SO Staff

Hitman Solutions Bawakan ‘ARIJIT SINGH LIVE IN MALAYSIA’ Dalam Sebuah Konsert Istimewa Di Axiata Arena

Syarikat penganjur konsert terkemuka, Hitman Solutions, bekerjasama dengan penganjur dari Australia, Cinestar Events, untuk membawakan penyanyi ‘playback’ terkenal Bollywood, Arijit Singh dalam konsert istimewa ‘ARIJIT SINGH LIVE IN MALAYSIA’ pada 16 November 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil.

“Ini merupakan kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia untuk membuat persembahan setelah hampir 10 tahun, di mana konsert terakhirnya diadakan pada tahun 2014 yang lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre dengan sambutan yang luar biasa.

“Ramai peminat dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia yang menantikan kepulangan beliau sejak sekian lama, dan saya jangkakan konsert kali ini pasti menjadi sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kongsi En. Rohit Rampal, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group.

Cinestar Events merupakan penganjur konsert Bollywood terkemuka di Australia, terkenal dengan kemahiran mereka dalam menganjurkan acara spektakular yang menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Bollywood. Dengan pengalaman lebih daripada 17 tahun dan lebih 100 pertunjukan, senarai acara mereka termasuk bintang-bintang Bollywood seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha, dan ramai lagi.

Ujar En. Yogesh Sharma, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events, “Di Cinestar Events, dengan lebih daripada seratus acara Bollywood yang berjaya dianjurkan di Australia, kami komited untuk membawa keajaiban Bollywood ke kawasan baru. Bekerjasama dengan Hitman Solutions, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penganjuran acara Bollywood di Malaysia, membuktikan dedikasi kami untuk mencipta acara yang akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Bersama-sama, kami teruja untuk menggabungkan kepakaran dan semangat kami untuk menghasilkan konsert Bollywood paling spektakular di Malaysia setakat ini!”

Peminat-peminat filem hit Bollywood seperti ‘Dilwale’, ‘Brahmastra’ dan ‘Jawan’ pasti kenal dengan suara penyanyi lelaki kegemaran mereka melalui lagu ‘Janam Janam’, ‘Kesariya’, ‘Chaleya’ dan banyak lagi kini berpeluang mendengarnya secara langsung.

Berita terkini melalui petikan beberapa berita atas talian mengatakan bahawa Arijit Singh diiktiraf sebagai artis yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.

“Konsert kali ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun 2024, dengan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh sejak sedekad lalu. Kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aspek konsert ini dari muzik sehingga ke produksi pementasan,” kata En. Rohit.

Baharu sahaja selesai dengan penganjuran konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ dan ‘Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL’, Hitman Solutions tidak berhenti-henti menyajikan hiburan buat semua penggemar muzik di Malaysia.

Tarikh pra-jualan tiket ARIJIT SINGH LIVE IN MALAYSIA akan bermula pada 2 September 2024 (Isnin) pukul 12 tengahari, dan jualan tiket umum akan dibuka pada keesokan harinya pada 3 September 2024 (Selasa) bermula pukul 12 tengahari di laman web www.hitmanlive.com, dan tiket-tiket tersedia dalam kategori: Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).

“Kami berharap kesemua peminat Arijit Singh bersedia untuk memenuhi setiap ruangan Axiata Arena demi menyaksikan artis fenomena Bollywood ini buat sekian kalinya dengan himpunan lagu-lagu terbaharunya di lokasi yang lebih besar, dan kami janjikan persembahan yang bertenaga dengan pengalaman yang istimewa!” akhiri En. Rohit.

Sebarang pertanyaan mengenai ARIJIT SINGH LIVE IN MALAYSIA boleh hubungi 012-2655783.

Face Of Malaysia 2024 Platform Menonjolkan Kecantikan, Bakat Dan Kebanggaan Budaya

Face Of Malaysia 2024 yang sangat dinanti-nantikan, anjuran Lennard Tan Xian Guang, telah berlangsung pada hari Jumaat, 23 Ogos 2024, di HGH Convention Centre yang berprestij di Sentul. Acara ini, yang merupakan platform menonjolkan kecantikan, bakat, dan kebanggaan budaya, telah mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan malam tersebut.

Pertandingan ini menampilkan peserta dari pelbagai kategori umur, dengan mempamerkan keanggunan, keyakinan, dan perwakilan budaya yang mengagumkan. Setiap peserta menunjukkan bakat yang luar biasa, menjadikan acara ini sebagai perayaan sebenar kepelbagaian warisan Malaysia.

Keputusan Pemenang:

Kategori Kanak-Kanak:

  • Juara: Marius Sim
  • Naib Juara 1: Tan Wen Li
  • Naib Juara 2: Puteri Raisya
  • Naib Juara 3: Evlynn Err
  • Naib Juara 4: Ong Shi Ling

Kategori Pra-Remaja:

  • Juara: Celine Loh
  • Naib Juara 1: Victoria Lim
  • Naib Juara 2: Yip Enya
  • Naib Juara 3: Evelyn Yap
  • Naib Juara 4: Janelle Low

Kategori Remaja:

  • Juara: Boey Se
  • Naib Juara 1: Hazel Chong
  • Naib Juara 2: Nur Zarith Arfa
  • Naib Juara 3: Lim Shi Chen
  • Naib Juara 4: Chloe Lei

Kategori Dewasa:

  • Juara: Nur Nadia Natasha
  • Naib Juara 1: Kiki Khor
  • Naib Juara 2: Ethan Tam
  • Naib Juara 3: Migo Lai
  • Naib Juara 4: Joseph Wong

Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk pengiktirafan nasional tetapi juga menjadi pintu kepada peluang antarabangsa. Tiga pemenang teratas dari kategori dewasa—Nur Nadia Natasha, Kiki Khor, dan Ethan Tam—akan mewakili Malaysia di Face Of Asia 2024, sebahagian daripada Asia Model Festival di Korea yang dijadualkan pada November 2024. Peluang ini menonjolkan peranan acara ini dalam melonjakkan bakat tempatan ke pentas global.

Face Of Malaysia 2024 bukan sahaja menonjolkan bakat para peserta tetapi juga menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia. Acara ini telah mencapai kejayaan gemilang, dengan para peserta dan hadirin pulang dengan rasa bangga terhadap warisan negara.

Ucapan terima kasih yang istimewa diucapkan kepada Tourism Malaysia atas sokongan yang tidak berbelah bagi, yang memainkan peranan penting dalam menjadikan acara ini sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Face Of Malaysia 2024 telah menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan dalam mempamerkan kecantikan, bakat, dan kekayaan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Amir Jahari: Penghibur Jalanan Kini ‘Kembali’

Penyanyi, komposer lagu dan penulis lirik, Amir Jahari, kini kembali dengan album terbarunya yang dinanti-nantikan, “Kembali”. Album ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Jahari selama 13 tahun dalam industri muzik Malaysia, memperlihatkan evolusinya sebagai artis dan hubungan eratnya dengan akar budayanya.

“Kembali” merupakan himpunan 15 lagu, termasuk 12 lagu baru dan tiga lagu klasik yang diimaginasikan semula. Album ini meneroka pelbagai genre, menggabungkan pop-rock-folk dengan pengaruh Nusantara, sambil menyentuh tema-tema kemanusiaan dan kerohanian.

Kepakaran muzik Jahari terserlah melalui kepelbagaian lagu dalam album ini. “Hasrat”, versi terbaru lagu yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-27, kini tampil dengan susunan yang diolah khas. “Sampai Ke Bulan” pula, yang asalnya ditulis untuk album Faizul Sany pada tahun 2013, turut dimasukkan. Single pertamanya, “Tanpamu”, kini diberikan nafas baru melalui kolaborasi dengan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Nana Sheme.

Album ini juga mendapat sentuhan magis beberapa orang produser dan pemuzik tanah air termasuk AG Coco dari kumpulan Hujan. Menurut Jahari, “Kembali akan menjadi satu titik permulaan yang baru untuk Amir dan pasukan untuk melangkah lebih ke hadapan di dalam industri muzik.”

Mohamad Amirullah Jahari, atau lebih dikenali sebagai Amir Jahari, berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau mula mencuri perhatian industri muzik dengan album sulungnya “Penghibur Jalanan” pada tahun 2013, yang mendapat pujian kritikal dan beberapa pencalonan anugerah.

Sepanjang kerjayanya, Jahari telah meraih pelbagai pengiktirafan. Beliau menerima empat pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-20 pada tahun 2014, dua pencalonan di Anugerah Planet Muzik ke-13 pada tahun 2014, dan dinobatkan sebagai Komposer Muda Berpotensi MACP 2015 serta menjadi Juara Hard Rock Rising Malaysia 2015.

Keupayaan Jahari sebagai seorang artis pelbagai bakat terserlah melalui penglibatannya dalam pelbagai projek, termasuk kugiran Go Gerila! bersama Aizat Amdan. Single beliau, “Ingga”, yang dinyanyikan sepenuhnya dalam dialek Melayu Sarawak, mencatat sejarah apabila mendapat liputan meluas di stesen-stesen radio arus perdana Malaysia.

“Kembali” merupakan hasil kerjasama antara Sekalo Music dan Sony Music Entertainment. Album ini dijadualkan untuk dilancarkan pada 16 Ogos 2024 di semua platform penstriman, dan dijangka menjadi satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya Jahari.

Melalui “Kembali”, Amir Jahari mengajak para pendengar untuk menyertai perjalanan evolusi muziknya, menjanjikan sebuah album yang akan mendapat sambutan daripada peminat lama dan juga menarik minat pendengar baharu.

Untuk maklumat lanjut mengenai Amir Jahari dan “Kembali”, sila layari saluran media sosial rasmi beliau di Facebook, Instagram, X, TikTok, dan YouTube.

Sheu Fang-yi, Ikon Tari Antarabangsa Akan Berkongsi Pengalaman Seni di Damansara Performing Arts Centre

Sheu Fang-yi, seorang artis tari kontemporari yang terkenal di peringkat antarabangsa, akan hadir di Malaysia untuk berkongsi kisah perjalanan seni beliau dalam sebuah sesi ceramah yang akan diadakan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 28 September ini. Acara ini adalah sebahagian daripada siri ceramah Tea Philo, yang berfokus kepada trend budaya dan sosial terkini.

Dilahirkan di Yilan, Taiwan, Sheu Fang-yi memulakan perjalanan seninya sebagai pelajar jurusan tari pada tahun 1994 dan seterusnya menyambung kerjaya di New York. Beliau menyertai Martha Graham Dance Company pada tahun berikutnya dan menjadi penari utama pada tahun 1999. Sheu dikenali dengan gaya tarian yang kuat tetapi elegan, menjadikannya salah satu wajah paling dikenali dalam dunia tari moden global.

Sepanjang kerjayanya, Sheu telah menjadi perintis dalam dunia seni tari. Beliau pernah menerima pelbagai anugerah berprestij termasuk Order of Brilliant Star with Cravat pada tahun 2005 dan Anugerah Kebudayaan Nasional Taiwan pada tahun 2008, menjadikannya penerima termuda anugerah tersebut. Selain tari, Sheu juga menceburi bidang seni lain seperti filem, dengan persembahan dalam filem “Touch of the Light” dan “The Assassin”. Pada tahun 2022, beliau membintangi filem semi-autobiografi “Salute” yang memenangi Anugerah Rekaan Aksi Terbaik di Anugerah Golden Horse ke-59.

Semasa lawatannya ke Malaysia, Sheu akan membicarakan mengenai keberanian beliau dalam mengejar impian dan menjalani kehidupan yang berbeza. Selepas sesi ceramah, Sheu akan mengendalikan bengkel untuk berkongsi cara-cara untuk membangkitkan kebahagiaan melalui pemahaman tubuh badan, seterusnya mendapatkan pemahaman diri dan kehidupan yang berbeza.

Sesi ceramah ini akan dipengerusikan oleh artis tari Malaysia, Lee Ren Xin, yang juga merupakan anggota kolektif Five Arts Centre dan pernah memenangi Anugerah Persembahan Terbaik di BOH Cameronian Arts Award pada tahun 2019 dengan persembahan “Dead Bird” serta Anugerah Koreografi Terbaik dengan “Anggota”.

Sesi ceramah akan dijalankan dalam Bahasa Mandarin dan terbuka kepada umum tanpa bayaran. Bengkel pula direka untuk orang awam tanpa memerlukan pengalaman menari, dengan yuran pendaftaran sebanyak RM50 seorang. Perkhidmatan terjemahan ke Bahasa Inggeris juga disediakan.

Tea Philo, yang dilancarkan pada tahun 2017 dengan kerjasama Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia serta Inxo Arts & Cultural Foundation, merupakan siri ceramah yang popular, mengundang tokoh-tokoh seni dan budaya dari Taiwan untuk berkongsi pengalaman mereka dengan penonton di Malaysia.

Maklumat Acara:

  • Tarikh: 28 September 2024 (Sabtu)
  • Tempat: Black Box, Damansara Performing Arts Centre
  • Sesi Ceramah: 11.30 pagi – 1.30 petang (dalam Bahasa Mandarin)
  • Sesi Bengkel: 3.00 petang – 4.30 petang (dalam Bahasa Mandarin dengan terjemahan Bahasa Inggeris)

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lawati: Tea Philo #69 – Fang-Yi Sheu atau hubungi DPAC di talian 03-4065 0001 / 03-4065 0002.

Macklemore dan Smash Mouth Akan Menggegarkan AFTER RACE FEST di PETRONAS Sepang International Circuit

Selepas keseronokan perlumbaan MotoGP™, peminat sukan permotoran tidak perlu berhenti di situ sahaja. Tahun ini, After Race Fest yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun ke-25 PETRONAS Sepang International Circuit (SIC) menjanjikan satu pengalaman yang penuh dengan adrenalin dan hiburan yang luar biasa.

Acara ini akan berlangsung pada 3 November 2024, bermula dari jam 4 petang hingga tengah malam, bertempat di lokasi yang ikonik, Helipad PETRONAS Sepang International Circuit. Dengan kerjasama antara HIFIVE Entertainment sebagai penganjur dan PETRONAS Sepang International Circuit sebagai rakan strategik, acara ini bakal menampilkan persembahan oleh artis-artis tempatan dan antarabangsa yang pastinya akan menggegarkan pentas.

Barisan artis untuk After Race Fest kali ini menampilkan kurang daripada 10 penghibur yang merangkumi pelbagai genre muzik termasuk rap, rock, pop, dan disko. Antara nama besar yang bakal menghangatkan suasana adalah kumpulan terkenal dari akhir 90-an, Smash Mouth. Mereka dijangka mempersembahkan lagu-lagu popular seperti “All Star”, “Walkin’ On The Sun”, dan “So Insane”.

Selain itu, peminat juga boleh menantikan persembahan dari rapper terkenal, Macklemore, yang telah mencipta fenomena dengan lagu terbarunya, “Hinds Hall”, sebagai tanda sokongan kepada Palestin. Tidak ketinggalan, penghibur hebat lain seperti Nidji dan Feel Koplo dari Indonesia, serta 6ixth Sense dan DE FAM akan turut memeriahkan acara ini.

“After Race Fest bukan sekadar hiburan tetapi satu perayaan untuk pengunjung dari seluruh dunia. Kami juga akan menampilkan pertunjukan dron dan bunga api sebagai simbol kejayaan acara ini,” kata Sean Pereira, Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment.

Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Sepang International Circuit, turut berkongsi keterujaannya: “Kami amat berbangga meraikan ulang tahun ke-25 SIC. Terima kasih kepada HIFIVE Entertainment kerana menjadikan sambutan ini lebih meriah. Kami berharap semua akan hadir untuk perlumbaan MotoGP™ dan menikmati konsert sebelum pulang.”

Untuk peminat MotoGP™ Malaysia, tiket Festival Early Bird dijual pada harga RM500 dari 20 hingga 31 Ogos, manakala harga biasa bermula 1 September adalah RM600. Kedua-dua harga adalah eksklusif cukai 8%.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai After Race Fest di Helipad PETRONAS Sepang International Circuit pada 3 November 2024. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman unik yang ditawarkan oleh penganjur acara ini.

HSIJB Dengan Kerjasama MTPN Anjurkan Acara Fun Walk Blood Seekers

Unit Perubatan Transfusi (Tabung Darah) Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) dengan kerjasama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) akan menganjurkan acara Fun Walk Blood Seekers serta Majlis Apresiasi Penderma Darah bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia. Program ini dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, bermula jam 7 pagi di Eco World Residence Club Eco Spring (Urban Park), Jalan EkoFlora Utama, Taman EkoFlora, Johor Bahru.

Acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah serta menghargai usaha para penderma darah yang telah menyumbang dalam memastikan bekalan darah mencukupi di hospital. Melalui kerjasama antara pelbagai pihak, acara ini diharapkan dapat memotivasi lebih ramai individu untuk tampil menderma darah demi menyelamatkan nyawa.

Dengan konsep riadah, program ini juga bertindak sebagai platform untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti serta memastikan bekalan darah yang mencukupi untuk mereka yang memerlukan. Menerusi usaha berterusan, pendermaan darah diharap akan menjadi satu amalan penting dalam menyokong keperluan kesihatan masyarakat.

Acara ini mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia, EcoWorld, DoubleTree by Hilton Johor Bahru, Lions Club of Permas Jaya, JCI Iskandar, Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), serta Kelab Media Johor.

Yuran penyertaan untuk Fun Walk Blood Seekers adalah sebanyak RM50, dan setiap peserta akan menerima baju penyertaan serta medal. Jarak larian adalah sejauh 3.5 kilometer, dan para peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah dan menyertai aktiviti menarik lain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Mohd Ariff Bin Omar di talian 016-7009099 atau Siti Aminah Binti Johari di talian 012-3205490.

Festival Filem Malaysia Ke-33 Usaha Pembudayaan Sinema Dalam Masyarakat

Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) merupakan sebuah inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam industri filem tanah air. FFM33 bukan sahaja berfungsi sebagai platform festival filem nasional yang berprestij, tetapi juga bertujuan mengukuhkan jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri. Program-program yang dilaksanakan melalui FFM33 diharap dapat mengangkat profesionalisme penggiat industri filem tempatan dan menyumbang kepada usaha pembudayaan sinema dalam masyarakat melalui karya-karya berkualiti. Ini sekaligus mewujudkan sistem sokongan yang mantap untuk memperkasakan industri filem Malaysia.

Penganjuran FFM33 adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Malam Anugerah FFM33 dijadualkan berlangsung pada 7 Disember 2024, bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri. Acara ini akan bermula dengan Karpet Merah pada jam 8.00 malam, diikuti dengan siaran langsung majlis anugerah dari jam 9.00 malam hingga 12.00 malam. Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menjadi penyiar rasmi bagi acara ini.

Tema yang dipilih untuk FFM33 kali ini ialah “Evolusi Sinema Malaysia (EMAS)”, yang bertujuan untuk menyorot perkembangan dan pencapaian sinema tempatan dari dahulu hingga kini. Penyertaan untuk pelbagai kategori anugerah telah dibuka mulai 20 Ogos 2024 dan akan ditutup pada 6 September 2024. Para penggiat industri boleh mendapatkan borang penyertaan di laman sesawang FINAS di https://www.finas.gov.my/ atau https://fim.finas.my.

FFM33 akan mempertandingkan sebanyak 30 kategori anugerah, termasuklah:

 1.⁠ ⁠Filem Terbaik
 2.⁠ ⁠Pengarah Terbaik
 3.⁠ ⁠Pelakon Lelaki Terbaik
 4.⁠ ⁠Pelakon Wanita Terbaik
 5.⁠ ⁠Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
 6.⁠ ⁠Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
 7.⁠ ⁠Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
 8.⁠ ⁠Pengarah Harapan
 9.⁠ ⁠Pelakon Lelaki Harapan
10.⁠ ⁠Pelakon Wanita Harapan
11.⁠ ⁠Cerita Asal Terbaik
12.⁠ ⁠Lakon Layar Terbaik
13.⁠ ⁠Sinematografi Terbaik
14.⁠ ⁠Penyunting Terbaik
15.⁠ ⁠Penataan Bunyi Terbaik
16.⁠ ⁠Penataan Seni Terbaik
17.⁠ ⁠Kesan Khas Visual Terbaik
18.⁠ ⁠Skor Muzik Terbaik
19.⁠ ⁠Lagu Tema Terbaik
20.⁠ ⁠Tatarias/Solekan Terbaik
21.⁠ ⁠Rekaan Kostum/Busana Terbaik
22.⁠ ⁠Poster Terbaik
23.⁠ ⁠Filem Pendek Terbaik
24.⁠ ⁠Dokumentari Terbaik
25.⁠ ⁠Anugerah Khas Karyawan
26.⁠ ⁠Anugerah Khas Sepanjang Zaman
27.⁠ ⁠Anugerah Khas Juri 1
28.⁠ ⁠Anugerah Khas Juri 2
29.⁠ ⁠Anugerah Khas Juri 3
30.⁠ ⁠Anugerah Khas Filem Box Office

Dengan senarai kategori yang pelbagai ini, FFM33 dijangka akan menjadi satu lagi platform penting untuk mengangkat nama dan karya penggiat filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, sekaligus memperkukuh kedudukan industri filem Malaysia di arena antarabangsa.

Netherlands Maritime University College (NMUC)  Mengumumkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024

Netherlands Maritime University College (NMUC) dengan kerjasama Institut Latihan Pelabuhan (PTI) daripada Akademi Sains, Teknologi, dan Pengangkutan Maritim Arab (AASTMT), STC International, serta dianjurkan bersama oleh MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) dan Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT), dengan bangga mengumumkan Persidangan Antarabangsa Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024. Acara berprestij ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 3 hingga 5 September, membawa bersama pemimpin pemikiran, pakar industri, dan inovator dari seluruh dunia.

ICMLP 2024 akan menyediakan platform dinamik untuk bertukar idea dan amalan terbaik dalam logistik maritim, pengurusan pelabuhan, pengurusan rantaian bekalan, dan pengangkutan. Sepanjang tiga hari, peserta akan terlibat dalam pembentangan yang penuh inspirasi, perbincangan panel, dan sesi interaktif yang membincangkan cabaran dan peluang yang paling mendesak dalam bidang maritim.

Persidangan ini akan merangkumi tema-tema penting seperti pasaran baru dalam pembangunan pelabuhan, undang-undang maritim, pengurusan risiko dalam maritim dan logistik, pelabuhan pintar, penghantaran hijau, pembinaan kapal, keselamatan siber, pengurusan rantaian bekalan digital, eksploitasi sumber laut yang lestari, tadbir urus yang bertanggungjawab secara sosial dalam logistik, kepelbagaian budaya di bandar pelabuhan, logistik kemanusiaan dalam tindak balas bencana, pendidikan dan latihan untuk profesional maritim. Penceramah yang dihormati akan berkongsi pandangan yang mampu menginspirasi dan melibatkan para hadirin.

Acara ini menekankan inovasi, kerjasama, dan kemajuan pengetahuan dalam logistik maritim dan pengurusan pelabuhan, serta menggariskan kepentingan logistik yang cekap, lestari, dan berdaya tahan untuk perdagangan global, pertumbuhan ekonomi, dan keterhubungan dalam landskap teknologi dan geopolitik yang berkembang pesat.

Satu acara istimewa dalam ICMLP 2024 ialah makan malam rangkaian eksklusif yang menawarkan peserta peluang untuk berhubung dengan rakan sejawat, menjalin perkongsian baharu, dan meneroka peluang kerjasama dalam suasana yang santai dan berprestij. Selain itu, peserta boleh menantikan lawatan pelayaran khas di Tasik Putrajaya yang menggabungkan masa santai dengan rangkaian bersama pakar industri yang terbaik dan terpandai.

ICMLP 2024 menjemput para pameran untuk mempersembahkan produk atau perkhidmatan mereka dan mengalu-alukan penaja untuk menyokong acara berprestij ini. Ini menyediakan peluang unik bagi syarikat untuk meningkatkan keterlihatan mereka, berinteraksi dengan pemimpin industri yang berpengaruh, dan menjalin hubungan yang berharga dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor maritim, sekali gus meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam kemajuan industri.

Sertai kami dari 3 hingga 5 September 2024 dan turut serta dalam perbincangan global mengenai kemajuan dan kerjasama dalam logistik maritim dan pelabuhan. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web kami di icmlp.nmuc.edu.my dan rebutlah peluang ini.

Andika Putera dan Ananda Natasha Sepakat Demi Kebajikan Anak

Dalam usaha memastikan kebajikan anak perempuan mereka, Alisha Puteri, terjaga dengan baik, personaliti media sosial terkenal, Andika Putera, dan bekas isterinya, Ananda Natasha, telah mencapai kata sepakat mengenai pengurusan penjagaan anak mereka. Pasangan ini, yang bercerai pada Disember tahun lalu, kini berusaha keras untuk memberikan persekitaran yang harmoni dan penuh kasih sayang bagi anak mereka.

Andika, yang nama penuhnya Muhammad Andika Putera, mengumumkan bahawa beliau dan Ananda telah bersetuju untuk menjalankan empat kesepakatan utama berkenaan hak penjagaan, lawatan, dan kebajikan Alisha. Keputusan ini diambil bagi memastikan kedua-dua ibu bapa dapat memberi tumpuan penuh terhadap tumbesaran dan kesejahteraan Alisha.

Dalam pertemuan terbaru mereka, Andika menyentuh hati ramai apabila menghadiahkan Alisha seutas rantai emas bertulisan “I love papa” sempena hari jadinya. Pertemuan itu turut diserikan dengan Andika yang ingin memakaikan cermin mata baru kepada Alisha, menggantikan cermin mata lamanya yang perlu ditukar akibat pertambahan kuasa penglihatan. Andika dan Ananda memastikan Alisha melihat mereka berdua sebagai objek pertama selepas pemakaian cermin mata itu, satu tradisi yang menjadi simbolik dalam hubungan keluarga mereka.

Daripada hasil perbincangan tersebut, beberapa kerjasama penting telah dipersetujui. Antaranya termasuklah hak penjagaan Alisha yang akan diperhalusi bagi memastikan kebahagiaannya terjamin. Mereka juga bersetuju untuk bergilir-gilir menjaga Alisha, dengan Tasha menjaga seminggu dan Dika pula seminggu. Perjanjian ini menekankan kepentingan keadilan dalam penjagaan anak mereka.

Selain itu, perjanjian mengenai penyediaan pembantu pengasuh kepada Ananda untuk menjaga kebajikan Alisha serta nafkah yang mencukupi akan diteruskan seperti biasa. Isu mutaah pula akan diselesaikan melalui keputusan Mahkamah Syariah.

Andika juga menegaskan bahawa pertemuan tersebut diadakan secara harmoni dan penuh hormat, menolak sebarang spekulasi atau salah faham yang mungkin timbul sebelum ini.

“Saya dan Tasha telah bertemu dan berbincang secara baik untuk kebahagiaan Alisha,” jelas Andika.

Sebelum ini, Andika menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau pernah berlaku curang semasa masih bergelar suami kepada Ananda. Mereka bercerai pada tahun 2022 atas faktor tiada persefahaman, tetapi kembali rujuk demi kebaikan anak mereka sebelum memutuskan untuk bercerai semula pada Disember tahun lalu.

Andika juga menafikan sebarang dakwaan mengenai kewujudan video intim atau gambar bogel yang melibatkan dirinya dan Ananda, menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada video mahupun gambar terlarang yang pernah wujud,” katanya, menutup segala spekulasi yang tersebar.

Keputusan yang diambil oleh Andika dan Ananda menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan Alisha dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang dan kestabilan, meskipun mereka tidak lagi bersama sebagai pasangan.

Hana Shahadan: Dari Kepayahan ke Kejayaan Bersama Jenama MommyHana

Hana Shahadan, yang kini dikenali sebagai pengasas dan pengarah jenama produk kanak-kanak popular, MommyHana, telah melalui perjalanan hidup yang penuh cabaran sebelum berjaya mendirikan empayar perniagaannya. Anak bongsu daripada enam adik-beradik ini membesar dalam serba kekurangan di Kuang, Selangor, namun pengalaman masa lalunya telah membentuk dirinya menjadi individu yang gigih dan kuat.

Dalam satu sesi podcast, “Apa Cerita?”, yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, Hana berkongsi tentang kehidupannya yang penuh liku sejak kecil. Dia mengimbau kenangan bagaimana dia membesar dalam keluarga yang serba kekurangan, di mana ibunya menjadi sumber inspirasi utama. Walaupun ibunya tidak dapat membaca atau memandu, beliau tetap gigih menjalankan perniagaan untuk menyara keluarga.

Hana menceritakan bagaimana dia sering menemani ibunya berjalan keliling kampung untuk menjual produk kosmetik yang diambil dari katalog. Pengalaman ini mengajarnya erti kesusahan dan usaha gigih, terutamanya apabila diejek oleh rakan sebaya kerana pekerjaan ibunya. Namun, ejekan tersebut tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadi dorongan untuknya bekerja lebih keras dan mengejar kejayaan.

Setelah menamatkan pengajian di universiti, Hana terus memacu dirinya untuk berjaya dan akhirnya menubuhkan jenama MommyHana. Jenama ini tidak hanya fokus pada produk kanak-kanak, tetapi juga menekankan nilai-nilai Islam, sekaligus memenuhi keperluan keluarga Muslim moden. MommyHana kini menjadi satu jenama yang memberi manfaat kepada ramai orang.

Kisah hidup Hana yang penuh inspirasi ini telah mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen, yang menyatakan bahawa mereka turut termotivasi untuk berusaha lebih gigih dalam kehidupan. Hana membuktikan bahawa dengan usaha dan semangat yang tidak pernah luntur, kejayaan pasti dapat dicapai.

Pengalaman hidupnya juga menjadi satu pengajaran bahawa sokongan keluarga adalah elemen penting dalam membentuk seseorang menjadi individu yang berjaya dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Hana percaya bahawa apa yang telah dilaluinya bersama keluarganya telah membentuk dirinya yang kini menjadi seorang usahawan yang disegani.

Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Hana Shahadan terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan, menjadikan MommyHana sebagai simbol kejayaan dari bawah ke atas, dan membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam mengejar impian.

Konsert Epik ‘Ada Afgan & Lyodra’ Bakal Gegar Kuala Lumpur

Peminat muzik di Malaysia, bersiap sedialah untuk satu pengalaman konsert yang tidak dapat dilupakan! Dua bintang papan atas Indonesia, Afgan dan Lyodra, akan mengadakan persembahan bersama dalam konsert bertajuk ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’ pada 28 September 2024 di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini dianjurkan oleh syarikat penganjur konsert terkemuka, Kharisma Music, dengan kerjasama jenama kosmetik terkenal Alha Alfa sebagai penaja utama. Intan Gelombang dan Futurace turut menyokong acara ini sebagai penganjur bersama.

Afgan, penyanyi pop yang terkenal dengan suara emasnya, dan Lyodra, bintang muda berbakat yang memenangi Indonesian Idol, akan menggabungkan bakat mereka untuk membawakan persembahan yang dijangka akan memukau penonton. Gabungan dua suara yang hebat ini pasti akan menghasilkan satu malam yang penuh dengan muzik berkualiti tinggi dan emosi.

Penjualan tiket akan bermula pada 10 Julai 2024, tepat jam 12 tengah hari, melalui laman web Ticket2u. Peminat yang berminat digalakkan untuk membeli tiket awal kerana harga istimewa ‘early bird’ ditawarkan untuk pembelian pada 10-11 Julai 2024. Harga tiket bermula dari RM258 untuk kategori ‘Pesan Terakhir’ hingga RM1,288 untuk kategori ‘Ada VVIP’.

Istimewa buat pemegang tiket ‘Ada VVIP’, mereka akan menikmati keistimewaan eksklusif termasuk sesi ‘meet & greet’ bersama Afgan dan Lyodra, barangan rasmi konsert, serta sajian makanan dan minuman ringan.

Walaupun butiran lanjut mengenai konsert ini masih menjadi teka-teki, pihak penganjur menjanjikan bahawa semua persoalan akan terjawab dalam sidang media khas yang akan diadakan pada bulan Ogos.

Konsert ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’ dijangka akan menjadi salah satu acara hiburan terbesar tahun ini di Malaysia. Dengan gabungan bakat luar biasa Afgan dan Lyodra, konsert ini pasti akan memberikan pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan kepada semua yang hadir.

Jadi, kepada semua peminat Afgan dan Lyodra di Malaysia, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan epik ini. Dapatkan tiket anda seawal mungkin dan bersiap sedia untuk satu malam yang penuh dengan muzik, emosi, dan kenangan indah!

Datuk Jamal Abdillah Dan Liza Hanim Raikan Malam Amal Tabung Pahlawan 2024

Iktikad untuk terus menjadi sebuah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) melalui Yayasan Veteran ATM yang sentiasa ada menghulur bantuan buat para wira dan wirawati negara sesuai slogan yang dipegang selama ini, Memperkasa Veteran Tanggungjawab Bersama, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM kembali dengan acara tahunan mereka.

Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 yang mengangkat tema Meraikan Bintang, Metamorfosis Hadapan sekali lagi akan menjadi medan buat jasa, pengorbanan dan bakti para veteran ATM yang pernah menjaga keamanan serta kemakmuran negara diraikan.

Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang bakal diadakan pada 24 September 2024 di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM bermula pukul 8 sehingga 10.30 malam.

Objektif Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 masih sama seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya iaitu menyalur serta menyampaikan sumbangan kepada yang layak serta diraikan dalam suasana hangat apabila penyanyi jemputan menghiburkan tetamu yang dihormati.

Majlis Makan Malam Amal ini turut disulami dengan Pelancaran Kad Veteran Digital yang akan dirasmikan oleh YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, selaras dengan era transformasi digital dan kesedaran mengenai kepentingan pembudayaan pendigitalan dalam memacu ke arah organisasi berprestasi tinggi, JHEV ATM berhasrat untuk melaksanakan transformasi kad veteran ATM manual (kad plastik) kepada Kad Veteran Digital dengan pelbagai fungsi yang memberikan kebaikan dan faedah kepada keseluruhan warga veteran ATM.

Inisiatif ini masih dalam proses pembangunan dan dijangka akan diperkenalkan kepada para veteran ATM pada pelancaran Majlis Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan (KTP) pada 24 September 2024. Kad veteran digital akan dipaparkan dalam aplikasi mudah alih Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0.

“JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM sangat berbesar hati kerana sekali lagi dapat melaksanakan penganjuran tahunan kami iaitu Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang.

“Majlis ini bertujuan bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan dan menghargai pengorbanan serta bakti para Veteran ATM tetapi akan menjadi medan merapatkan silaturahim semua wira dan wirawati yang pernah berjuang mempertahankan negara dan mencapai keamanan yang kita nikmati sekarang.

“Semua sumbangan yang diperoleh akan diagihkan kepada veteran ATM yang memerlukan sekaligus membantu mereka berjuang meneruskan kelangsungan hidup,” kata Mejar Jeneral Dato’ Zambery Jefry bin Haji Darus, Ketua Pengarah JHEV.

Bersama sumbangan yang akan disalurkan, pihak JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM juga menyuntik suasana makan malam dengan sedikit hiburan demi meraikan sekitar 700 tetamu yang diundang.

Dua bintang tersohor negara iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Liza Hanim bakal menghiburkan dan menyantuni para veteran ATM dengan alunan merdu vokal mereka.

Jamal menyifatkan penglibatan melakukan persembahan pada majlis makan malam amal ini sebagai penghormatan buat para veteran ATM dan wira serta wirawati yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara.

Liza Hanim pula terharu kerana bakal menghiburkan tetamu yang begitu istimewa bukan buat dirinya tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Tentu saja saya dengan senang hati bersetuju untuk melakukan persembahan Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024.

“Mereka adalah bintang yang tidak akan pernah terpadam sinarnya kerana jasa, bakti serta pengorbanan yang diberikan kepada negara juga tidak akan terpadam.

“Untuk itu saya sangat berbesar hati menghiburkan para veteran ATM yang akan menghadiri majlis makan malam ini nanti.

“Harapan saya juga agar pihak penganjur meneruskan inisiatif serta usaha murni ini demi menjaga dan prihatin terhadap kelangsungan hidup para pejuang negara ini,” ujar Liza Hanim.

Sepanjang penubuhan, JHEV ATM & Yayasan Veteran ATM aktif mengumpul dana untuk tabung kecemasan bagi menyantuni para pejuang yang memerlukan yang mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan dalam keadaan tertentu.

Antara initiatif Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan adalah melalui surat-surat yang dihantar kepada syarikat dan rakan strategik, program-program Kempen Tabung Pahlawan, tabung yang diletakan di beberapa BHPetrol dan Jabatan/Kementerian dan juga sumbangan atas talian serta beberapa initiatif lain.

Untuk Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 yang bakal berlangsung pada 24 September 2024 ini, sebanyak tiga jenis kategori meja dijual.

Kategori meja yang dijual adalah 10 Perkasa bernilai RM50,000, 20 Perwira (RM20,000) dan 20 Pahlawan berharga RM10,000.

Kami berharap agar lebih banyak dermawan yang menghulurkan sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan ini supaya lebih besar jalur bantuan yang boleh diberikan kepada Veteran ATM yang memerlukan serta serba kekurangan. Veteran ATM adalah permata Malaysia yang telah memerah keringat demi mencapai kemerdekaan dan keselesaan yang kita nikmati sekarang. Sumbang sedikit tanda ingat, sumbang lebih tanda mampu.

Sebarang keterangan lanjut hubungi pihak sekreteriat Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang 2024 di talian 019 6576 127 (Adawiyah), 012 7398586 (Nur Indra Dini) atau emel ke sekreteriatTabungPahlawan@gmail.com.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan siaran media, sila hubungi Ketua Unit Komunikasi Korporat JHEV ATM, Encik Muhammad Izzat Siraj  ditalian  017-965 3755 atau Muhamad Fuaad bin Selamat, Pembantu Tadbir Unit Komunikasi Korporat JHEV ATM ditalian 019-639 802