Tag Archives: Siti Nordiana

Memori Mungkin Berulang: Perjalanan Muzik Tomok & Siti Nordiana

Pada 1 Februari 2025, dua penyanyi tersohor tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, akan menggemparkan pentas Zepp Kuala Lumpur melalui konsert “Memori Mungkin Berulang”. Konsert yang dijadualkan bermula pada pukul 8 malam ini menjanjikan persembahan yang menakjubkan selama hampir 3 jam.

Konsert ini dibahagikan kepada 9 segmen yang menarik, dimulai dengan kolaborasi duet yang mengujakan antara kedua-dua artis. Pembukaan konsert menampilkan lagu “Benang Emas” yang pastinya akan mencuri perhatian penonton, diikuti dengan lagu-lagu hit seperti “Demi Cinta Ini” dan “Cinta Tak Pergi”.

Siti Nordiana akan membawa peminatnya melalui perjalanan emosi dengan lagu-lagu solo beliau seperti “Tatasuria”, “Hatiku Milikmu”, dan “Terus Mencintai”. Manakala Tomok pula akan menghiburkan penonton dengan persembahan energetik melalui lagu-lagu popular seperti “Berlari”, “Aku Datang”, dan “Rinduku Terhenti”.

Yang menariknya, konsert ini turut menampilkan segmen “Jam Session” di mana kedua-dua penyanyi akan berduet dengan lagu-lagu yang mengusik memori seperti “Kasihmu Seakan Berubah” dan “Hiasan di Laman Rindu”. Lebih mengujakan, terdapat segmen khas Hindustan yang menampilkan medley “Kuch-Kuch Hota Hai” dan “Koi Mil Gaya” yang pasti akan menghiburkan penonton.

Konsert ini akan mencapai kemuncaknya dengan persembahan lagu-lagu ikonik termasuk “Gurauan Berkasih” dan “Memori Berkasih”. Encore konsert akan menutup tirai dengan lagu tema “Memori Mungkin Berulang” dan “Paling Comel”, lengkap dengan kesan khas confetti yang menjanjikan pengakhiran yang meriah.

Susunan konsert ini diatur dengan teliti untuk memberikan pengalaman yang seimbang antara lagu-lagu solo kedua-dua artis dan persembahan duet mereka. Dengan sokongan band langsung dan produksi yang professional, konsert ini dijangka akan menjadi salah satu persembahan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik tempatan.

Keunikan konsert ini terletak pada kepelbagaian genre yang dibawakan, dari balada emosi hingga ke lagu-lagu rancak, termasuk sentuhan muzik Hindustan yang memberi kelainan kepada persembahan. Interaksi antara kedua-dua artis melalui sesi “chit-chat” di antara lagu-lagu juga akan memberi nilai tambah kepada pengalaman penonton.

Bintang Drama ‘Queen of Tears’ Kim Soo-Hyun Bakal Meriahkan Sambutan 10 Tahun CUCKOO

Peminat-peminat drama Korea di Malaysia bakal dikejutkan dengan kehadiran pelakon popular Kim Soo-Hyun di Pesta Muzik CUCKOOTOPIA, sebuah konsert mega anjuran CUCKOO International sempena sambutan ulang tahun ke-10 syarikat tersebut.

Kim Soo-Hyun, yang terkenal dengan watak-wataknya dalam drama popular termasuk “Queen of Tears”, akan membuat penampilan khas di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 16 November 2024. Kehadirannya akan menambah seri kepada barisan artis tempatan yang hebat termasuk ikon muzik Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Pesta muzik berbilang bahasa ini dijangka akan mengumpulkan lebih 18,000 penonton dan akan menampilkan persembahan dari pelbagai artis popular termasuk Jaclyn Victor, Phei Yong, 3P, Priscilla Abby, Siti Nordiana, Joe Flizzow, Tomok, DOLLA, Firdhaus, dan Bunkface.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, En. Hoe Kian Choon berkata, “Pesta Muzik CUCKOOTOPIA adalah cara kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyokong kami sepanjang dekad ini. Kami telah memilih barisan artis berbilang bahasa untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati sambutan ini bersama-sama.”

Peluang Memenangi Tiket

Peminat yang ingin menghadiri konsert ini berpeluang memenangi tiket melalui pelbagai cara:

  1. Peraduan ‘Beli CUCKOO Menang Kondo’ yang menawarkan peluang memenangi unit apartmen servis
  2. Permainan dalam talian GrabbyBara yang dibuka sehingga 11 November
  3. Peraduan fotografi kreatif di lokasi paparan khas CUCKOO
  4. CUCKOO Carnival di Central i-City dari 6-10 November
  5. Peraduan-peraduan khas dari rakan media seperti Astro, ERA, MY HITZ, dan GOXUAN

Pencapaian Syarikat

Sambutan ulang tahun ke-10 ini menandakan pencapaian penting bagi CUCKOO International yang telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada 2014. Syarikat ini telah mencatatkan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut, dengan hasil terkini sebanyak RM1.117 bilion pada 2023.

Sehingga Ogos 2024, CUCKOO International telah mengembangkan rangkaiannya kepada lebih 470 cawangan di seluruh Malaysia, dengan 271 kedai fizikal dan disokong oleh lebih 11,000 pekerja. Syarikat ini juga mencatatkan 1.1 juta pesanan aktif setakat 31 Disember 2023.

Untuk maklumat lanjut tentang CUCKOOTOPIA dan aktiviti sambutan ulang tahun ke-10 CUCKOO International, orang ramai boleh melayari https://www.cuckoo.com.my/10th-anniversary atau mengikuti akaun media sosial rasmi syarikat di Instagram (@cuckoo_official) dan Facebook (@CUCKOOInternational).

‘Astro 25 Concert’ Membariskan Gandingan Artis Tempatan dan Antarabangsa Terhebat

Pelanggan Astro akan dihiburkan dengan konsert virtual, secara langsung yang dibarisi ramai nama-nama hebat tempatan dan antarabangsa termasuklah dari Korea, pada 25 September ini, jam 8:30 malam di televisyen Astro 25 (Saluran 100) dan platform Astro GO. ‘Astro 25 Concert’ ini merupakan tanda penghargaan di atas sokongan pelanggan yang selama ini setia bersama di sepanjang perjalanan Astro sehingga menjadikan ia sebagai destinasi hiburan #1 pilihan rakyat Malaysia.

 

Ella, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli, Dayang Nurfaizah and Agnes Rozario

Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata, “Sebagai sebahagian dari usaha Astro untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun kami berkhidmat ini, kami begitu teruja untuk membawakan ‘Astro 25 Concert’, yang akan menyaksikan persembahan terhebat dari artis-artis naungan Astro yang mana mereka akan turut digandingan bersama ramai lagi nama-nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa. Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama. Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui TV dan radio. Bakal disiarkan di Saluran 100, semua pelanggan Astro boleh menikmati persembahan terhebat yang kami bawakan secara terus ke rumah anda, ditonton dengan selesa bersama keluarga tersayang.”

Dihoskan oleh artis popular tanah air, Nabil Ahmad dan personaliti radio, Ean, Arnold dan Aishah Sinclair, konsert berdurasi tiga (3) jam ini akan menampilkan persembahan hebat dari selebriti berikut: –

  • Bintang ‘Running Man’, Kim Jong Kook, yang turut dikenali dengan suara balada yang merdu dan penuh melankolik; beliau akan mempersembahkan salah satu lagu popular beliau. Running Man merupakan program variasi Korea pilihan nombor 1 rakyat Malaysia dan disiarkan di ONE HD (Astro Saluran 393) pada setiap hari Jumaat.
  • Kumpulan Gen Z yang kini begitu digilai ramai, TOMORROW X TOGETHER, merupakan kumpulan terbaharu dan popular dari Seoul kerana memilik suara yang merdu dan mampu menyampaikan persembahan yang cukup hebat. Muzik mereka dianggap cukup dekat dengan generasi hari ini kerana diinspirasikan dari kisah-kisah tauladan dan sesuai dengan remaja di seluruh dunia.
  • Pemenang anugerah Grammy sebanyak dua (2) kali, Jason Mraz, pemuzik dari Amerika, Pink Sweat$, penyanyi serta penulis lagu, Bazzi, dan alumni program The Voice UK, Jamie Miller.
  • Barisan penghibur tersohor negara termasuklah nama-nama legenda tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira dan Anuar Zain ke Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Zynakal.
  • Kumpulan lelaki Cantopop Hong Kong sensasi, Mirror, bintang Hong Kong Ruco Chan, dan pemenang TVB Stars Academy yang baru sahaja berusia 15 tahun, Gigi Yim.
  • Kumpulan popular Indonesia, Dewa 19, yang turut merupakan kumpulan rock yang begitu disegani ramai khususnya di Indonesia, Once Mekel, bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19, Slam, kumpulan rock tanah air, dan pemenang Singapore Idol, Taufik Batisah.
  • Pelawak dan hos terkemuka negara, Harith Iskander, bersama pemain komedi, pelakon dan pengacara TV popular Singapura, Kumar.
  • Bintang-bintang dari program terbitan Astro seperti Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul.
  • Barisan artis sensasi tanah air seperti Lil J, Orga, TUJULOCA, MK K-Clique, Haqiem Rusli, Yonnyboii dan Abigail – figura generasi hari ini, yang mana popular dan menempa nama menerusi platform media sosial umumnya.

‘Astro 25 Concert’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 25 September, pada jam 8:30 malam di Astro 25 (Saluran 100) dan boleh juga distrim menerusi Astro GO. Siaran ulangan atau ‘encore viewing’ juga boleh ditonton menerusi platform On Demand, selepas berakhirnya konsert. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Astro 25 Concert’, teruskan bersama kami di Facebook @Astro, Twitter @astroonline and Instagram @astromalaysia.

Vince Chong, Nicole Lai, Taufik Batisah dan Mugen Rao

Dalam pada itu, penonton Astro juga boleh menantikan tayangan perdana dua dokumentari istimewa, Tanah Tumpahnya Darah Kita dan We Are No Different, juga di Astro 25 (Saluran 100). Kedua-dua dokumentari ini berkisarkan tentang keindahan dan keharmonian kita hidup bersama sebagai rakyat Malaysia – dari seawal kisah sejarah bagaimana bekas perajurit kita berkorban untuk mempertahankan negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan budaya sehinggalah kepada kisah bagaimana ada di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil dan membesarkan anak angkat tanpa membataskan bangsa masing-masing. Kisah-kisah ini bersama 150 program lain yang mengangkat pelbagai cerita dan filem Malaysia serta serantau terhebat, program-program sepanjang zaman kegemaran rakyat Malaysia dan rancangan realiti kini sedia menanti penonton di Astro 25, Saluran 100. Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ke-25 Astro ini dan tawaran-tawaran menarik yang disusun khas buat anda semua, layari www.astro.com.my/bettertogether

Juga, mulai September ini, Astro akan membawakan banyak program-program baharu dan siri-siri popular serta rancangan realiti kembali menemui peminat seperti All Together Now Malaysia yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam di Astro Ria, Astro Classic Golden Melody 2021 pada setiap hari Sabtu mulai 25 September, jam 8:30 malam di Astro AEC, musim terbaharu Big Boss, mulai 3 Oktober jam 10:00 malam di Star Vijay, program komedi kegemaran ramai, Sepahtu Reunion Live 2021, pada setiap hari Khamis, mulai 23 September, jam 10:00 malam di Astro Warna, drama bersiri Astro Originals, I Tanggang, pada setiap hari Isnin, mulai 13 September, jam 9:00 malam dan drama terbaharu The Hotel, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 15 September, jam 10:00 malam di Astro Ria. Jangan lepaskan peluang menonton sajian terbaik dan terkini dari kami di Astro!

Konsert Fenomena D’POP

Sebuah konsert yang mengumpulkan penyanyi-penyanyi popular era 70an-90an dari pelbagai genre muzik bakal diadakan pada 28 September 2018 bermula jam 8.30 malam bertempat di Dewan Banquet Menara FELDA, Kuala Lumpur.Bersesuaian dengan dengan temanya, Konsert Fenomena D’POP bakal dijayakan oleh 9 artis popular dan terhebat tanah air seperti Dato’ M. Daud Kilau, Dato’ Jamal Abdillah, Dato’ Nassier Wahab, Rohana Jalil, Zur Eda, Amelina, Haiza, Zamani SLAM dan Siti Nordiana.

Konsert yang dianjurkan buat julung kalinya oleh syarikat pengurusan acara Wide Lane Event & Management itu, dijadualkan berlansung selama 3 jam tanpa henti bakal dan bakal di hoskan oleh penyampai radio Kool FM, Muaz. Peminat-peminat yang hadir pada malam tersebut bakal menikmati persembahan dari artis-artis pujaan mereka sambil menikmati hidangan makan malam eksklusif yang disediakan oleh pihak D’Saji. Selain dihiburkan, peminat-peminat bertuah yang membeli tiket untuk konsert pada malam itu bakal membawa pulang hadiah cabutan istimewa yang berupa tiket penerbangan ke destinasi-destinasi luar negara.

Menurut Pengarah Strategik Wide Lane Event & Management, Encik Rashid Ramli, pihaknya akan memastikan konsert pada malam tersebut berjalan lancar dan berjaya. Menurutnya lagi, sebahagian kutipan dari jualan tiket konsert pada malam itu akan disalurkan kepada tabung dana Majlis Kanser Malaysia (MAKNA).

Menepati kehendak ramai, eksklusif serta seiring dengan tujuan konsert ini diadakan bagi mengumpul dana bagi MAKNA, pihak Wide Lane Event & Management menawarkan pakej harga tiket yang berpatutan bermula dari RM1000 (Platinum), RM500 (Gold), RM300 (Silver) dan RM200 (Emerald). Tiket- tiket boleh di dapati mulai hari ini melalui wakil jualan di DEWAN KACH’e yang beralamat di No 36, Jalan Serendah 26/41, Sekitar 26, Seksyen 26, 40400 Shah Alam.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 019-3977830 atau semak maklumat di :
Facebook: fenomenadpop
Instagram: @fenomenadpop
Twitter: fenomenadpop
Emel: fenomenaoiii.18@gmail.com

PRIMAVALET Lancar KOLEKSI RAYA EKSKLUSIF Sempena Lebaran 2018

PrimaValet, hub fesyen terbesar di Malaysia telah melancarkan Koleksi Raya 2018 dalam satu acara gilang gemilang yang berlangsung di Hotel The Majestic Kuala Lumpur malam ini.

Majlis yang dihoskan oleh Faizal lsmail dan Elfira Loy dihadiri seramai lebih 800 tetamu dihadiri tetamu tetamu kehormat, barisan selebriti tanahair, pelanggan tetap PrimaValet, ejen, personal shoppers dan ramai lagi. Bertemakan glam lebaran, koleksi raya ini ternyata mempunyai sentuhan eksklusif dan mewah yang pastinya menawan hati semua tetamu yang hadir.

Menghimpunkan lebih daripada 126 orang model memperagakan busana istimewa untuk Hari Raya, koleksi kali ini dijangka memberikan impak yang lebih maksima berbanding tahun sebelumnya. Tidak terikat dengan konsep tertentu, Koleksi Primavalet Raya 2018 menampilkan elemen mewah, eksklusif, kontemporari namun ringkas dan sesuai serta mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

Antara koleksi yang diperagakan pada malam tersebut termasuk Baju Melayu, Kurta, Baju Kebaya, Baju Kurung, baju kanak-kanak, koleksi sedondon famili dan juga himpunan koleksi baju kurung berasakan fabrik saree yang begitu memukau mata tetamu yang hadir pada malam tersebut. Semua busana yang diperagakan pada malam ini akan mula dijual di seluruh cawangan PrimaValet bermula pada bulan Mei 2018.

Koleksi raya ini adalah himpunan terbaik dari Arjuna, Meylana, YoumeAndHunny, Nur Aishah, Shasya Habib, Ezuwan Ismail dan sudah tentunya koleksi pertama dari Primavalet sendiri iaitu PV Man, PV Woman dan PV Kids. Selain dari jenama ini, koleksi koleksi jenama seperti Syus Couture, Zoud, Kukubesi dan Buranku.co akan turut berada di semua outlet Primavalet sempena hari raya nanti.

Sebahagian artis yang hadir pada majlis Pertunjukkan Fesyen Koleksi Raya Primavalet di Hotel Majestic. 

Turut mencuri perhatian apabila Primavalet memperkenalkan barisan duta 2018 yang digelar “Stars of Primavalet” yang menampilkan selebriti yang bukan calang calang antaranya Zul Arifin, Alif Satar, Amar Baharin, Amyra Rosli dan anak beliau Aqeef Anaqi, Asad Mowtah, Zukie, Siti Nordiana, Nabila Razali, Amyra Rosli, Janna Nick, Farah Nabila, Atikah Suhaimie, Asyallie dan Shaheizy Sam.

Barisan bintang yang cukup gah ini pasti mampu menarik Iebih ramai pelanggan baru dan lama untuk membeli belah di Primavalet samada di outlet mahupun di atas talian. Menurut Pengarah Urusan Primavalet, Dr. Arshad, pemilihan selebriti dilakukan secara telus berdasarkan imej artis yang sesuai dengan Primavalet dan jumlah pengikut yang ramai di media sosial.

Untuk Syawal kali ini, Primavalet akan melancarkan Iebih dari 70 koleksi dan rekaan untuk digayakan di hari lebaran nanti. Kesemua koleksi ni adalah berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua golongan. ”Untuk raya 2018 ini kami tampil dengan koleksi dari kanak kanak sehinggalah dewasa. Kami juga menyediakan pakej sedondon untuk keluarga untuk mereka yang sukakan konsep sedondon di pagi syawal”, ujar Dr. Arshad lagi.

Busana yang diperagakan pada pertunjukan fesyen pada malam ini, akan berada di semua outlet PrimaValet secara berperingkat peringkat bermula 1 Mei ini sehingga 1 Ramadhan dan pelanggan yang berminat boleh terus mendapatkan koleksi koleksi ini di outlet, juga online di www. urimavalet.com dan juga melalui ejen dan personal shopper rasmi PrimaValet.

Mencapai usia genap setahun pada hari ini, PrimaValet terus unggul dalam melebarkan sayapnya untuk menjadi hub fesyen untuk pakaian muslimah dan kontemporari tanah air. Selain mempunyai outlet, terbesarnya di Ostia Bangi, primavalet turut mempunyai cawangan di Senawang, Negeri Sembilan dan di Kota Bharu, Kelantan dan bakal membuka cawangan terbaharu di Wangsa 118, Wangsa Maju Kuala Lumpur pada 5 Mei 2018 ini.

UTUHNYA CINTA SITI NORDIANA DALAM “HATIKU MILIKMU”

Sifat kesetiaan, ketulusan, kekuatan, istiqamah dan iltizam yang bersungguh-sungguh yang wujud dalam sanubari wanita sering diungkap dalam naskhah-naskhah zaman silam sama ada di alam Melayu ataupun Barat. Keutuhan cinta seorang wanita yang setia tidak ada pasang surutnya, tidak pernah berkurang apatah lagi hilang ditelan masa. Sekali dia menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki,  sampai ke hujung nyawa dia akan tetap melestarikan rasa kasih dan sayangnya kepada pasangannya.

Begitulah luahan SITI NORDIANA dalam single terbarunya yang berjudul “Hatiku Milikmu”.  Ini merupakan single solo Nana yang ketiga selepas muncul juara dalam program Gegar Vaganza 2 (GV2) pada tahun 2015. Masih mengekalkan tema cinta dalam single terbaru ini, Siti Nordiana yang mesra disapa sebagai Nana ini beranggapan lagu ini bukan hanya mengisarkan kisah cinta biasa, malah ianya lebih memfokuskan kepada sifat wanita yang setia dan tulus dalam percintaan.

Bagi Nana lagu ini melambangkan keutuhan cinta seorang wanita. Walaupun pernah dikecewakan, hatinya tetap setia dan cintanya tetap utuh. Sukar untuk dia berpindah ke lain hati apabila sepenuh jiwa raganya sudah pun diserahkan kepada lelaki yang amat dicintainya,” jelas Nana tentang perihal yang diangkat dalam “Hatiku Milikmu”.

Single terbaru ini merupakan hasil gubahan Nana sendiri bersama Shana yang bertindak sebagai penulis lirik. Lagu berentak pop balada ini diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Nana sendiri, SND Soul Entertainment dengan kerjasama Seventeen Eleven Music Sdn Bhd sebagai pengedar.

Sesuai dengan suara dan kecenderungan Nana sendiri yang selesa membawakan lagu-lagu irama balada yang sudah sebati dengan dirinya. Nana sekali lagi mempertaruhkan genre pop balada untuk single “Hatiku Milikmu” ini. Menjanjikan sedikit kelainan terhadap karya terbarunya ini, Nana memilih untuk menyuntik sedikit elemen moden ke dalam susunan muzik “Hatiku Milikmu” agar berbunyi lebih segar dan berbeza berbanding lagu-lagu Nana sebelum ini. 

“Apa yang boleh Nana simpulkan, muzik dalam lagu ni memang cukup istimewa. Lagu ini sepatutnya lagu sedih dengan melodi mendayu-dayu dan lirik yang melankolis, tetapi sebaliknya lagu ini kedengaran tidaklah sampai meruntun jiwa. Itulah keistimewaannya. Lagu sedih tapi muziknya sedikit rancak,” ulas Nana. 

”Lagipun, sengaja Nana hasilkan lagu ini agar tidak bernada tinggi dan bersifat lebih santai. Senanglah nanti untuk peminat menyanyikan lagu ini di karaoke atau menerusi applikasi seperti Smule,” jelas Nana lagi.

Sekiranya lirik dalam single Nana sebelum ini “Terus Mecintai” merupakan cerminan kisah percintaan Nana sendiri. Inspirasi lirik “Hatiku Milikmu” pula datang dari sumber yang berbeza. Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini menjelaskan,“Ilham untuk penulisan lirik lagu ini bermula daripada lontaran idea Nana dan Shana. Mengambil contoh kisah-kisah cinta di sekeliling kita, kami berdua sama-sama fikirkan latar cerita terbaik untuk lagu ini. Lirik nukilan Shana berjaya memberi jiwa kepada lagu ini.”

Turut dilancarkan bersama single ini adalah video muzik rasmi “Hatiku Milikmu” yang akan mula disiarkan Video muzik ini merupakan arahan Sergiu Chirau dan Dragos Cruceat dari agensi produksi video, Storytellrs. Penggambaran dijalankan selama seminggu di Krabi, Thailand dan sekitar Kuala Lumpur. Menurut Nana, inilah pengalaman pertamanya menjalani penggambaran video muzik di luar negara sepanjang tempoh karier seninya yang sudah menginjak usia 19 tahun.

Video muzik ini turut menampilkan pasangan lakonan Nana dalam telemovie “Cekelat Semanis Honey” dan “Cekelat Tak Semanis Honey”. Pemilihan Fikry Ibrahim untuk bergandingan dengannya dalam video muzik ini menurut Nana adalah bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat kesinambungan gandingan mereka di layar perak. “Ada sesuatu istimewa yang Nana sajikan dalam video muzik ini. Peminat kenalah tonton kalau hendak tahu lebih lanjut,” ujar Nana yang turut teruja menantikan hasil video muzik itu.

 Nana yang sibuk merencana kerjaya seninya dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan untuk tahun 2018, berdebar menunggu penerimaan peminat terhadap single terbaru ini berkata,“Selama ini memang Nana cuba berikan yang terbaik untuk peminat. Merekalah sumber inspirasi Nana. Harapan Nana agar “Hatiku Milikmu” ini mendapat reaksi positif peminat Nana khususnya dan pencinta seni tanahair amnya.”