Thursday , February 9 2023

Pertubuhan Peduli Insan Malaysia Teruskan Misi Bantuan Musim Sejuk Tahun 2022

Pertubuhan Kemanusiaan, Peduli Insan meneruskan misi bantuan musim sejuk tahun 2022 yang mensasarkan tiga negara iaitu, Syria, Palestin dan Yaman.

Pengerusi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) Ustaz Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan  dalam kenyataan hari ini berkata melalui Ikon Kemanusiaan mereka, Inteam, berjaya mengumpulkan dana bantuan untuk Syria sebanyak RM1,025,252.75 sepanjang tahun 2022.

“Dana yang terkumpul itu telah dimanfaatkan kepada 10,000 pelarian Syria sepanjang tahun 2022 di dalam bentuk bantuan berupa kit makanan, membaik pulih khemah, pendidikan, bantuan kecemasan serta alat pemanas dan bahan bakar yang amat penting untuk mengharungi musim sejuk,” katanya.

Inteam yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Lagu & Muzik Video Selimut Kasih menzahirkan rasa syukur di atas sokongan peminat yang turut sama menyumbang bagi membantu pelarian Syria berharap agar kerjasama yang terjalin bersama Peduli Insan ini dapat diteruskan dengan usaha yang pelbagai di masa hadapan yang mampu memberikan impak positif melalui nilai kreatif. Lagu Selimut Kasih telah tercalon di dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) pada September lalu.

“Alhamdulillah Inteam telah menghasilkan sebuah lagu berjudul Selimut Kasih yang menceritakan keperitan hidup sebagai seorang pelarian melalui bait lirik tulisan yang diilhamkan oleh air tangan Fedtri Yahya. Muzik video lagu ini juga dirakamkan ketika Inteam menyertai misi kemanusiaan Musim Sejuk Syria bersama Peduli Insan pada awal tahun ini,” kata Syah selaku ketua kumpulan dan pencipta lagu Selimut Kasih.

“Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di kem pelarian Syria yang terletak di kawasan utara Syria di mana Inteam dapat melihat dan merasai sendiri kesusahan dan penderitaan yang dialami pelarian menjadikan kami semakin menghayati tiap bait lirik lagu ini,” kata Hazamin pula.

Melihat kepada muzik video yang dikongsikan secara rasmi buat pertama kali kepada pihak media, jelas menimbulkan rasa simpati terhadap pelarian Syria yang hilang segalanya dalam sekelip mata akibat dari kesan peperangan dan krisis ini telah berlanjutan sehingga hampir 12 tahun.

Dalam pada itu, Inteam berharap melalui lagu Selimut Kasih ini mampu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk terus membantu pelarian Syria serta pelarian yang menghadapi nasib serupa di Palestin dan Yaman. Pengerusi Peduli Insan juga menzahirkan rasa terima kasih kepada semua kumpulan media yang telah menyokong kempen-kempen kemanusiaan yang dilaksanakan Peduli Insan dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya nilai ihsan demi insan dapat diterapkan kepada masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan pelarian Syria, Palestin dan Yaman boleh menyumbang ke dalam akaun rasmi Bank Islam 0704 3011 06 2019 di atas nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.

Check Also

PESTA KOPI Kini Di Pulau Pinang

Selepas sambutan luar biasa peminat kopi kepada PESTA KOPI KL, PESTA KOPI MELAKA dan PESTA KOPI EXTENDED, sekali lagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *