Rock Warrior Music Festival 2024: Menghidupkan Semula Era Kegemilangan Muzik Rock Tempatan

Industri muzik tanah air bakal digegarkan dengan penganjuran Rock Warrior Music Festival (RWMF) yang akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi. Festival ini merupakan inisiatif terbaru Rumah Produksi Merah (RPM) milik legenda rock tanah air, Dato’ Awie, yang bertujuan untuk menghimpunkan bakat-bakat rock tempatan dalam satu persembahan epik.

Walaupun industri muzik telah beralih ke era digital yang serba canggih, kehebatan nama-nama besar seperti Din dan Kid dari Search, serta kumpulan Wings, XPDC dan May masih kekal relevan dan merajai hati peminat. Situasi ini telah mencetuskan idea kepada Dato’ Awie untuk menganjurkan RWMF sebagai platform untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock.

Edisi sulung RWMF akan menampilkan barisan artis rock terkemuka tanah air seperti Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B. Kesemua artis ini akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga era kini, menjanjikan pengalaman nostalgia yang tidak ternilai buat peminat.

Menurut Dato’ Awie, RWMF bukan sahaja bertujuan untuk mengenengahkan pemuzik-pemuzik lama, tetapi juga memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan kebolehan mereka. “Ini adalah platform yang kita rancang untuk diadakan setiap tahun. Kita mahu mencari bakat-bakat baru untuk mewarnai dan menggantikan yang lama-lama yang akan pergi,” ujarnya.

Selain persembahan muzik, RWMF juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara. Pengunjung boleh menikmati gerai-gerai jualan makanan, minuman, dan produk gaya hidup rock seperti aksesori dan barangan eksklusif. Festival ini juga menyediakan hiburan untuk keluarga, menjadikannya sebuah karnival yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Satu lagi tarikan utama RWMF ialah Pentas Rock Hero yang akan menampilkan 24 band bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam di dalam hangar KL Base. Ini memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan baru untuk beraksi dan memperkenalkan karya original mereka kepada dunia.

Persembahan pada malam pertama RWMF akan diisi oleh Wings, Search KidDin dan XPDC Militia, manakala malam kedua akan menampilkan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B. dan Ella Rockqueen.

Tiket untuk RWMF boleh didapati secara dalam talian melalui laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/. Harga tiket untuk dua hari adalah RM250 (Gold – seated), RM200 (Silver – standing) dan RM150 (Bronze – standing). Menariknya, pembeli tiket RM150 dibenarkan membawa kerusi healing/camping untuk menyaksikan persembahan.

Dato’ Awie menyifatkan RWMF sebagai satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia. “Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” katanya.

Dengan penganjuran RWMF, industri muzik rock tanah air dijangka akan mendapat nafas baru dan terus berkembang, memberi inspirasi kepada generasi baru peminat dan pemuzik rock tempatan.

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *