Pavilion KL akan dimeriahkan dengan sambutan seni yang terbesar pernah bertapak di tengah-tengah ibu kota Malaysia selama sepuluh hari bermula daripada 22 April sehingga 1 Mei 2013. Seramai 516 orang penggiat seni tempatan dan antarabangsa akan meninggalkan jejak seni di segenap pelosok Pavilion dengan pelbagai persembahan pentas, aktiviti jalanan dan forum perbincangan seni.
Pengurus teater terkenal, Moo Siew Keh dan Ben Cutler akan mengkuratorkan beberapa persembahan pentas penggiat-penggiat teater terkenal. Moonshine dan The Wknd akan mengendalikan pentas muzik yang bakal menampilkan pemuzik-pemuzik tempatan di antaranya adalah The Impatient Sisters, Az Samad, Arabyrd, Amir Jahari, They Will Kill Us All dan ramai lagi.12 buah karya-karya seni oleh Stephen Menon, Liu Cheng Hua, Donald Abraham, Louise Low dan ramai lagi akan dipamerkan sekitar gedung tersebut. Seni visual ini akan dikuratorkan oleh Sharmin Parameswaran dari Galeri Interpr8.
Forum-forum di bawah Kata Tindak Seni bakal membawa penggiat-penggiat seni profesional, pakar dan pengkritik seni dari rantau ini bersama untuk membincangkan cara-cara mengembalikan kegemilangan seni persembahan di Malaysia.Pentas antarabangsa akan menyaksikan Joe Bone dan Ben Roe berganding bahu bagi satu persembahan noir epik muzikal. Pentas ini juga akan menampilkan koreografer terkenal Marcos Morau dan pelawak profesional Carlo Jacucci.
Pada 28 April, Festival KakiSENI akan berarak dari Pavilion KL ke Bukit Bintang dengan deruman gendang Hands Percussions dimeriahkan dengan penari Butoh terkenal Nyoba Kan, pakar akrobatik berapi En La Lona, ASWARA dan ramai lagi.Festival KakiSENI ini juga bakal meraikan dan mengiktirafkan penggiat-penggiat seni persembahan tanahair terkemuka di Anugerah Seni BOH Cameronian ke-10 yang akan bermula dengan Anugerah Teknikal pada 22 April dan malam Anugerah Seni BOH Cameronian yang ke-10 pada 1 Mei 2013.
Low Ngai Yuen selaku Ketua Kakiseni berkata, “Kami ingin mengingatkan semua orang kepada kepentingan nilai seni – dalam menimba pengalaman baru, membenarkan ekspresi kreatif dan sebagai kaedah utama dalam menumpaskan sempadan kepada kreativiti. Seni menyatukan semua orang. Kami juga ingin mempromosikan seni sebagai salah satu cabang perniagaan maka kesemua program yang dijalankan selama sepuluh hari ini bertujuan untuk menarik perhatian syarikat-syarikat swasta. Ini merupakan satu sambungan daripada Ujibakat Backers yang kami adakan di Kuala Lumpur tahun lepas.”
Untuk maklumat lanjut, layari http://festival.kakiseni.com