Teater Muzikal SUPERHERO Suntik Semangat Dan Inspirasi

Superhero Poster

Revolution Stage dengan kerjasama myHarapan bakal mementaskan sebuah teater muzikal bertajuk SuperHero Disember ini. Ini merupakan teater muzikal ketiga daripada Revolution Stage dan yang pertama bersama myHarapan (Yayasan Amanah Belia).

Setelah kejayaan teater ASRAMARA AllStars di KLPAC Oktober lalu, Revolution Stage kini kembali mempertaruhkan bakat anak-anak muda untuk pementasan teater muzikal SuperHero. Teater ini bermula dengan bengkel asas lakon yang dikendalikan oleh Revolution Stage dibawah pengurusan myHarapan. Ia disertai oleh lebih kurang 15 peserta yang terdiri daripada remaja-remaja daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR). Bengkel yang dibahagikan kepada 3 fasa ini telah memasuki fasa terakhir iaitu pementasan.

Komen Khairunazwan tentang naskhah yang ditulisnya, “SuperHero adalah berdasarkan kisah-kisah benar yang saya kumpul daripada kawan-kawan serta kenalan”. Dengan tagline “hanya perlu percaya”, teater muzikal SuperHero mengajak para penonton untuk percaya dengan diri sendiri untuk berjaya.

Kejayaan tidak datang bergolek. Tambah Khairunazwan lagi – yang juga merangkap pengarah pementasan – “tajuk SuperHero itu sendiri membangkitkan semangat dan mencetus inspirasi, maka saya akan cuba untuk mengekalkan semangat dan inspirasi itu sepanjang pementasan sehingga tamat”.

“Melalui projek teater ini, dan seterusnya pementasan SuperHero, myHarapan berharap objektif inisiatif ini iaitu mengetengahkan bakat-bakat muda khususnya daripada komuniti PPR (Projek Perumahan Rakyat) dapat dicapai,” kata Nurfarini Daing, Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan. “Projek teater ini juga telah membuktikan bahawa remaja-remaja daripada komuniti-komuniti PPR juga mampu untuk meraih kecemerlangan jika mereka diberi platform yang bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya platform kreatif seperti seni persembahan,” tambah beliau lagi.

Selain daripada itu, Nurfarini juga berpendapat bahawa keistimewaan SuperHero terletak pada ketulenan ceritanya, iaitu berdasarkan cerita-cerita benar mengenai watak-watak yang sememangnya wujud di kalangan komuniti yang kurang bernasib baik. Teater ini bermatlamat mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat awam di negara ini mengenai masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan belia daripada komuniti ini.

Pementasan ini menampilkan Projek BB (Budak Baru); sebuah kumpulan yang juga bermula daripada bengkel asas teater anjuran myHarapan. Projek BB sebelum ini telah berjaya mementaskan dua teater muzikal iaitu Ramleefestasi dan SudirMania. Bagi pementasan SuperHero ini, Projek BB bertindak sebagai mentor kepada para peserta PPR selain turut terlibat sebagai pelakon.

Teater Muzikal SuperHero akan didokong oleh Along Eyzendy, Aqasha dan Zulin Aziz. Tiket berharga RM45 dan RM35 (pembelian early bird bermula pada 25 November sehingga 2 Disember 2014). Untuk tempahan dan pembelian tiket, sila hubungi Cik Atikah di talian 01123428322.Sila klik laman Facebook dan Twitter Revolution Stage dan myHarapan untuk maklumat lanjut.

Check Also

Sumbangan RM150,000 Yayasan PEKEMA Bagi Menghargai Artis Veteran dan Penggiat Seni Uzur

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengadakan majlis penyerahan sumbangan yang bernilai RM150,000 yang disumbangkan oleh Yayasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *