Kumpulan Westlife berjaya memukau 16,000 penonton menerusi dua malam Konsert The Wild Dreams Tour Live In Kuala Lumpur yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.Kali terakhir kumpulan dari Ireland ini menjayakan konsert di Malaysia pada 2019.
Kumpulan yang dianggotai oleh Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily kembali lagi ke sini untuk menghibur peminat mereka.Ternyata kehadiran Westlife dinanti oleh peminat dan biarpun usia mereka sudah meningkat namun kehebatan setiap anggota baik vokal ataupun persembahan masih bertenaga dan mempesona.Westlife membuka tirai persembahan dengan lagu ‘Starlight’ yang dipetik daripada album terkini mereka.
Kumpulan tersebut berjaya membuatkan penonton turut menyanyi bersama apabila mereka mendendangkan rangkaian lagu-lagu hit seperti ‘Uptown Girl’, ‘My Love’, ‘Swear It Again’, ‘Seasons In The Sun’ dan ‘World Of Our Own’ serta medley lagu kumpulan ABBA. Ternyata lagu-lagu itu membuatkan penonton turut menyanyi dan menari bersama Westlife.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1998 itu bukan saja berjaya membuai perasaan penonton dengan persembahan yang memukau, malah berjaya membawa penonton yang membesar dengan lagu-lagu dendangan mereka mengimbau nostalgia.Konsert The Wild Dreams Tour Live In Kuala Lumpur diakhiri dengan lagu ‘You Raise Me Up’.Westlife The Wild Dreams Tour Live In Kuala Lumpur dianjurkan oleh Trumpet International.