Tag Archives: Zukiee

ASTRO WARNA Perkenal HOS, JURI & Peserta LAWAK SOLO

Setelah berjaya melepasi sesi uji bakat yang telah diadakan di empat buah lokasi berbeza, sepuluh orang peserta telah dipilih bagi menyertai program komedi terbaharu Astro Warna iaitu ‘Lawak Solo’. Pasti membuatkan penonton tidak kering gusi, Lawak Solo yang dijadualkan bersiaran selama lapan minggu akan mula menemui penonton secara langsung dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, bermula 21 Oktober 2016, jam 10.00 malam dan boleh ditonton secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi baharu di mana pihak Astro Warna ingin mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo ataupun stand-up comedy yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air. Para peserta juga akan dibimbing oleh barisan pelawak terkenal seperti Nabil Ahmad, Ebby Yus dan Douglas Lim. Mereka bertiga ini bakal bertindak sebagai penasihat komedi dan akan bersama para peserta mengasah kemahiran berlawak masing-masing menerusi sesi pembelajaran khas yang diadakan pada setiap minggu. Segala aktiviti dan pembelajaran para peserta ini akan disiarkan menerusi ‘Kapsul Lawak Solo’ setiap hari di saluran Astro Warna. Selain itu juga peserta akan diberikan beberapa cabaran bagi menguji tahap kemahiran dan kreativiti mereka dalam berkomedi di antaranya berjumpa dengan orang ramai di tempat-tempat awam dan mereka kemudiannya dikehendaki untuk membuat lawak secara spontan di khalayak ramai. Sorakan dan tepukan yang diberikan penonton secara tidak langsung mencerminkan tahap kebolehan setiap peserta dalam melontarkan sketsa dan komedi masing-masing.

barisan-hos-peserta-dan-juri-lawak-solo

Sepuluh orang peserta lelaki yang telah berjaya melayakkan diri mereka untuk menyertai program Lawak Solo kali ialah DANIAL; [Mohamad Danial Bin Mohd Zaini 23, Pulau Pinang], MAD SABAH; [Achmad Bin Rusli 28, Sabah], NIZAM; [Mohd Nornizam Bin Mohd Yusof 35, Selangor], AG HAFIZ; [Mohd Hafiz Bin Abdul Ghani 31, Perak], AARON; [Aaron Aw Teik Hong 31, Kuala Lumpur], WAN GEGAU; [Mohd Saffuan Bin Samsudin 29, Melaka], KC NAZARI; [Ahmad Fadli Bin Mohd Nazari 33, Seremban], DINN (Dengerous); [Nor Hisyabudin Bin Bahar 31, Kedah], FIKRY; [Ahmad Fikry Bin Ahmad Ibrahim 22, Kedah], RIDZUAN;  [Muhammad Ridzuan Bin Ahamad Hsbulah 22, Pahang]. Kesemua dari mereka bakal diadili dua juri tetap yang sememangnya punyai pengalaman luas dalam dunia komedi tempatan iaitu Dato’ AC Mizal dan juga Saiful Apek. Selain itu, seorang juri jemputan akan diundang setiap minggu bagi memeriahkan Lawak Solo.

Bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara pentas Lawak Solo yang akan bersiaran selama lapan minggu bermula 21 Oktober ini, pelawak terkenal Johan telah diberi tanggungjawab tersebut. Selain itu juga Fad dari kumpulan Bocey juga akan turut memeriahkan program Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru yang popular di laman sosial dengan video-video parody mereka iaitu Jamal dan Zukiee.

Setiap minggu peserta akan diadili dengan menggunakan khidmat penjurian profesional sebanyak 70 % selain undian penonton sebanyak 30% dalam menentukan peserta manakah yang bakal disingkirkan dan seterusnya mara bagi merebut gelaran juara Lawak Solo bagi musim pertama ini.

Juara yang bakal dinobatkan pada minggu terakhir kelak akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM 80,000.00 berserta trofi manakala naib juara dan tempat ketiga pula akan menerima habuan sebanyak RM 40,000.00 dan RM 20,000.00 berserta trofi. Selain itu, wang saguhati sebanyak RM 10,000.00 juga turut menanti pemenang di tempat keempat. Saksikan episod pertama Lawak Solo yang akan bersiaran mulai 21 Oktober 2016, setiap Jumaat jam 10.00 malam hanya di saluran 132, Astro Warna dan saluran 134, Mustika HD.

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal | Program realiti komedi spontan popular, Super Spontan kembali dengan musim terbarunya, menampilkan 16 bintang yang tidak asing lagi! Lebih istimewa tahun ini, dua personaliti media sosial terkenal bakal menghangatkan gelanggang SuperSpontan dan memberi saingan hebat kepada pemain SuperSpontan Superstar lain yang terdiri daripada para selebriti dan pelawak popular tanahair. Jika sebelum ini, Zizan Razak pernah dinobatkan sebagai juara musim pertama dan musim keempat selain Jep Sepahtu untuk musim kedua, edisi kali ini turut menyaksikan kembalinya juara musim ketiga, Johan Raja Lawak bagi memburu kejuaraan keduanya!

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Sekitar sidang media
Sekitar sidang media

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro; Encik Bob Azrai berkata, “Super Spontan merupakan satu program yang dinanti-nantikan peminat saban tahun sejak ia mula diperkenalkan empat tahun lalu. Jadi tahun ini, selain membawakan barisan pelawak dan selebriti pujaan tanahair, kami turut menampilkan personaliti media sosial popular ke dalam skuad Super Spontan Superstar. Kebolehan mereka menampilkan pelbagai idea menarik di akaun media sosial masing-masing amat sesuai digabungkan dengan permainan SS yang bersahaja, menarik dan mencuit hati”.

Sama seperti musim terdahulu, Super Spontan Superstar meneruskan konsep berhibur sambil beramal apabila setiap pasukan yang memenangi pusingan mingguan berpeluang menyumbangkan wang tunai RM 5,000 kepada selebriti veteran terpilih ataupun para seniman yang memerlukan pembiayaan perubatan, sesuai dengan konsep ‘Superstar’ untuk mengangkat jasa insan-insan seni yang telah pun berbakti kepada dunia hiburan tanahair.

Johan Raja Lawak & Ozlynn
Johan Raja Lawak & Ozlynn

Selain Johan Raja Lawak, Super Spontan Superstar turut menyaksikan penyertaan isteri pemenang Anugerah Top Top Meletop ini iaitu Ozlynn di samping Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, serta Jamal dan Zukiee. Mereka akan melontarkan idea bernas masing-masing bersama-sama barisan pelawak negara yang cukup dikenali iaitu Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Jamal & Zukiee
Jamal & Zukiee

Berbeza berbanding musim sebelum ini, setiap pasukan tidak akan mempunyai pengurus sebaliknya seorang selebriti dilantik mengetuai kumpulan masing-masing. 16 selebriti ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan seperti biasa, di mana Johan Raja Lawak dan Tauke Raja Lawak dipilih memimpin barisan peserta yang lain. Mereka akan diundi sama ada menyertai kumpulan Harimau Hipster ataupun Monyet Mafia pada sidang media yang diadakan hari ini. Program yang akan bersiaran selama 10 minggu ini akan menyaksikan penyingkiran dilakukan minggu ke minggu di mana pada akhirnya, seorang pemain akan dijulang sebagai juara Super Spontan Superstar.

Menyedari akan kehebatan Dato’ AC Mizal yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi, disertakan pula dengan nama beliau yang begitu sinonim dengan jenama Astro Warna, beliau sekali lagi ditugaskan untuk mengemudi program ini. Dato’ AC Mizal bakal ditemani pelawak genit, Amir Raja Lawak yang akan muncul menghangatkan suasana selaku pengacara bersama. Pelopor komedi tanahair, Adflin Shauki pula bakal memegang amanah selaku komentator, berpasangan dengan seorang selebriti jemputan yang akan diundang setiap minggu bagi melontarkan komen-komen bernas tentang persembahan peserta yang bertanding. Para peserta akan diuji dengan pelbagai permainan spontan menarik yang pastinya membuatkan anda semua tidak kering gusi!

Gelagat para peserta ketika cabutan undian kumpulan

Kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang peserta kumpulan mereka. Musim ini, elemen ‘rantai kebal’ diperkenalkan di mana peserta terbaik berpeluang mendapatkan kelebihan ini. Rantai kebal mampu menyelamatkan peserta daripada tersingkir minggu tersebut dan juga boleh diberikan kepada peserta lain seandainya pemenang rantai kebal yakin akan kekebalan hakikinya. Namun begitu, di minggu ke berapa rantai kebal ini akan diberikan masih menjadi rahsia. Persembahan mingguan akan diadili berdasarkan format permarkahan yang ditentukan sepenuhnya melalui undian SMS daripada penonton dan menerusi laman web rasmi di www.superspontan.com.my. Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka pada 5 Ogos 2016. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Juara Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.00. Manakala Naib Juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM 50,000.00 dan RM 25,000.00. Sementara pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 setiap seorang. Super Spontan turut mendapat tajaan minuman tenaga Drive M7 dan Go Shop yang menaja baucer membeli-belah bernilai lebih RM 10,000 sebagai hadiah mingguan serta hadiah utama Peraduan Kata Kunci Super Spontan Superstar untuk dimenangi penonton di rumah.

Amyza Adnan
Amyza Adnan

15 minit sebelum bermulanya siaran langsung, dua penyampai popular radio rasmi Super Spontan, Era FM iaitu Jaa dan Hani akan muncul bagi mengacarakan ‘Era Spontan’ yang akan mengupas perkara hangat yang berlaku di belakang pentas selain membuat ramalan bintang mana yang berpotensi meninggalkan serta menyerlah di pentas Super Spontan pada setiap minggu. Astro Gempak pula berperanan selaku portal digital rasmi Super Spontan Superstar!

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Super Spontan Superstar pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD ( Saluran 134).