Tag Archives: Sukan

Siaran Langsung SUKAN SEA KE-28 Selama 16 Jam Setiap Hari Di Astro Arena

Peminat sukan tanahair kini berpeluang mengikuti liputan komprehensif Sukan Sea ke-28 menerusi siaran secara langsung temasya itu yang akan disiarkan selama 16 jam setiap hari di kesemua platform Astro Arena.

Astro Arena, saluran sukan tempatan Malaysia pertama, akan mula menyiarkan acara pra- kejohanan temasya dwi tahunan tersebut bermula 28 Mei ini di Saluran 801, dan juga dalam definisi tinggi (HD) di saluran 802. Sepanjang temasya yang akan berlangsung daripada 6 hingga 16 Jun itu, seramai 180 krew produksi Astro Arena akan berada di Singapura, bagi memberikan liputan terbaik untuk semua peminat sukan Malaysia.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Kay berkata “Astro Arena teruja dan bersedia untuk memberikan liputan terbaik Sukan SEA untuk semua rakyat Malaysia. Saluran Astro Arena boleh ditonton oleh semua pelanggan Astro dan Njoi. Lebih menarik lagi, semua rakyat Malaysia termasuklah yang tidak melanggan Astro, boleh menonton Astro Arena di platform Astro on The Go selepas melakukan pendaftaran.”

“Kami di Astro Arena kagum dengan semangat atlet negara dalam memberikan prestasi terbaik mereka demi kejayaan Malaysia. Kami menghargai setiap usaha dan dedikasi mereka dan kami selaku organisasi media akan memastikan pencapaian mereka dalam arena sukan ini dapat disaksikan semua. Astro Arena juga melancarkan kempen #ayuhMalaysiaku di mana rakyat Malaysia berpeluang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pasukan negara kita menerusi akaun laman sosial masing-masing. Jadi jangan lupa gunakan #ayuhMalaysiaku bila mana anda mengemaskini status anda di laman sosial “

Picture 2-Let's support Malaysian athletes with #ayuhmalaysiaku

Menerusi platform radio dan digital, Arena Radio akan menyediakan liputan radio secara dalam talian manakala laman sesawang stadiumastro.com bakal menjadi pusat maklumat dan berita terkini berkenaan Sukan SEA Ke 28.

Pembaharuan Kerjasama Strategik Astro Arena dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)

Astro Arena juga memperbaharui kerjasama strategiknya bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam menyediakan liputan media untuk persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah majlis itu untuk tempoh 5 tahun lagi bermula 2015 sehinggalah tahun 2020. Pengumuman pembaharuan kerjasama strategik itu berlangsung dengan disaksikan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaludin berkata “Kementerian Belia dan Sukan memuji kerjasama di antara Astro Arena dan juga Majlis Olimpik Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai industri sukan negara. Liputan meluas Sukan SEA ke-28 di pelbagai platform adalah sesuatu yang sangat baik dan saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan aksi atlet kita dan menyatakan sokongan padu kepada mereka. Saya berharap dengan kerjasama ini, kita dapat mengembalikan semula kegemilangan sukan tempatan seperti bola sepak, sepaktakraw, badminton dan juga hoki. Saya berharap dalam masa 5 tahun lagi, kita dapat melihat perkembangan yang lebih positif. Kita mengharapkan atlet negara kita dapat memberikan prestasi terbaik.”

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, berkata “ Kerjasama strategik di antara Majlis Olimpik Malaysia dan Astro Arena telah berjalan dengan amat baik dan saya percaya ini adalah kerana kedua-dua pihak mengambil berat akan prestasi sukan tempatan dan berkongsi minat dan harapan yang sama iaitu untuk melihat para atlet kita menyinar dalam bidang sukan masing-masing. Yang pasti, sudah banyak sukan tempatan telah mendapat manfaat menerusi liputan meluas yang telah disediakan Astro Arena.”

Tambah Lee lagi “Sejak Astro Arena dilancarkan pada tahun 2010, kami telah berkerja secara langsung dengan MOM untuk memperbanyak liputan berkenaan sukan tempatan. Kami dengan berbesar hati mengumumkan sebanyak 17,000 jam kandungan sukan tempatan telah pun dihasilkan, dan secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan nama beberapa sukan tempatan. Ia juga telah membuka peluang untuk Astro berkerja secara langsung dengan persatuan sukan tempatan dalam menaikkan lagi sukan tempatan ke peringkat seterusnya. Adalah sesuatu yang boleh dibanggakan bila mana kita berjaya menjayakan SepakTakraw League, yang telah dilancarkan November lalu. Liga amatur pertama Sepaktakraw seumpamanya telah berjaya diadakan hasil daripada kerjasama Persatuan SepakTakraw Malaysia dan juga Asia Sports Venture, yang bertindak selalu pemangkin SepakTakraw Astro.”

Jangan lupa untuk menyaksikan liputan komprehensif Sukan SEA ke-28 hanya di Astro Arena, Njoi dan juga Astro on The Go. Untuk melanggan Astro dan Njoi, layari laman sesawang www.astro.com.my atau hubungi 03-95433838. Untuk maklumat lanjut berkenaan Astro on The Go, layari www.astroonthego.com.

Malaysia Jumpa Brunei Di Separuh Akhir ISTAF

ISS finals in Kuala Lumpur

Malaysia menepati ramalan ke separuh akhir setelah mudah melepasi Jepun dalam suku akhir Sepaktakraw Siri Super Akhir Istaf 2013/14 dengan menumpaskan Jepun 15-1, 15-9 di Stadium Titiwangsa di sini.

Cuma 22 minit sahaja diperlukan regu Izurin Refin, Mohd. Hanafiah Dolah dan Mohd. Muqlis Borhan untuk meraih pertemuan separuh akhir dengan Brunei yang mengejutkan Singapura 15-11, 15-6 pada satu lagi suku akhir.

Sesudah melepasi mudah Singapura dan Perancis dalam Kumpulan B, anak buah Jamaluddin Hassan jelas sukar disaingi regu Jepun, Masahiro Yamada, Masanori Hayashi dan Seiya Takano.

Kata Jamaluddin, “kami lebih banyak menekan Jepun lebih awal ketika mereka belum menemui rentak servis. Hanya pada set kedua, mereka cuba bangkit mengejar ketika ketinggalan 6-9.

ISS finals in Kuala Lumpur

“Dengan kami mendahului begitu jauh, tekanan menjadi kian kurang, begitu juga kesilapan daripada segi servis dan libasan. Namun inilah corak permainan sebenar yang kita nantikan selepas tiga perlawanan Siri Super.

“Brunei saya dapati membawa barisan pemain yang lebih baik daripada siri sebelum ini. Mereka ada saiz dan prestasi yang bagus kerana melalui lebih banyak (tiga perlawanan) Kumpulan D.” katanya.

Sementara itu, kata Muqlis, ketua pasukan negara, “kami mengharapkan sokongan lebih ramai penonton apabila beraksi dalam separuh akhir nanti.

“Regu kami sudah mencapai peningkatan dan keserasian jadi saya yakin kami boleh buat kejutan untuk bergelar juara kali pertama Siri Super dengan penampilan sulung saya di sini,” katanya.

Sementara itu, musuh tradisi Malaysia, Thailand turut mara ke separuh akhir dengan menundukkan Indonesia 15-2, 15-10 namun bakal berdepan ujian lebih getir, Korea Selatan yang menumpaskan India 15-10, 15-3.

Regu juara dunia itu, Kritsana Tanakorn, Supachai Maneenat dan Somporn Jaisinghol cuma memerlukan 24 minit untuk menang manakala Korea Selatan mengambil masa selama 23 minit ke atas India.

KEPUTUSAN 7 MAC 2014:

Suku akhir (Lelaki) – Korea Selatan kln. India 15-10, 15-3;

Thailand kln. Indonesia 15-2, 15-10;

MALAYSIA kln. Jepun 15-1, 15-9;

Brunei kln. Singapura 15-11, 15-6.

JADUAL 8 MAC 2014

Separuh akhir

Lelaki: MALAYSIA lawan Brunei (3.10 petang);

Thailand lawan Korea (2.00 petang)

 

Wanita: MALAYSIA lawan Myanmar (4.20 petang)

Thailand lawan Indonesia (7.00 petang)