Tag Archives: Zulin Aziz

RM 30,000 Milik ZULIN AZIZ Dalam Perang Bibir

Menampilkan 24 artis popular Malaysia sebagai contender yang menggayakan semula lagu-lagu hits dari carta lagu tempatan dan antarabangsa, program hiburan popular TV9, Perang Bibir telah meraikan Zulin Aziz sebagai juara di episod akhir yang disiarkan pada 18 Mei 2017.

Dikenali dengan perwatakannya yang lucu, ceria dan happy go lucky, Zulin Aziz telah membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM 30,000 dan baucar penginapan 3 hari 2 malam tajaan Swiss Garden Beach Resort Kuantan.

Perang Bibir Final menyaksikan persaingan sengit antara Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar. Masing – masing mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri, persembahan lip sync mereka sangat menghiburkan sepanjang satu jam program bersiaran.

Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar telah diberikan tiga cabaran iaitu persembahan lip sync secara berduet dengan artis pilihan, lip game ‘Whisper Challenge’ dan persembahan lip sync secara solo dengan lagu pilihan sendiri. Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan istimewa ‘Yellow Claw” oleh Raja Lip Sync, Ucop dan ‘Bintang Hati’ daripada Amy Mastura.

Persembahan mereka ditentukan oleh penilaian markah daripada juri jemputan iaitu Amy Mastura dan Raja Lip Sync, Ucop sebanyak 50% dan 50% daripada sorakan atau jeritan penonton studio. Dalam segmen pertama, Zulin Aziz menampilkan Ain Sufia dalam persembahan lagu Ayda Jebat ‘Nakal, Nakal, Nakal’. Walaupun dikerumuni kumpulan penari, Zulin Aziz masih berjaya menjadi tumpuan mata penonton dan menerima komen positif daripada Amy Mastura dan Ucop.

Neera Azizi yang diberikan lagu Cindai telah memilih Mustaqim Bahadon sebagai pasangan duet dalam persembahannya. Neera Azizi perlu lebih teliti dalam gerakan bibir dan juga menjaga ekspresi muka semasa nada tinggi, malah dia juga harus berinteraksi dengan penonton.

Ryzal Jaafar telah beraksi dengan artis jemputannya, Syazwan Zulkifly menerusi lagu rancak, ‘Party Rock Anthem’. Amy Mastura memberikan komen bahawa Ryzal perlu menonjol dalam kalangan penari dan bukan menjadi bayang. Ucop turut mengingatkan Ryzal untuk mengutamakan lip sync kerana perkara itu yang menjadi penentuan dalam pertandingan ini. Zulin Aziz telah mendahului sebanyak 82 markah manakala Neera (73 markah) dan Ryzal (67 markah) di segmen pertama itu.

Seterusnya, Zulin, Neera dan Ryzal perlu meneka perkataan yang dibisik oleh Amy Mastura dan Ucop dengan memakai fon kepala yang telah dipasang muzik yang kuat dalam lip game – Whisper Challenge. Neera telah disingkir awal dan gagal meraih sebarang markah. Sekali lagi, Zulin menjadi pemenang dan meraih 25 markah manakala Ryzal mendapat 10 markah dalam segmen kedua itu.

Raja Lip Sync Ucop dan Amy Mastura tampil sebagai juri

Para penonton terus dihiburkan dengan persembahan lip sync solo daripada Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar di segmen terakhir. Lagu hits Beyonce, ‘Listen’ menjadi pilihan Zulin Aziz, Neera Azizi mempertaruhkan lagu popular Lady Gaga, ‘Bad Romance’ dan Ryzal Jaafar pula memilih lagu Projektor Band, ‘Sudah Ku Tahu’.

Zulin Aziz berjaya memukau penonton walaupun hadir tanpa penari dan penggunaan props di pentas. Neera Azizi pula dapat menguasai pentas dengan baik selepas mengambil kira tentang nasihat daripada Amy Mastura dan Ucop. Persembahan Ryzal Jaafar juga menerima pujian daripada para juri apabila berjaya menepati kriteria lip sync dan pandai mengawal emosi dalam melodi lagu.

Akhirnya, Perang Bibir 2017 melabuhkan tirainya dengan pengumuman Zulin Aziz sebagai juara. Beliau tidak menjangka kemenangan tersebut. Semasa pusingan kelayakan, Zulin hanya dapat mengumpul enam peminat tetapi beliau bersyukur dengan rezekinya sehingga mara ke episod akhir. Zulin Aziz mendedikasikan kepada keluarga dan kelab peminatnya yang sentiasa menyokong dan membakar semangat sepanjang penglibatan dalam industri seni.

Sidang produksi Perang Bibir 2017 diketuai oleh Nazatul Fariz Mohd Aziz sebagai penerbit eksekutif serta Daniel Chan, Saidatul Akmar Mohd Shah dan Ahmad Azahari Mohamad Ali sebagai penerbit. Program ini dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Dennis Yin telah bersiaran selama 12 episod di TV9. Anda masih boleh menontonnya menerusi portal video Nombor Satu Malaysia, www.tonton.com.my. Di youtube TV9Malaysia pula, pelbagai klip menarik disebalik tabir turut dipaparkan.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, youtube dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia. Gunakan hash tag #PerangBibir untuk menghangatkan perbualan tentang program ini di laman media sosial.

 

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal | Program realiti komedi spontan popular, Super Spontan kembali dengan musim terbarunya, menampilkan 16 bintang yang tidak asing lagi! Lebih istimewa tahun ini, dua personaliti media sosial terkenal bakal menghangatkan gelanggang SuperSpontan dan memberi saingan hebat kepada pemain SuperSpontan Superstar lain yang terdiri daripada para selebriti dan pelawak popular tanahair. Jika sebelum ini, Zizan Razak pernah dinobatkan sebagai juara musim pertama dan musim keempat selain Jep Sepahtu untuk musim kedua, edisi kali ini turut menyaksikan kembalinya juara musim ketiga, Johan Raja Lawak bagi memburu kejuaraan keduanya!

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Sekitar sidang media
Sekitar sidang media

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro; Encik Bob Azrai berkata, “Super Spontan merupakan satu program yang dinanti-nantikan peminat saban tahun sejak ia mula diperkenalkan empat tahun lalu. Jadi tahun ini, selain membawakan barisan pelawak dan selebriti pujaan tanahair, kami turut menampilkan personaliti media sosial popular ke dalam skuad Super Spontan Superstar. Kebolehan mereka menampilkan pelbagai idea menarik di akaun media sosial masing-masing amat sesuai digabungkan dengan permainan SS yang bersahaja, menarik dan mencuit hati”.

Sama seperti musim terdahulu, Super Spontan Superstar meneruskan konsep berhibur sambil beramal apabila setiap pasukan yang memenangi pusingan mingguan berpeluang menyumbangkan wang tunai RM 5,000 kepada selebriti veteran terpilih ataupun para seniman yang memerlukan pembiayaan perubatan, sesuai dengan konsep ‘Superstar’ untuk mengangkat jasa insan-insan seni yang telah pun berbakti kepada dunia hiburan tanahair.

Johan Raja Lawak & Ozlynn
Johan Raja Lawak & Ozlynn

Selain Johan Raja Lawak, Super Spontan Superstar turut menyaksikan penyertaan isteri pemenang Anugerah Top Top Meletop ini iaitu Ozlynn di samping Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, serta Jamal dan Zukiee. Mereka akan melontarkan idea bernas masing-masing bersama-sama barisan pelawak negara yang cukup dikenali iaitu Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Jamal & Zukiee
Jamal & Zukiee

Berbeza berbanding musim sebelum ini, setiap pasukan tidak akan mempunyai pengurus sebaliknya seorang selebriti dilantik mengetuai kumpulan masing-masing. 16 selebriti ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan seperti biasa, di mana Johan Raja Lawak dan Tauke Raja Lawak dipilih memimpin barisan peserta yang lain. Mereka akan diundi sama ada menyertai kumpulan Harimau Hipster ataupun Monyet Mafia pada sidang media yang diadakan hari ini. Program yang akan bersiaran selama 10 minggu ini akan menyaksikan penyingkiran dilakukan minggu ke minggu di mana pada akhirnya, seorang pemain akan dijulang sebagai juara Super Spontan Superstar.

Menyedari akan kehebatan Dato’ AC Mizal yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi, disertakan pula dengan nama beliau yang begitu sinonim dengan jenama Astro Warna, beliau sekali lagi ditugaskan untuk mengemudi program ini. Dato’ AC Mizal bakal ditemani pelawak genit, Amir Raja Lawak yang akan muncul menghangatkan suasana selaku pengacara bersama. Pelopor komedi tanahair, Adflin Shauki pula bakal memegang amanah selaku komentator, berpasangan dengan seorang selebriti jemputan yang akan diundang setiap minggu bagi melontarkan komen-komen bernas tentang persembahan peserta yang bertanding. Para peserta akan diuji dengan pelbagai permainan spontan menarik yang pastinya membuatkan anda semua tidak kering gusi!

Gelagat para peserta ketika cabutan undian kumpulan

Kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang peserta kumpulan mereka. Musim ini, elemen ‘rantai kebal’ diperkenalkan di mana peserta terbaik berpeluang mendapatkan kelebihan ini. Rantai kebal mampu menyelamatkan peserta daripada tersingkir minggu tersebut dan juga boleh diberikan kepada peserta lain seandainya pemenang rantai kebal yakin akan kekebalan hakikinya. Namun begitu, di minggu ke berapa rantai kebal ini akan diberikan masih menjadi rahsia. Persembahan mingguan akan diadili berdasarkan format permarkahan yang ditentukan sepenuhnya melalui undian SMS daripada penonton dan menerusi laman web rasmi di www.superspontan.com.my. Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka pada 5 Ogos 2016. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Juara Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.00. Manakala Naib Juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM 50,000.00 dan RM 25,000.00. Sementara pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 setiap seorang. Super Spontan turut mendapat tajaan minuman tenaga Drive M7 dan Go Shop yang menaja baucer membeli-belah bernilai lebih RM 10,000 sebagai hadiah mingguan serta hadiah utama Peraduan Kata Kunci Super Spontan Superstar untuk dimenangi penonton di rumah.

Amyza Adnan
Amyza Adnan

15 minit sebelum bermulanya siaran langsung, dua penyampai popular radio rasmi Super Spontan, Era FM iaitu Jaa dan Hani akan muncul bagi mengacarakan ‘Era Spontan’ yang akan mengupas perkara hangat yang berlaku di belakang pentas selain membuat ramalan bintang mana yang berpotensi meninggalkan serta menyerlah di pentas Super Spontan pada setiap minggu. Astro Gempak pula berperanan selaku portal digital rasmi Super Spontan Superstar!

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Super Spontan Superstar pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD ( Saluran 134).

#KELAKARAMA Tampilkan Diva Dan Anak Ke-5

Kelakarama Trade 02 copy

Satu slot baharu yang dinamakan #Kelakarama bakal menggelikan hati penonton akan ke udara selama satu jam setengah di saluran TV9 bermula 17 Januari 2015 kelak. Slot #Kelakarama bakal memaparkan beberapa genre program baru dengan pengisian program berlandaskan komedi untuk tontonan seisi sekeluarga.

Sebagai pembuka tirai, #Kelakarama akan menampilkan drama sitkom “Anak ke-5” yang bakal menemui penonton mulai 17 Januari 2015. Drama ini mengisahkan Tini, seorang gadis yang membesar di Indonesia terkejut apabila mengetahui yang dirinya merupakan anak angkat yang diculik dari sebuah keluarga di Malaysia 22 tahun dahulu. Ingin merubah nasibnya, Tini nekad meninggalkan Indonesia dan terbang ke Malaysia untuk mencari keluarga kandungnya. Namun kedatangan Tini telah merubah keadaan keluarga kandungnya. Dibesarkan dengan latarbelakang yang berbeza, Tini bukan sahaja sukar untuk menyesuaikan diri malah menjadikan keluarga kandungnya porak-peranda. Pelbagai aksi lucu terjadi ketika Tini cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan dan juga keluarga barunya itu.

Program Anak ke-5 ini dibintangi oleh Chacha Maembong, Riz Amin, Liza Abdullah, Linda Hashim, Janna Nick, Mustaqim Bahadom, Alvina dan Adam Shah.

Program Diva pula, dibintangi oleh Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz akan bersiaran selama sejam. Dengan konsep berlatarkan seakan sebuah program wawancara, namun Diva bukanlah program wawancara seperti kebiasaannya. Diva menampilkan barisan artis tanah air yang akan ditemuramah oleh kedua pelawak wanita kita mengenai pelbagai isu dan topik yang tidak disangka. Kenali artis kesayangan ramai dengan cara berbeza dan ikuti keseronokan permainan dan persembahan artis jemputan setiap episod.

Antara artis yang akan dijemput sebagai tetamu undangan dalam Program Diva ini seperti Amyra Rosli, Amar Baharin, Izzue Islam, Imran Ajmain, Izreen Azminda, Akim Ahmad, Abam Bocey, Aril, Sharifah Shahirah, Radhi OAG, Azhan Rani dan ramai lagi.

Kelakarama Trade 02

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Program TV3 dan TV9, Cik Sherina Nordin, “#Kelakarama ini adalah sebuah slot santai khas untuk ditonton oleh seisi keluarga di hujung minggu. Kami percaya bahawa setiap ibu bapa berasa letih setelah seminggu bekerja, jadi kami beri mereka masa untuk berehat pada hari sabtu untuk bergelak ketawa bersama keluarga dengan #Kelakarama. Lebih-lebih lagi, slot #kelakarama ini mempunyai pelbagai genre pilihan dimana yang pasti bakal mejadi sekadar hiburan keluarga sahaja.” Ujarnya lagi.

“Drama Sitkom Anak ke-5 pula sebuah Dramedi yang sangat lucu. Gaya watak Tini untuk menyesuaikan diri dengan budaya Melayu Malaysia memang lucu. Selain dia perlu biasakan diri dengan bahasa Malaysia. Namun, dramedi ini tiada kena mengena dengan mana-mana individu yang masih hidup atau yang telah tiada. Ini cuma sekadar hiburan keluarga sahaja.” Ujarnya lagi.

“Kami juga ingin menjemput semua pengguna media sosial di Malaysia andai kata mereka mempunyai sebarang gambar atau video yang lucu yang boleh dikongsikan selapisan masyarakat seperti jenaka lucu, teka teki, mahu pun pantun yang kelakar” tambahnya lagi. Ini bermakna segala jenis muat naik yang mengandungi elemen program dalam slot ini dapat di cari di laman sosial dibawah hashtag #Kelakarama dan boleh dikongsi bersama.

Jangan lepaskan peluang untuk meringankan tahap stress anda bersama slot #Kelakarama setiap malam sabtu bermula 17 Januari 2015 pada jam 8.30 malam. Program Drama Sitkom Anak Ke-5 akan keudara pada jam 8.30 malam, diikuti dengan Program Diva akan mula bersiaran pada jam 9.00 malam hingga 10.00 malam setiap hari Sabtu bermula 17 Januari hingga 4 April 2015. “Sekiranya ia kelakar, ia pastinya di #Kelakarama.

Teater Muzikal SUPERHERO Suntik Semangat Dan Inspirasi

Superhero Poster

Revolution Stage dengan kerjasama myHarapan bakal mementaskan sebuah teater muzikal bertajuk SuperHero Disember ini. Ini merupakan teater muzikal ketiga daripada Revolution Stage dan yang pertama bersama myHarapan (Yayasan Amanah Belia).

Setelah kejayaan teater ASRAMARA AllStars di KLPAC Oktober lalu, Revolution Stage kini kembali mempertaruhkan bakat anak-anak muda untuk pementasan teater muzikal SuperHero. Teater ini bermula dengan bengkel asas lakon yang dikendalikan oleh Revolution Stage dibawah pengurusan myHarapan. Ia disertai oleh lebih kurang 15 peserta yang terdiri daripada remaja-remaja daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR). Bengkel yang dibahagikan kepada 3 fasa ini telah memasuki fasa terakhir iaitu pementasan.

Komen Khairunazwan tentang naskhah yang ditulisnya, “SuperHero adalah berdasarkan kisah-kisah benar yang saya kumpul daripada kawan-kawan serta kenalan”. Dengan tagline “hanya perlu percaya”, teater muzikal SuperHero mengajak para penonton untuk percaya dengan diri sendiri untuk berjaya.

Kejayaan tidak datang bergolek. Tambah Khairunazwan lagi – yang juga merangkap pengarah pementasan – “tajuk SuperHero itu sendiri membangkitkan semangat dan mencetus inspirasi, maka saya akan cuba untuk mengekalkan semangat dan inspirasi itu sepanjang pementasan sehingga tamat”.

“Melalui projek teater ini, dan seterusnya pementasan SuperHero, myHarapan berharap objektif inisiatif ini iaitu mengetengahkan bakat-bakat muda khususnya daripada komuniti PPR (Projek Perumahan Rakyat) dapat dicapai,” kata Nurfarini Daing, Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan. “Projek teater ini juga telah membuktikan bahawa remaja-remaja daripada komuniti-komuniti PPR juga mampu untuk meraih kecemerlangan jika mereka diberi platform yang bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya platform kreatif seperti seni persembahan,” tambah beliau lagi.

Selain daripada itu, Nurfarini juga berpendapat bahawa keistimewaan SuperHero terletak pada ketulenan ceritanya, iaitu berdasarkan cerita-cerita benar mengenai watak-watak yang sememangnya wujud di kalangan komuniti yang kurang bernasib baik. Teater ini bermatlamat mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat awam di negara ini mengenai masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan belia daripada komuniti ini.

Pementasan ini menampilkan Projek BB (Budak Baru); sebuah kumpulan yang juga bermula daripada bengkel asas teater anjuran myHarapan. Projek BB sebelum ini telah berjaya mementaskan dua teater muzikal iaitu Ramleefestasi dan SudirMania. Bagi pementasan SuperHero ini, Projek BB bertindak sebagai mentor kepada para peserta PPR selain turut terlibat sebagai pelakon.

Teater Muzikal SuperHero akan didokong oleh Along Eyzendy, Aqasha dan Zulin Aziz. Tiket berharga RM45 dan RM35 (pembelian early bird bermula pada 25 November sehingga 2 Disember 2014). Untuk tempahan dan pembelian tiket, sila hubungi Cik Atikah di talian 01123428322.Sila klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage dan myHarapan untuk maklumat lanjut.