Konsert HATTAN 35 YEARS JOURNEY

Jika disenaraikan siapa antara penyanyi lelaki terbaik tanah air, nama Datuk Hattan wajib ada dalam senarai.Kelebihan dari segi vokal, gubahan lagu, ‘attitude’ dan pengalaman dimiliki meletakkan penyanyi dengan nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin ini dalam kelas tersendiri.

Atas faktor ini, Hattan bakal tampil dengan konsert berskala besar iaitu Hattan – 35 Years Journey pada 4 dan 5 Jun 2022 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre bermula jam 8 malam.Konsert anjuran Mewah Event Management (MEM) ini juga adalah konsert solo Hattan terbesar dalam kerjaya nyanyiannya sejak 1987.

Hattan bakal mempersembahkan 22 lagu termasuk lagu hits seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Berikan Nurbisa, Hitam Bukan Impian, Biso Bonar, Sambar Apa Saja, Dia, Gadis Jolobu dan lain-lain.

“Ini bukan sekadar konsert saja, tetapi mengandungi penceritaan. Dari segi kerjaya itu berkembang,bagaimana lagu ini tercipta dan kenapa lirik itu terjadi. Ia akan saya ceritakan sepanjang konsert itu nanti.

“Saya memiliki puluhan lagu hits dan kebanyakannya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga akan disampaikan secara medley. Tapi untuk lagu yang betul-betul popular sudah pasti saya menyanyikan keseluruhannya,” katanya.

Hattan berkata, beliau bersama MEM sudah merancang konsert ini dua tahun lalu, namun tergendala akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Februari 2020.

Dalam konsert ini, Hattan akan diiringi pemuzik hebat dan berpengalaman pemain keyboard,Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly(bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi).

Selain itu, Hattan turut mengundang pemain seruling, Mohar yang akan mengiringinya dalam beberapa lagu.

“Saya adalah penyanyi yang penuh jiwa. Dalam konsert ini tak perlu nak melompat-lompat. Zaman sekarang tak perlu lagi.

“Kenapa anda perlu datang ke konsert ini? Ini kerana saya akan bagi sesuatu yang saya tahu orang rindu nak tengok sejak dua tahun lalu. Ini juga hadiah daripada saya untuk sahabat dan peminat yang menyokong karier saya sejak 35 tahun lalu,” katanya.

Bercerita mengenai persiapan konsert, Hattan berkata, dia tidak bimbang kerana kerap mengadakan latihan selain menjaga kesihatan.

“Sebagai penyanyi, latihan atau praktis itu amat penting. Kena menyanyi dengan penuh jiwa dan tak boleh lupa lirik. Alhamdulillah, sejak pelonggaran SOP (prosedur operasi standard) Covid-19,hampir setiap minggu saya mendapat tawaran persembahan. Itu juga satu latihan yang baik,”katanya.

Konsert ini juga akan mengetengahkan segmen mentor khusus buat Datuk M Nasir di mana Hattan akan menyanyikan lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan komposer legenda itu.

Ia berdasarkan album solo kelimanya, Mentor yang diterbitkan pada 1994 di mana Hattan merakamkan semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M Nasir seperti Kepadamu Kekasih,Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang.

“Album itu adalah idea saya di mana saya rakamkan semula lagu-lagu M Nasir yang saya suka.Beliau banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya dari dulu hingga sekarang,”katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert anjuran MEM yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) ini boleh dibeli di laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).

Hattan yang turut aktif sebagai pelakon sudah menghasilkan 11 album studio sejak 35 tahun lalu iaitu Nostalgia (1987), Hattan (1991), Antem (1992), Ana Permata Timur (1993), Mentor (1994), Satu Malaya Dah Tahu (1996), Biso Bonar (1998), Aku Dan Mentor (2000), Palestin Jangan Menangis(2002), Masterpiece (2007) dan Inderawala (2010).

Selain itu, Hattan juga pernah bersama dengan band FRU (Five Rockers Union) yang menghasilkan album berjudul Kelahiran pada 1988.Beliau juga pernah menjadi penyanyi band Pratayuda menerusi album kompilasi War Rock I pada 1987.

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *