INTEAM Lancar Kempen #CABARAN12JAMSYRIA

Baru-baru ini Ikon Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Inteam telah pun bertolak ke Syria bagi menyertai Kempen Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Syria Siri 10. Inteam, yang diwakili oleh Hazamin, Rahim dan Syahril telah melancarkan kempen Cabaran 12 Jam Syria pada 18 Febuari 2022 di mana mereka akan cuba tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian yang terletak di wilayah utara Syria dan merasai sendiri suasana cuaca yang sejuk dan sukar di sana.

“Cabaran 12 Jam Syria adalah inisiatif bersama di antara Pertubuhan Peduli Insan Malaysia dan Inteam untuk berkongsi secara telus dan terus tentang realiti kehidupan sebagai seorang pelarian di Syria.” ujar Syahril merangkap ketua kumpulan Inteam.

“Cabaran ini bermula dari pukul 11 pagi sehingga 11 malam waktu tempatan melalui siaran secara langsung (Facebook LIVE) di akaun rasmi Facebook Inteam @officialinteam dan cabaran ini bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM1,000,000.”

“Sumbangan yang bakal terkumpul semasa cabaran ini akan disalurkan terus di dalam pelbagai bentuk bantuan seperti bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, selimut dan set pakaian musim sejuk kepada 100,000 pelarian Syria.”

Hazamin yang pernah mengikuti Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk bersama Peduli Insan di Syria pada tahun lepas turut menyatakan kesyukuran kerana tahun ini anggota Inteam yang lain turut dapat sama-sama menyertai misi kali ini dan akan melihat sendiri situasi kesukaran di kem-kem pelarian di Syria.

Beberapa selebriti tanah air juga akan turut menyertai Cabaran 12 Jam Syria sebagai tetamu istimewa secara atas talian seperti Dr. Fitri Haris, Mawi, Hafiz Hamidun, Fedtri Yahya, Dato’ Sri Mahadi, Bob Lokman, Ustaz Syamsul Debat dan ramai lagi. Ini adalah tanda solidariti serta sokongan terhadap krisis yang dihadapi oleh pelarian Syria yang telah berlarutan selamahampir 11 tahun.

Serentak dengan Cabaran 12 Jam Syria ini juga, Inteam akan turut melancarkan single terbaru kerjasama dengan Pertubuhan Peduli Insan Malaysia berjudul Selimut Kasih. Single ini akan berada di platform-platform digital manakala muzik videonya akan turut dirakamkan di beberapa lokasi di Syria.

“Kami sangat berharap semua pihak tampil menyatakan sokongan terhadap pelarian-pelarian Syria dengan berkongsi maklumat mengenai kempen ini melalui sosial media dengan menggunakan tanda pagar #Cabaran12JamSyria #12HoursWithSyria.” Ujar Rahim Inteam.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor 07043011061824 yang didaftarkan di bawah nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia atau melalui laman web rasmi Peduli Insan www.peduliinsan.org

Check Also

Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan Raya 2024 Kembali Lagi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *