Tag Archives: Siku 12

“Cabaran Utama Saya Adalah Untuk Kuasai Dialek Siam” – Zahiril Adzim

Aktor terkenal, Zahiril Adzim, 38, tidak akan menghalang jika anaknya Nadi Anaqi, 9, mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni pada masa depan.

Zahiril berkata, dia dan isterinya, pelakon Shera Aiyob sentiasa menyokong apa saja yang menjadi minat anak tunggal kesayangan itu.

“Saya tidak kisah jika Anaqi ingin menceburi bidang seni. Sebagai ibu bapa, kami akan sentiasa sokong apa yang Anaqi minat.

“Apa yang penting, saya akan memberi tunjuk ajar padanya untuk mencari hala tuju yang betul dalam bidang yang diminatinya itu,” katanya.

Namun, kata Zahiril atau nama sebenar, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, setakat ini, dia tidak nampak Anaqi meminati bidang seni sepertinya.

“Pada pemerhatian saya, Anaqi kurang meminati bidang seni kerana tidak suka berada depan kamera.

“Anaqi lebih pada bidang pelajaran dan sangat meminati subjek Matematik dan seni kraf,” katanya.

Ditanya sama ada Anaqi pernah ditawarkan berlakon mahupun menjadi model iklan komersil, kata Zahiril, belum ada lagi.

“Saya sedia mempertimbangkan jika ada tawaran untuk Anaqi berlakon bersama saya dan Shera,” katanya.

Mengenai Shera, kata Zahiril, isterinya masih terbabit dalam bidang lakonan selepas melahirkan anak.

“Selain menjadi pengurus saya, Shera masih berlakon jika ada kelapangan dan watak bersesuaian dengannya.

“Terus terang, saya selesa isteri menguruskan kerjaya seni sejak dulu kerana senang kami berbincang dan urusan kerja menjadi lebih mudah,” katanya yang sibuk mempromosikan filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka.

Mengulas filem Siku 12 terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, Zahiril berkata, dia terima tawaran berlakon kerana tertarik dengan naskhah itu.

Menerusi filem arahan Azhari Zain itu, Zahiril bergandingan dengan aktor terkenal, Syafiq Kyle selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Pelakon yang mengukir nama menerusi filem Bunohan dan Pekak itu berkata, dia ditawarkan pengarah untuk berlakon dalam filem Siku 12 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Azhari, watak pemuda keturunan Siam, A Wut dalam filem Siku 12 sesuai dengannya kerana pernah menonton lakonan dalam filem Bunohan.

“Saya sendiri berminat dengan jalan cerita yang mengangkat seni mempertahankan seni silat Siku 12. Pada masa sama, saya melihat senarai barisan pelakon juga bagus dan berbakat besar,” katanya.

Ditanya pengalaman bekerja dengan Azhari, kata Zahiril, dia sudah tahu cara pengarah itu bekerja kerana pernah bekerjasama dengannya.

“Kami pernah bekerjasama dalam filem Dukun Santet. Selaku pengarah, Azhari menerima cadangan pelakon bagaimana mahu menjiwai karakter.

“Azhari juga akan memberi penerangan kepada pelakon memahami dari segi karakter dan koreografi sebelum penggambaran bermula.

“Walaupun suara Azhari kuat ketika memberi arahan kepada pelakon, tetapi saya tidak pernah tertekan sepanjang penggambaran filem ini,” katanya.

Berkongsi cabaran, kata Zahiril, dia perlu banyak berlatih menjiwai babak pertarungan kerana tiada asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai mahupun seni persilatan Melayu.

“Mujur saya ada pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan. Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12.

“Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.

“Setiap kali berlakon dalam filem aksi, saya tidak boleh mengelak mengalami lebam di tangan dan calar di kaki atau sakit badan.

“Begitu juga dalam filem Siku 12. Ia perkara biasa apabila berlakon dalam filem aksi kerana perlu nampak seperti peninju sebenar beraksi di gelanggang.

“Antara cabaran lain dihadapi ialah saya perlu menguasai dialek Siam untuk menjiwai karakter A Wut. Mujur saya dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Syafiq, kata Zahiril, pelakon muda itu bagus dan mudah mendapat keserasian dengannya.

“Sebelum memasuki lokasi penggambaran, Syafiq sudah membuat kajian mengenai watak. Syafiq juga berbincang dengan saya bagaimana mahu membangunkan karakter mengikut tuntutan skrip filem.

“Apapun, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia gembira melihat sambutan penonton pada filem tempatan di pawagam ketika ini.

“Alhamdulillah, selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli filem The Assistant dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya percaya filem Siku 12 akan mendapat sambutan dan diterima peminat filem.

“Saya berharap filem Siku 12 akan membuka mata ramai pihak memperkenalkan seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia,” katanya.

Filem Siku 12 akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Filem Siku 12 Jadi Taruhan Aksi Syafiq Kyle Di Gelanggang Pertaruhan

Demi mencabar diri dalam filem bergenre aksi, aktor Syafiq Kyle mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan serta kepala benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang.

Baginya, sudah menjadi lumrah apabila seseorang pelakon mengalami kecederaan fizikal, namun dalam masa yang sama, dirinya tetap berhati-hati.

Syafiq berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd itu untuk mencabar diri beraksi sebagai peninju.

Dalam filem genre aksi arahan Azhari Zain itu, Syafiq bergandingan dengan aktor terkenal, Zahiril Adzim selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar serta dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Menurut Syafiq, dia juga sudah membuat persiapan awal dengan berlatih di gimnasium sebelum memasuki lokasi penggambaran filem Siku 12: Langkah Derhaka itu.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dulu (PKP), saya memang menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium.

“Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka itu,” katanya.

Berkongsi cabaran, kata Syafiq, dia bersyukur memiliki asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai yang diminati sejak dulu.

“Selain ada asas seni Muay Thai, saya juga berlatih dengan guru seni silat Siku 12 dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran.

“Sudah namanya filem aksi, saya juga mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan dan kepala juga benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Zahiril pula, kata Syafiq, ia kali pertama dia bekerjasama dengan pelakon senior itu.

“Zahiril juga ada asas dalam seni silat dan saya juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian berlakon dengannya.

“Dia bukan saja pelakon senior yang berpengalaman tetapi juga kelakar ketika di lokasi,” katanya.

Antara cabaran lain, kata Syafiq, dia perlu menguasai dialek Kedah untuk menjiwai watak utama sebagai Atid dalam filem itu.

“Mujur penerbit, Mohamad Pozi Mansor dan barisan kru filem Siku 12: Langkah Derhaka banyak membantu memperbetulkan dialek Kedah ketika di lokasi.

“Pada masa sama, saya juga selesa bekerjasama dengan Azhari selaku pengarah yang cukup berpengalaman kerana dia memberi kebebasan kepada pelakon untuk menjiwai karakter masing-masing.

“Azhari tidak garang tetapi suaranya sangat kuat ketika memberi arahan kepada pelakon dan kru di lokasi demi memastikan semua pelakon dapat menjiwai watak mengikut tuntutan skripnya,” katanya.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober depan. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka mengisahkan Atid dan A Wut berketurunan Siam adalah dua sahabat baik tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.

Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai, apatah lagi, pertandingan Muay Thai dianjurkan selepas padi dituai dengan terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun.

Bapa Atid, Ayah Man pernah belajar ilmu persilatan Seni Silat Tua Melayu Permainan Siku 12 dengan Tuan Guru Haji Zainal. Semasa berlawan dengan beberapa perompak bersama sahabatnya, Harun, Ayah Man secara tidak sengaja tertikam salah seorang perompak.

Harun menyuruh Ayah Man melarikan diri ke kampung isterinya di Pattani. Kerana peristiwa itu, Harun berkorban dan akhirnya, meninggal dalam penjara.

Apabila isterinya meninggal, Ayah Man berpindah ke Pendang bersama Atid dan hidup secara sederhana sebagai petani dan tukang kayu.

Atid dapat melihat ketangkasan bapanya bersilat sehingga dapat menumbangkan lintah darat di kampung. Ia membuatkan Atid mengetahui apakah jurus persilatan digunakan.

Atid beriya-iya mahu bapanya mengajar jurus persilatan, biarpun Ayah Man cuba mengelak dan merahsiakan ilmu persilatan Siku 12 akibat sejarah hitam bersama Harun.

Atas desakan Atid, Ayah Man bersetuju menurunkan ilmu persilatan Siku 12, jurus yang dapat menjatuhkan musuh sekelip mata iaitu jurus Langkah Derhaka walaupun dalam masa sehari.

Namun, Atid tidak menyangka sahabatnya, A-Wut mengkhianatinya apabila mendengar Ayah Man menurunkan ilmu persilatan kerana beranggapan Atid mementingkan diri mempelajari ilmu berkenaan tanpanya.

Siku 12, antara dendam, jurus Siku 12 Langkah Derhaka, maruah diri, cinta, persahabatan dan takdir, di sinilah bakal merungkai segala-galanya…