Tag Archives: search

Search dan Barbarik mahu yang terbaik untuk Konsert Double Trouble 2

KONSERT Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell dan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu memberi impak kuat terhadap peminat muzik rock tanah air.

Hampir semua menyifatkan ia konsert rock terbaik tanah air sepanjang tahun lalu. Malah, lebih sebulan selepas kedua-dua konsert yang berlangsung pada Jun dan Disember itu, peminat masih memperkatakannya. Ramai yang terus berkongsi pendapat serta memuat naik video konsert berkenaan di media sosial masing-masing.

Jadi, bayangkan impaknya apabila Search dan Barbarik bergabung pula pada Konsert Double Trouble 2 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Ogos ini.

Search yang dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) bergabung pula dengan Barbarik yang dianggotai Joe Branko (gitar), Muss (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard) pastinya amat dinantikan peminat rock.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd. Urusan promosi pula dilakukan Mewah Event Management (MEM).

Joe berkata, walaupun berdepan cabaran, mereka berjanji akan berikan yang terbaik untuk Konsert Double Trouble 2 nanti.

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu,” katanya.

Menurut Joe, kedua-dua band ini banyak berbincang, bertukar-tukar idea bagi memastikan konsert ini yang terbaik.

“Saya kerap berjumpa dan berbincang dengan Noordin dan Kid. Kami juga banyak mengadakan pertemuan dengan penganjur,” katanya.

Joe berkata, konsep mereka kali ini tidak banyak beza dengan konsert Double Trouble yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Kemungkinan kedua-dua band akan menyampaikan 10 lagu dan mereka juga akan memainkan enam lagu bersama-sama.

“Mungkin ada enam lagu di mana Search dan Barbarik akan bersama-sama di atas pentas. Tapi ini bukan masing-masing nak tunjuk ‘terror’, bukan nak ‘battle’ apa semua, tapi kami akan main sama-sama.” katanya.

Penganjuran konsert ini berinspirasikan daripada album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings pada 1998.

Search ketika itu menampilkan Amy (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram), manakala Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

Dalam pada itu, Noordin berkata, kelebihan Konsert Double Trouble 2 ini kerana ia menampilkan pemuzik generasi selepas mereka seperti Denden dan Minn dari Search serta Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.

“Kali ini biar mereka pula buktikan. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu. Mereka pula pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat,” katanya.

Noordin berkata, pastinya ada kejutan dalam konsert ini nanti dan mereka berjanji akan membuatkan peminat puas selepas menonton persembahan mereka.

Tiket-tiket berharga RM129, RM139, RM159, RM169, RM179, RM199 dan RM359 (VIP) yang boleh dibeli di www.ilassotickets.com atau WhatsApp di talian 011-13297822.

Search Bikin Konsert Di Bumbung Kompleks Campbell

Walaupun lokasi atas bumbung bukanlah asing dalam beberapa penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini, namun apa yang bakal diketengahkan Search ada keistimewaan tersendiri.

Kompleks Campbell itu sendiri misalnya, pada era 1980-an dan era eksplosif muzik rock adalah antara ‘port rockers’ selain Kompleks Pertama dan Kompleks Wilayah yang terletak berhampiran.

Yang pasti, gabungan muzik rock & roll Search, peminat rock dan lokasinya bakal mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock di situ.

Nordin yang mengilhamkan konsert itu berkata, ia juga bakal menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 lagu. Apa yang menarik ia adalah lagu yag jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini.

“Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu. Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal. Jadi, kali ini kami nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya.

Noordin berkata, antaranya adalah lagu-lagu dari album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

“Album itu turut menampilkan Yan selaku pemain bass. Arah muzik album itu juga berbeza daripada album Search yang lain. Lagipun ramai peminat sukakan album itu,” katanya.

Bukan saja pemilihan lagu, rekaan pentas konsert berkenaan juga berbeza.

Noordin berkata, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada ‘backdrop’, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Itulah ‘backdrop’ pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” katanya.

Selain itu, kehadiran Denden, Yan dan Minn juga bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search.

Ini termasuk jurutera bunyi, pasukan produksi dan teknikal yang mantap demi memastikan Search tampil dengan ‘sound’ berkualiti.

Sementara itu, konsert ini juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298. Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

KATHARSIS THE VINYL

Katharsis – album studio ke-12 band rock legenda tanah air, Search kini diabadikan dalam format piring hitam atau vinyl.‘Katharsis The Vinyl’ akan mula dipasarkan pada 28 Julai ini dengan harga RM199 di Fenomena Music, Plaza Damas, Kuala Lumpur dan beberapa kedai muzik terpilih serta penjual-penjual dalam talian.Ia juga dicetak terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia.Album terbitan Datuk M Nasir yang mula dipasarkan pada 2017 ini juga menyaksikan penampilan penuh pemain dram, Pae dalam album Search sekali gus memberikan kelainan serta nafas baru dari segi ‘sound’ dan persembahan Search.Selain riff gitar Kid yang lebih berat dan bertenaga, imej Search dengan konsep urban ethnic oleh pereka fesyen dan gaya terkenal, Jiman Casablanca juga cukup menarik.

Kenapa vinyl Katharsis ini wajib dimiliki peminat tegar Search?Presiden Pawana Music yang juga Penerbit Eksekutif album ini, Datuk Ahmad Zaharul Annuar berkata, ia adalah album terakhir Amy bersama Search selepas mengumumkan pengundurannya sebagai penyanyi Search pada penghujung Mac lalu. “Ini album terakhir Amy bersama Search yang pasti menerbitkan 1,001 nostalgia buat mereka dan peminat Search. Bagi ‘collector’ vinyl tegar dan peminat Search, ini koleksi paling sesuai,” katanya.

Menurut Ahmad Zaharul, vinyl ini juga menjanjikan bunyi audio yang lebih padat dan enak berbanding dalam format cakera padat (CD) yang dikeluarkan sebelum ini. “Ia juga mengandungi buku lampiran yang memaparkan koleksi gambar-gambar sepanjang kerja pembikinan album dan juga konsert Search dalam kualiti tinggi,” katanya.Proses penerbitan vinyl ini mula dilakukan di studio terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Sterling Sound pada 2018. Proses mastering pula dilakukan jurutera bunyi terkenal, Ryan Smith yang pernah mengendalikan album artis rock legenda dunia antaranya Ozzy Osbourne, AC/DC dan Coldplay.

“Proses ‘pressing’ ke format piring hitam dimulakan tahun lalu dan ‘master’ Katharsis dibawa ke kilang piring hitam Disc Makers di New Jersey untuk proses terakhir pembikinan Katharsis The Vinyl. Di situlah semua piring hitam,sampul, poster dan ‘booklet’ Katharsis dihasilkan dan dibungkus secara sistematik untuk edaran di Malaysia,” katanya.Dalam pada itu, muzik video rasmi lagu Gagalista dari album Katharsis juga sudah boleh ditonton di saluran YouTube Fenomena Music di pautan https://m.youtube.com/channel/UCpM51NRPzRt8yciw8Kkr6CA.