Tag Archives: Shiraz projects

KONVENSYEN PEMUZIK KARYAWAN 2026 BINCANG ROYALTI ARTIS, AI DAN MASA DEPAN INDUSTRI MUZIK

Lebih 200 artis, pemuzik dan penggiat industri muzik negara berkumpul di Restoran Saloma Kuala Lumpur sempena Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026 yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pada 21 Jun 2026.

Program yang dirasmikan oleh Razhuan Hussein, Timbalan Ketua Pengarah MyIPO, menjadi platform penting bagi pengamal muzik menyuarakan pandangan serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang masih membelenggu industri muzik tempatan.

Royalti Artis dan Hak Penstriman Jadi Fokus Utama

Antara topik paling hangat yang dibincangkan dalam Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026 ialah isu royalti artis, khususnya melibatkan royalti persembahan awam dan royalti mekanikal yang dijana menerusi platform digital seperti YouTube dan Spotify.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez

Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez, masih ramai artis rakaman yang belum menerima bayaran royalti yang sewajarnya walaupun karya mereka terus digunakan dan menjana pendapatan selama bertahun-tahun.

Beliau turut merujuk kepada kes melibatkan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, di mana keluarganya dilaporkan menerima royalti berjumlah RM367,000 selepas lebih tiga dekad.

“Walaupun ia satu perkembangan positif, persoalan yang timbul ialah mengapa ia mengambil masa sehingga 34 tahun untuk diselesaikan,” katanya.

Datuk Freddie turut menegaskan bahawa Karyawan akan membantu artis-artis yang masih belum menerima royalti mereka untuk membuat tuntutan terhadap pihak yang berkaitan.

Karyawan Mahu Badan Kutipan Royalti Tunggal Dikembalikan

Selain isu pembayaran royalti, konvensyen tersebut turut membincangkan keperluan mewujudkan semula satu badan kutipan royalti tunggal bagi menguruskan kutipan dan pengagihan royalti secara lebih telus.

Menurut beliau, kewujudan badan tunggal mampu mengurangkan kos operasi selain memastikan pengagihan royalti dilakukan dengan lebih adil kepada semua pihak yang terlibat.

Dalam masa sama, konvensyen turut meluluskan resolusi yang menyeru MACP dan RPM menarik balik tindakan mahkamah terhadap kerajaan bagi membolehkan Garis Panduan Badan Pengutip Royalti dilaksanakan sepenuhnya.

Penggunaan AI Dalam Muzik Perlu Dikawal Selia

Perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut menjadi antara agenda utama dalam Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026.

Peserta konvensyen bersetuju bahawa AI tidak boleh disekat sepenuhnya kerana teknologi tersebut menawarkan pelbagai manfaat kepada pemuzik dalam proses menggubah, menghasilkan dan mengedarkan muzik.

Namun begitu, kerajaan disaran memperkenalkan mekanisme kawal selia yang lebih jelas bagi memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan hak cipta, hak penggubah lagu dan hak artis persembahan.

Datuk Freddie menjelaskan bahawa industri muzik tidak boleh menafikan pengaruh AI yang semakin meluas, tetapi perlindungan terhadap pencipta karya tempatan perlu menjadi keutamaan.

Lebih 200 artis dan pemuzik hadir ke Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026 bagi membincangkan isu royalti, AI dan hala tuju industri muzik negara.

Memorandum Industri Muzik Akan Diserah Kepada Perdana Menteri

Hasil daripada pelbagai cadangan yang dikemukakan sepanjang konvensyen, satu memorandum khas akan disediakan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh dua minggu akan datang.

Memorandum tersebut akan merangkumi isu berkaitan royalti, penggunaan AI, pendidikan muzik, penganjuran konsert serta pengedaran digital yang dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan industri muzik negara.

Menurut Datuk Freddie Fernandez, antara sebab memorandum itu dibawa terus kepada Perdana Menteri adalah kerana industri muzik kini berada di bawah beberapa kementerian yang berbeza, sekali gus menyukarkan proses penyelarasan dasar dan pembangunan industri.

Cadangan Tubuh Perbadanan Pembangunan Industri Muzik

Salah satu cadangan utama yang diketengahkan ialah penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Muzik di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Penubuhan badan tersebut dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri muzik negara melalui penyelarasan dasar, pembangunan bakat, perlindungan hak artis serta pengukuhan ekosistem muzik tempatan.

Karyawan berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan secara serius demi memastikan masa depan yang lebih mampan untuk penggiat seni dan muzik Malaysia.

Sokongan Industri dan Kehadiran Panel Berpengaruh

Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026 turut mendapat sokongan daripada Restoran Saloma Kuala Lumpur, yang selama ini dikenali sebagai lokasi pertemuan artis dan pemuzik bagi membincangkan perkembangan industri.

Antara panel yang terlibat dalam sesi perbincangan ialah Para Rajagopal dari Live Nation Malaysia, Shiraz dari Shiraz Projects, penganjur konsert indie Aqmal Hakim, Prof Madya Dr Ramona Tahir, Prof Dr Tazul Izan Tajuddin, Syukor Ibrahim, Wan Haris Wan Ismail, pakar AI Hj Rozman Abas dan Othman Masri, pemuzik Dr Moja Salim, penulis lirik Ad Samad, publisher muzik Kimmy Khir, ikon media Joe Lee, usahawan muzik Prashan Chitty serta Melvin Wong, Pengurus Negara Malaysia dan Indonesia bagi platform pengedaran muzik OneRPM.

Kehadiran tokoh-tokoh berpengaruh ini memberikan pelbagai perspektif dan cadangan bernas yang bakal membantu memperkukuhkan ekosistem muzik tempatan serta membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah buat seluruh warga industri muzik Malaysia.

Kredit Foto : Papadin

PESTA MUZIK LIMA ARTIS BERLAINAN GENRE, MUSICA FEST TAMPILKAN NIDJI, GEISHA, D’MASIV, SHAKIRA JASMINE DAN STEVEN PASARIBU

Kuala Lumpur, 21 April 2025 – Pemilihan nama “Musica Fest” untuk acara ini merupakan keputusan yang tepat oleh Shiraz Projects dengan kerjasama Musica. Hal ini kerana, muzik yang merangkumi pelbagai irama dan rentak berbeza akan dipersembahkan oleh barisan artis serta pemuzik yang terlibat dalam Musica Fest.

Nidji, Geisha, D’Masiv, Shakira Jasmine, dan Steven Pasaribu; lima pemuzik yang terdiri daripada kumpulan muzik hingga penyanyi solo yang kesemuanya mempunyai genre berbeza akan bergabung dalam Musica Fest.

Dijadualkan berlangsung pada 16 November 2025, Musica Fest akan diadakan di Axiata Arena Kuala Lumpur. Sebagai penganjur, Shiraz menggambarkan lima pemuzik yang bakal menghiburkan peminat di Musica Fest kelak sebagai pilihan dan gabungan yang tepat.

“Shiraz Projects sekali lagi berbangga apabila kembali menganjurkan pesta muzik seperti Musica Fest yang menampilkan pemuzik-pemuzik terkenal dari Indonesia yang sentiasa bersemangat untuk membuat persembahan di Malaysia.

“Saya melihat Nidji, Geisha dan D’Masiv bukan ‘pendatang baharu’ dalam industri ini tetapi permintaan peminat untuk mendengar dan menyaksikan persembahan mereka di Malaysia masih tinggi.

“Ini pula akan menjadi pengalaman pertama buat Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu bukan sahaja sepanggung dengan tiga senior mereka tetapi penganjuran dengan kerjasama Musica ini membolehkan finalis The Voice Kids Indonesia (Shakira) dan penyanyi lagu ‘Belum Siap Kehilangan’ (Steven) bertemu dengan peminat di Malaysia,” kata pengasas Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Menurut Shiraz lagi, mereka sengaja memilih pemuzik dengan pelbagai latar belakang dan genre muzik berbeza sesuai dengan penjenamaan Musica Fest yang dianggap sebagai pesta bunyi-bunyian yang pelbagai.

Bagi Nidji, penglibatan dalam Musica Fest bersama rakan seperjuangan seperti D’Masiv dan Geisha serta dua ‘pendatang baharu industri’ iaitu Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Tambahan pula, sudah lama Nidji tidak tampil sepanggung bersama Geisha dan D’Masiv. Kemudian ada dua lagi sahabat muzik yang ingin kami raikan kerana seperti meneruskan legasi muzik Indonesia agar terus berkembang dan maju, Shakira dan Steven, jadi Musica Fest adalah pesta yang wajib kalian hadiri,” ujar Nidji.

Untuk menikmati persembahan bertenaga dan luar biasa daripada Nidji, D’Masiv, Geisha, Shakira Jasmine dan Steven Pasaribu, jangan terlepas untuk mendapatkan tiket-tiket dengan beberapa kategori seperti yang disediakan oleh pihak penganjur.

Jangan lupa untuk menghafal juga ‘lagu popular’ Nidji seperti “Hapus Aku” atau “Sumpah dan Cinta Matiku”, “Haunting” dan “Cinta Tlah Terlambat” dari Steven Pasaribu, “Stalking” dan “Benar Salah” (Shakira Jasmine), dari D’Masiv seperti “Cinta Ini Membunuhku” serta lagu popular Geisha iaitu “Lumpuhkan Ingatanku”.

Tiket dengan harga dan kategori RM398 (Diamond), RM198 (Platinum), RM158 (Gold), RM188 (Rockzone – Free Standing) akan mula dijual pada 23 April 2025 bermula pukul 10 pagi.

Jangan terlepas, Musica Fest menanti anda semua di Axiata Arena Kuala Lumpur pada 16 November 2025.

MUSICA FEST KUALA LUMPUR

Artis: Nidji, D’Masiv, Geisha, Shakira Jasmine, Steven Pasaribu
Acara: Musica Fest
Tarikh: 16 November 2025
Waktu: 7.00 petang
Tempat: Axiata Arena, Kuala Lumpur
Harga tiket:

  • RM398 (Diamond)
  • RM198 (Platinum)
  • RM158 (Gold)
  • RM188 (Rockzone – Free Standing)

Tiket: www.myticket.asia
Hubungi: 03-86050196
Info Hotline: 012-2560082
Facebook: shirazprojects
Instagram: shirazprojects
Laman Web: www.shirazprojects.com
Penganjur: Shiraz Projects
Penganjur bersama: Musica Studio’s

Boyz II Men Bakal Gegar Kuala Lumpur Mei 2025

Bagi peminat muzik R&B, bersiap sedialah untuk satu pengalaman konsert yang tak ternilai! Kumpulan legenda Boyz II Men akan mengadakan persembahan di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025. Konsert ini dijangka akan membawa nostalgia dan kemeriahan kepada peminat setia mereka di Malaysia.

Perjalanan Muzik yang Mengagumkan

Boyz II Men telah mencipta nama dalam industri muzik selama lebih tiga dekad. Dengan penjualan album melebihi 64 juta unit, mereka diiktiraf sebagai kumpulan R&B terlaris sepanjang zaman. Lagu-lagu hit mereka seperti “End of the Road”, “I’ll Make Love to You”, dan “One Sweet Day” telah menjadi soundtrack kehidupan bagi banyak generasi.

Pencapaian mereka termasuk:

  • 4 Anugerah GRAMMY®
  • 9 Anugerah Muzik Amerika
  • 9 Anugerah Soul Train
  • 3 Anugerah Billboard
  • Anugerah MOBO 2011 untuk ‘Outstanding Contribution to Music’
  • Bintang di Hollywood Walk of Fame
  • Casino Entertainment Award untuk persembahan di The Mirage Resort and Casino, Las Vegas

Apa Yang Boleh Dijangkakan

Peminat boleh mengharapkan persembahan hit-hit klasik seperti “Motownphilly” dan “End of the Road”, serta lagu-lagu dari album terbaru mereka. Shawn Stockman, ahli kumpulan, menyatakan kegembiraan mereka: “Kami sangat teruja untuk kembali ke Asia dan membawa pengalaman Boyz II Men ke Kuala Lumpur. Energi dan kemesraan daripada peminat kami di Malaysia tidak seperti yang lain.”

Maklumat Tiket

Penjualan tiket akan bermula pada 10 Oktober 2024. Harga tiket adalah seperti berikut:

  • RM 995 (Diamond – Seated)
  • RM 795 (Platinum – Seated)
  • RM 695 (Gold – Seated)
  • RM 495 (Silver – Seated)
  • RM 355 (Bronze – Seated)

Butiran Lanjut

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan kumpulan legenda ini! Ikuti akaun media sosial Shiraz Projects untuk maklumat terkini mengenai konsert ini.

TULUS…. ‘MANUSIA’ YANG DINANTI DI KUALA LUMPUR

Seperti 1000 tahun lamanya tidak bertemu mata dan mendengar  suara pemenang anugerah AMI Awards 2022 ini. Terakhir dia memberi persembahan yang cukup  bertenaga dan meninggalkan kesan di hati peminat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala  Lumpur.

Sudah tentu kemenangan Tulus di AMI Awards 2022 menambahkan lagi debaran dan perasaan  peminat tegarnya untuk mendengar lagu-lagu album Manusia dibawakan secara langsung di Kuala  Lumpur. Tak dilupakan lagu-lagu nostalgia pada album-album sebelumnya.

Penyanyi yang membawa pulang piala Album Pop Terbaik, Artis Solo Pria Pop Terbaik, Album Terbaik  Terbaik ini juga membawa pulang anugerah Karya Produksi Terbaik Terbaik untuk lagu Hati-hati Di  Jalan. Lagu yang menjadi tema para peminat dalam bermacam situasi.

Shiraz Projects yang sebelum ini membawakan Tulus secara perdana di Kuala Lumpur melalui Konsert  Tulus Live at Istana Budaya dan seterusnya Konsert Sewindu Tour Kuala Lumpur di Dewan Plenari  merasa terpanggil dan bertanggungjawab melunaskan kerinduan dan kehendak peminat menonton  Tulus mendendangkan lagu-lagu lama dengan dibaluti dengan karya-karya barunya.

Bertempat di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ambience kali ini bakal mengamit lagi  memori dan momen peminat bersama Tulus dalam persembahan yang dinamakan “Fabulous Friday  presents Tulus”. Bakal diadakan pada 6 Januari 2023, pukul 8.30 malam, tiket-tiket boleh didapati di  www.myticket.asia.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia  maklum bahawa Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama  bandnya yang cukup kompak. Kehadiran Tulus,saya percaya bukan sahaja akan melunaskan kerinduan  para peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar tentang produksi dan karya yang baik dari rakan  seni seberang. Saya percaya bahawa hal-hal seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk  dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi pengalaman,” ujar Shiraz yang merupakan  Pengarah Urusan Shiraz Projects.

Tulus juga sudah tidak sabar untuk bertemu para peminat dengan mempersembahkan lagu-lagu dari  album Manusia buat kali pertama. “Lama betul tidak bertemu dengan para peminat di Kuala Lumpur.  Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak. Kita bakal menyanyi  bersama-sama,” ujar Tulus yang turut tidak sabar bertemu para peminatnya.

“FABULOUS FRIDAY PRESENTS TULUS” yang merupakan persembahan satu malam sahaja ini  dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

“FABULOUS FRIDAY PRESENTS TULUS”

Tarikh : 6 Januari 2023

Venue : Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

Laman Web : www.shirazprojects.com

Harga tiket : RM950 (VIP)

RM550 (Diamond)

RM450 (Platinum)

RM350 (Gold)

RM250 (Silver)

Tiket : www.myticket.asia

Contact : 0386050196

Info Hotline : 0122560082

Facebook : fabulousfriday

Instagram : fabulousfriday_shw

Facebook : shirazprojects

Instagram : shirazprojects

Laman Web : www.shirazprojects.com