Kuala Lumpur, 7 September 2025 – Suasana di Zfix Mobile Fest di Shah Alam semalam penuh meriah apabila syarikat tempatan itu berjaya melakar sejarah. Dalam masa hanya enam jam lebih, tepat jam 4.22 petang, mereka sudah pun mencapai sasaran 1,000 unit bateri iPhone ditukar. Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama Zfix apabila acara tersebut disahkan secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Acara yang bermula sejak jam 10 pagi itu menampilkan kekuatan 30 juruteknik bertauliah yang bekerja pantas dan teliti. MBOR sendiri mengesahkan rekod tersebut selepas melalui proses audit ketat termasuk pengesahan nombor siri bateri, rekod digital, serta rakaman video berterusan. Menariknya, setiap bateri yang ditukar sepanjang program ini turut disertakan dengan waranti 7 hari, sesuatu yang memberi keyakinan tambahan kepada pengguna.

Selain cubaan rekod, Zfix menjadikan festival ini sebagai platform komuniti. Pengunjung bukan sahaja menyaksikan detik bersejarah, malah berpeluang menyertai pemeriksaan telefon percuma, bengkel penjagaan peranti, cabutan bertuah, photo booth dan juga cabaran TikTok. Dengan adanya zon makanan, ruang rehat dan Wi-Fi percuma, acara ini berjaya menarik minat keluarga serta pencinta teknologi yang hadir sejak awal pagi.
Menurut Pengarah Zfix, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof, pengiktirafan MBOR ini menjadi simbol komitmen syarikat terhadap integriti dan inovasi. “Ia bukan sekadar angka 1,000, tetapi mesej bahawa industri servis telefon pintar tempatan juga boleh dijalankan secara sah, telus dan profesional,” katanya.

Zfix turut berkongsi perancangan masa depan untuk membuka sekurang-kurangnya 100 cawangan baharu di seluruh negara. Paling menarik, pelanggan tidak perlu membuat tempahan untuk mendapatkan servis – mereka boleh walk-in terus ke mana-mana cawangan Zfix.
Dengan kejayaan ini, Zfix membuktikan kemampuan jenama tempatan bukan sahaja menetapkan piawaian servis bertauliah, malah berupaya menjadi peneraju dalam industri pembaikan peranti pintar di Malaysia.