The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas dihiburkan dengan persembahan mantap kumpulan legenda terkenal, Wings.Aksi pembukaan konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter dengan persembahan ala teaterikal disambut dengan jeritan hangat peminat yang tidak sabar menanti persembahan kumpulan rock otai itu.

Apabila Datuk Awie, Eddie, Black, Edrie serta Syam melangkah masuk ke pentas utama, penonton semakin menggila dan Wings pun mula memacu langkah memulakan persembahan dengan lagu Romania, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing.Deretan lagu popular seperti Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru,Sayap Ilusi, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Rantai, Nurnilam Sari, Opera Hidup, Awang Trasher dan Lipas Kudungmembuatkan penonton tenggelam dalam kelunakan vokal memukau Awie yang dilengkapkan dengan persembahan muzik mengasyikkan semua anggota Wings.

Wings juga sempat memuatkan enam lagu popular iaitu Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama dalam sebuah persembahan medley.Menariknya, Wings juga sempat membawakan lagu-lagu tribute yang mempopularkan nama Awie sebagai penyanyi solo iaitu Bara dan Dipenjara Janji yang turut dipersembahkan dengan lagu Like Hell, nyanyian asal kumpulan Loudness.

Wings juga tidak lupa untuk mendedikasikan untuk saudara di Palestin, Allah Allah Aghisna diiringi dengan doa ikhlas memohon kesejahteraan mereka di sana.Dalam pada itu, kumpulan otai itu turut berkongsi bingkisan perancangan mereka untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain.

“Insya-Allah, kami mempunyai beberapa perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Setakat ini, semuanya dalam perancangan dan kini, kami sudah merisik dua lokasi di bahagian sana.
“Kami mahu datang dengan kelainan dan mempunyai perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Industri muzik kita sekarang meriah dengan konsert, tetapi banyak persembahan tertumpu di kawasan Lembah Klang. Jadi, kami memilih untuk menghiburkan peminat di lokasi lain.

“Jika tiada aral, konsert bakal berlangsung di Pantai Timur dan kami menjangkakan ia bakal menjadi kenyataan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Doakan semua perancangan kami untuk membawa The Rock Emperor ke destinasi lain berjalan lancar,” kata Awie.
Dihoskan oleh penyampai radio Kool 101, Haiza, Wings The Rock Emperor Penang Chapter adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura dan Shah Alam.

Check Also

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain Semarakkan Keterujaan Ziana Zain Concert 2024

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *