halaman atau satu majlis bersama keluarga. Perasaan itulah yang kami mahu kekalkan.

“Masakan Pantai Timur mempunyai begitu banyak jiwa. Ia mempunyai karakter tersendiri dan lebih bermakna apabila dinikmati bersama. Kami mahu Rumoh Mekda menjadi tempat orang ramai boleh merasai semua itu,” katanya.

BUKAN SEKADAR SEBUAH RESTORAN

Rumoh Mekda juga dibangunkan sebagai ruang yang boleh menyatukan keluarga dan rakan-rakan. Konsep rumoh menjadikan pengalaman menjamu selera lebih santai, mesra dan dekat dengan suasana bertandang ke rumah keluarga.

Selain pelanggan harian, premis tersebut boleh menjadi pilihan untuk acara tertentu. Rumoh Mekda pernah menerima tempahan keseluruhan premis bagi majlis akikah, manakala ruangnya juga sesuai untuk acara seperti akad nikah dan pertemuan keluarga.

Pendekatan itu secara tidak langsung meneruskan DNA asal Rumoh Mekda dalam bidang katering. Bezanya, pelanggan kini mempunyai sebuah lokasi tetap untuk menikmati makanan dan mengadakan pertemuan bersama insan tersayang.

Rumoh Mekda dibuka setiap hari menerusi dua sesi, sekitar 11 pagi hingga 3.30 petang dan 6 petang hingga 10 malam. Kehadirannya turut diperkenalkan melalui Instagram, TikTok serta promosi mulut ke mulut daripada pelanggan.

Rumoh Mekda Bangsar membawa masakan Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Bangsar Village 1.

DARI KATERING KE MEJA SETIAP HARI

Pembukaan Rumoh Mekda di Bangsar Village 1 menjadi pencapaian penting buat Mekda selepas bertahun-tahun membina perniagaan makanan.

Jika sebelum ini hidangan mereka dibawa ke rumah dan lokasi majlis pelanggan, kini Rumoh Mekda mempunyai sebuah rumoh sendiri. Pelanggan boleh datang menikmati masakan Pantai Timur setiap hari tanpa perlu menunggu sesuatu acara atau keraian.

Mekda bagaimanapun mengakui mengendalikan restoran pertama merupakan cabaran baharu. Pengalaman dalam perniagaan makanan dan katering menjadi asas penting untuk memastikan kualiti hidangan serta kepuasan pelanggan terus diberikan perhatian.

“Harapan saya supaya restoran ini diberkati dan pelanggan yang datang berpuas hati. Insya-Allah, dengan sokongan pelanggan dan keluarga, kalau ada rezeki kami mahu mengembangkan Rumoh Mekda pada masa hadapan,” katanya.

Pelancaran rasmi yang diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sekali gus menjadi detik bermakna dalam perjalanan Rumoh Mekda.