Tag Archives: Zebra studio

Gadis Jolobu The Movie Martabatkan Budaya Dan Adat Nogori

Filem bergenre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor mengangkat keunikan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau sebagai tarikan. Projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika bertemu dengan Hattan pada 2019. “Ia susulan sambutan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu meraih tontonan hampir 10 juta menerusi laman YouTube. “Sebagai legenda rock, Hattan tidak pernah memegang watak hero sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.

Kata Saraleana lagi, pihaknya juga berbincang dengan Hattan untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen muzikal dan banyak lagu seperti zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem Bujang Lapok dulu.

“Bukan senang menampilkan filem genre komedi yang ada sentuhan klasik, tetapi pengarah berpengalaman seperti CL Hor berjaya merealisasikannya,” katanya.

Mengulas penampilan Ahirine, kata Saraleana, sebagai penerbit visinya untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni. “Pengarah, CL Hor sendiri memilih Ahirine menerusi proses uji bakat. “Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun gadis dibesarkan di bandar. “Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ahirine sebagai muka baru dalam industri seni,” katanya.

Filem ini juga ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki di masa hadapan. Filem ini dikategorikan sebagai P13 namun ada beberapa dialog serta scene yang kurang enak ditonton untuk yang berumur dibawah 18 tahun. Walaupun ia sebagai jenaka namun mungkin boleh di tukar dengan dialog-dialog yang lain. Seperkara lagi,filem ini dilihat untuk memartabatkan budaya Negeri Sembilan,namun tidak banyak sisi budaya Negeri Sembilan diketengahkan. Ada beberapa pelakon juga seakan kurang fasih bila berdialog Negeri Sembilan. Namun secara keseluruhan syabas buat pihak Zebra Studio kerana berjaya menghasillan sebuah filem yang memartabatkan budaya dan adat Negeri Sembilan.Tidak ramai produksi di luar sana yang berani untuk mengeluarkan filem yang berteraskan budaya dan adat.

3.5/5

https://youtu.be/LIzBpxPCU1w

Sinopsis :

Menerusi filem ini, Hattan membawa watak Atan, Joey Daud (Ajoi), Khir Rahman (Acong) dan Ahirine (Jijah). Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman. Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Kekuatan filem ini sebenarnya terletak kepada persembahan 2 watak  iaitu Joey Daud (Ajoi) dan Khir Rahman (Acong) berbanding watakl Datuk Hattan sebagai Atan yang agak serius.  Penonton tidak kering gusi melihat telatah 2 watak tersebut yang benar-benar menghidupkan watak seorang yang gila-gila dan serorang lagi yang kedekut.

Walau bagaimanapun, kekurangan yang agak ketara terhadap cara komunikasi atau lakonan dialek Negeri Sembilan yang agak mendatar bagi  Ahirine Ahirudin dan pelakon-pelakon lain kecuali Datuk Hattan yang kedengaran asli percakapan dialek Negeri Sembilan beliau.

Secara keseluruhannya, filem ini memuaskan dan sesuai untuk tatapan seisi keluarga yang turut mengetengahkan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan. Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara pada 4 Ogos ini, manakala platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi.

Joey Daud Buka Akaun Instagram Dan TikTok Demi Gadis Jolobu

Hampir tiga dekad bergelar anak seni, pelakon dan pelawak otai, Joey Daud terpaksa membuka akaun Instagram dan TikTok untuk mempromosikan filem terbaharu berjudul Gadis Jolobu The Movie.

Joey atau pemilik nama sebenar, Zulkifli Daud, 49, berkata, dia akur orang lama sepertinya perlu mengikut trend semasa untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.

“Selepas sekian lama dalam bidang seni, saya tidak menyangka pada usia sekarang akan membuka akaun Instagram dan TikTok sebagai medium mempromosikan filem lakonan.

“Namun, saya percaya impak media sosial apabila beberapa babak lakonan dalam filem Gadis Jolobu The Movie yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok menjadi tular dalam media sosial,” katanya.

Mengulas lakonan dalam filem genre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie, pelakon kelahiran Masai, Johor itu berdepan cabaran menjiwai watak yang memerlukannya bertutur dialek Negeri Sembilan dengan pelat ‘S’ di penghujungnya. Contohnya, perkataan Apo jadi Apos.

Menerusi filem arahan arahan CL Hor itu, Joey bergandingan dengan Datuk Hattan dan Khir Rahman.

“Bayangkan, pengarah dan kru adalah 90 peratus bukan berbangsa Melayu dan mereka juga tidak memahami dialek Negeri Sembilan.

“Mujur, Hattan dan ada kru kelahiran Negeri Sembilan memantau dialek dituturkan ketika babak saya di lokasi penggambaran,” katanya.

Namun, kata Joey, dia tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian bekerjasama dengan Hattan mahupun Khir.

“Babak saya banyak dengan Khir kerana watak kami sebagai bujang terlajak yang terlebih dahulu pulang ke kampung selepas sekian lama bekerja di bandar.

“Saya dan Khir sudah banyak kali bekerjasama dalam pelbagai program seperti Muzikal Lawak Superstar, Maharaja Lawak Mega dan kumpulan JanGo. Disebabkan itulah, kami sudah tahu cara masing-masing bekerja.

“Antara perkara melucukan ialah babak saya menyanyi, tetapi semua kru ketawa dan turut sama menari,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan CL Hor, Joey berkata, dia selesa bekerja dengan pengarah berbangsa bukan Melayu yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan selama berbelas-belas tahun itu.

“CL Hor memberi kebebasan dan ruang kepada saya berkarya dan menjiwai watak,” katanya.

https://youtu.be/LIzBpxPCU1w

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E, Nizam Laksamana dan penampilan bakat baru serta pengacara Ahirine Ahirudin.

Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

Ditanya harapannya terhadap filem itu, Joey berkata, dia gementar menanti maklum balas penonton di pawagam.

“Pelawak adalah satu kerjaya. Bukan mudah menjadi pelawak yang bagus kerana kena banyak menuntut ilmu dengan pelawak hebat.

“Pada masa sama, bukan semua orang suka kita, tetapi saya ikhlas berkarya untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di You Tube.

Filem berkenaan akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan.