Band rock alternatif terkenal, Cradle kembali mencipta gegaran menerusi pelancaran album studio baharu berjudul Hela Nafasku, selepas hampir 20 tahun menyepi daripada radar muzik tempatan.

Album ini bukan sekadar simbol kebangkitan, tetapi kesinambungan legasi muzik Nusantara yang pernah mengangkat nama Cradle dalam era 90an — kini dihidupkan semula dengan tenaga dan wajah baharu.
VIBRASI 90AN & SEMANGAT BARU
Diterajui pengasas dan gitaris utama Addy Rasidi, bersama Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (bes) dan Adha Lizam (dram), album Hela Nafasku dihasilkan selama dua tahun dan menampilkan 11 lagu baharu ciptaan Addy serta Eiz.

Addy menyifatkan projek ini sebagai “keraian terbesar dalam karier Cradle” sempena ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan itu. Album ini juga dilancarkan ketika ramai artis memilih format single berbanding album penuh.
RAMLI SARIP TAMU KHAS CRADLE LIVE!
Sempena pelancaran album tersebut, Cradle akan mengadakan konsert Cradle Live! pada 14 November 2025 di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur.
Menariknya, Datuk Ramli Sarip turut tampil sebagai tetamu khas pada malam anjuran Rasa Karya itu. Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 termasuk bufet makan malam boleh didapatkan melalui www.iLassoTickets.com/cradlelive.
LEGASI DARI GURINDAM KELULI KE HELA NAFASKU
Cradle mula mencipta nama melalui album “Gurindam Keluli” (1996) sebelum meledak dengan “Ceritera Awan” yang melayakkan mereka memenangi Lagu Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008 menerusi lagu “Ayu”.

Kini, dengan kehadiran Hela Nafasku, Cradle menggabungkan keaslian bunyi 90an dengan nuansa moden — bukti muzik berjiwa Nusantara masih relevan untuk generasi hari ini.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia