Thursday , June 17 2021

Chef Rinrin Marinka dan Tobie Puttock di rancangan WONDERFUL INDONESIA FLAVOURS Musim Kedua

Wonderful Indonesia Flavours, sebuah rancangan bersiri terbitan asal Asian Food Channel kini kembali untuk musim kedua atas permintaan ramai. Rancangan 5 episod itu akan muncul semula di saluran berkenaan pada penghujung Julai 2016! Para penonton akan disajikan pelbagai paparan menarik sambil dibawa menjelajah ke lima destinasi terbaharu di Indonesia oleh chef selebriti Indonesia dan pengacara Rinrin Marinka bersama rakan pengacara dari Australia, Chef Tobie Puttock.

Kepulauan Indonesia yang terdiri daripada lebih 13,000 pulau itu bukan sahaja memiliki kawasan pantai yang putih dan menenangkan seperti di Bali dan Lombok, candi-candi lama di Borobudur atau gunung berapi di Jawa Timur, malah ia turut didiami oleh lebih daripada 300 kaum etnik, di mana setiap daripada mereka mempunyai identiti kebudayaan yang tersendiri serta pelbagai menu masakan merentasi seluruh negara berkenaan.

Menteri Pelancongan Arief Yahya yang juga merupakan orang utama disebalik Wonderful Indonesia berkata, “Faktor utama dalam pembentukan budaya sesebuah negara berteraskan kepada ramuan dan masakan yang asli. Kami berharap agar dapat berkongsi kisah-kisah unik dan kepelbagaian yang terhasil daripada resepi-resepi asli dari setiap destinasi melalui siri ini. Lebih penting lagi, kami ingin menjemput para penonton untuk datang menjelajah dan mengembara serta merasai sendiri makanan-makanan berkenaan.”

Sepanjang siri lima episod ini, pengacara Chef Rinrin Marinka dan Chef Tobie Puttock akan membawa para penonton bersama dalam sebuah pengembaraan epik bagi melihat dan merasai sendiri citarasa eksotik yang ditawarkan oleh Indonesia. Mereka berdua akan mengembara ke kawasan pedalaman yang indah seperti di Padang hinggalah ke bandaraya sibuk seperti Jakarta. Pengembaraan mereka turut meliputi kawasan seperti pusat kesenian dan kebudayaan Indonesia di Yogyakarta dan pantai yang indah di Lombok. Penonton juga boleh menyaksikan kepetahan Chef Rinrin Marinka berinteraksi dengan penduduk tempatan dalam Bahasa Indonesia dan Inggeris sambil beliau memperkenalkan destinasi dan masakan di sepanjang perjalanan kepada rakan pengacaranya.

“Pengalaman pada musim pertama amat menakjubkan kerana saya dapat memperkenalkan pelbagai masakan unik di setiap destinasi dan saya sangat berbangga kerana dapat berkongsi warisan negara bersama penonton di rantau ini. Musim kali ini lebih bermakna kerana saya dapat menjelajah bandaraya asal saya iaitu Jakarta, bagi memperkenalkan makanan moden dan tradisional bersama Chef Tobie di dalam salah satu episod,” kata Chef Rinrin.

Wonderful Indonesia Flavours S2_1

Penonton akan dibawa ke lima destinasi baharu yang menakjubkan pada musim kedua, iaitu Bali, Jakarta, Lombok, Yogyakarta dan Padang. Di dalam tayangan perdana bagi musim ini, penonton akan dibawa ke Padang yang terkenal di seluruh dunia dengan Nasi Padang, disamping merasai makanan-makananya yang lain.

Dalam episod pertama ini, pasangan pengacara berkenaan akan menjelajah dari bandar ke bandar di Padang, merasai keenakan Rendang Daging, yang dimasak perlahan hingga sempurna, dan menikmati makanan tempatan seperti Gulai Ikan Karang. Mereka turut memainkan peranan sebagai pemandu pelancong sambil menerangkan kepada penonton mengenai sejarah tempat-tempat yang dilawati seperti “Lobang Jepang Bukit Tinggi”, sebuah terowong yang dibina semasa Perang Dunia Ke-2 oleh Jepun untuk menyimpan peluru dan menempatkan tenteranya. Ia merupakan tanda peringatan warisan negara itu dan penjajahan Belanda.

Saksikan resipi yang dihasilkan semula oleh para pengacara  dan tempat-tempat menarik yang dikunjungi mereka kerana para penonton pasti ingin melawati tempat-tempat berkenaan selepas setiap episod.

Wonderful Indonesia Flavours 2 dipersembahkan oleh Wonderful Indonesia dan akan ditayangkan pada:

  • Khamis, 28 Julai pada 9.00 malam di Asian Food Channel

Astro saluran 703

Berikut merupakan ulasan ringkas bagi membangkitkan selera penonton sebelum tayangan perdana bagi musim ini pada bulan Julai.

Meneroka kotaraya ‘New York’ di Timur

Jakarta yang mempunyai 9 juta orang penduduk merupakan kota kelahiran masakan Betawi, gabungan citarasa Cina, Melayu, Arab dan Eropah asli. Oleh kerana perubahan lanskap pembangunan kotaraya Jakarta, masakan Betawi ini semakin sukar untuk ditemui. Chef Ririn dan Tobie terpaksa menyusuri setiap jalan bagi mencari makanan unik seperti Ketoprak (sajian vegetarian yang terdiri daripada tauhu, sayur-sayuran, nasi himpit dan bihun yang dihidangkan dengan kuah kacang) untuk anda nikmati apabila ke Jakarta nanti.

Makanan dan Kebudayaan

Dalam episod pengembaraan di Yogyakarta, kota budaya Indonesia, pasangan pengacara berkenaan akan membawa penonton menyelami dunia yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan. Mereka akan membuktikan bagaimana budaya sesebuah negara itu bukan sahaja dipengaruhi oleh seni, tetapi juga oleh makanan sambil menikmati hidangan tempatan seperti Gudeg (nangka muda dimasak bersama santan) dan Tempe  seperti yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan.

Keasyikan dalam Pengembaraan Kerohanian

Terkenal dengan pantainya yang bersih dan airnya yang jernih, Bali merupakan salah satu destinasi pilihan para pelancong. Penonton dapat mengikuti bagaimana Chef Rinrin dan Tobie menemui hidangan keraian klasik Bali seperti Bebek Betutu (itik panggang yang dihidangkan dengan nasi, sayur kukus dan sambal pedas) dalam episod ini.

 

Check Also

Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2020 Iktiraf Para Pemaju Di Rantau ASEAN

Anugerah Pemaju Hartanah Des Prix Infinitus Media ASEAN 2020 telah menganugerahkan lebih daripada 50 gelaran …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!