TAPAUFEST 2022

Festival indie Asia Tenggara – TAPAUfest kini kembali dengan keunikan dan kepelbagaian tarikan. TAPAUfest 2022 kali ini menggabungkan elemen alam semula jadi dan seni di lokasi yang  jauh dari kesesakan bandar namun mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri iaitu di Lenggong, Perak. Ini bermakna komuniti muzik indie Asia Tenggara bakal berkumpul dan beraksi dikelilingi alam yang indah!

Pada 22 dan 23 Oktober, TAPAUfest melangkaui kebiasaan sebuah festival muzik dengan mengajak kita semua bersama berkelah atau berkhemah di Resort Tasik Raban sambil menikmati persembahan barisan pemuzik indie terbaik Asia Tenggara. Dengan tasik dan gunung-ganang sebagai latar belakang, ia pasti menjadi pengalaman yang cukup istimewa.

Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris, mempunyai visi yang jelas untuk TAPAUfest kali ini, “Salah satu sebab kami melakukannya di Lenggong, adalah kerana kami mendambakan peluang untuk meneroka Malaysia di luar bandar. Selepas satu dunia terkesan dengan wabak, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert”.

Dengan tema #SerumpunBerpesta, TAPAUfest menghimpunkan 12 aksi persembahan ‘PENTAS’ merentasi genre dan nuansa dari Malaysia, Indonesia dan Singapura selama dua hari anda di sana. Hari pertama TAPAUfest 2022 menampilkan .Feast (ID), Margasatwa (MY), Abangsapau (SG), Sweetass (MY), The Pinholes (SG) dan Salammusik (MY). Hari ke-2 diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The DARE (ID), The Filters (MY), Sobs (SG), The Times (MY) dan Hindia (ID).

Dengan campuran kugiran yang sudah dikenali dan nama yang baru naik dalam ruangan alternatif, TAPAUfest berbangga untuk menjadi pentas penampilan sulung untuk barisan artis Indonesia di Malaysia, iaitu Hindia, The Dare dan .Feast! Aksi dari artis Malaysia semestinya menjanjikan kelainan baharu dengan penampilan Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese yang pastinya membuatkan kita terpukau dengan gabungan musikalisasi hip-hop dan hardcore. Aksi musisi dari Singapura tidak kurang menariknya, daripada nostalgia pop-yeh-yeh The Pinholes, kepada rapper Sikh-Melayu dengan keterampilan berkain pelikat, Abangsapau, hingga ke indie pop, Sobs!

THE TIMES

Persembahan muzik akan bermula pada pukul 5 petang, memberikan ruang dan masa untuk anda meneroka pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang ditawarkan di Lenggong. Jadi tak perlu tergesa-gesa memasang khemah kerana ini adalah peluang anda untuk santai bersama.

Dari jam 10 pagi sehingga 4 petang, jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan dari pembikin filem indie dan belajar dari bengkel dan sesi kongsi di ‘BENGKEL + LAYAR’, hasil kerjasama bersama Kakiseni. Inilah masanya untuk anda ‘Tapau sedikit pengetahuan!’

Resort Tasik Raban

Selain itu, misi TAPAUfest adalah untuk memartabatkan ekonomi tempatan dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut citarasa tempatan di ‘WARUNG’. TAPAUfest juga bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan anda kelainan dengan terdapatnya reruai untuk barangan, rilisan fizikal seperti piring hitam, kaset dan CD, selain karya seni dari artis tempatan dan banyak lagi!

Apabila membeli tiket konsert, nilai yang diperolehi bermula dari nota pertama persembahan sehingga artis turun dari pentas. Namun dengan TAPAUfest, pengalaman itu bermula sebaik sahaja anda meninggalkan rumah anda. Senarai main TAPAUfest dikurasi untuk memperkenalkan dunia muzik indie Asia Tenggara sambil menemani anda dan rakan-rakan sepanjang perjalanan yang indah selama 3 jam dari Kuala Lumpur ke Lenggong.

Nilai sebuah festival itu bukan sekadar terletak di persembahan muzik. Ia juga tentang kenalan baru yang dibuat dan memori yang dicipta. Lenggong mempunyai keistimewaannya tersendiri sebagai tapak warisan UNESCO yang menempatkan salah satu rangka manusia purba paling lengkap di Asia Tenggara, digelar sebagai ‘Perak Man’,  kira-kira 11,000 tahun lalu. Keindahan tempat dan keunikan suasana beserta persembahan muzik yang hebat memberikan nilai lebih dari sekadar sebuah konsert, malahan bakal mengukir memori yang tidak dapat dilupakan.

Menurut  Ahmad Faris, “Kami sangat menghargai semangat dan penglibatan oleh Majlis Daerah Lenggong bagi menjayakan TAPAUfest di kawasan mereka. TAPAUfest juga tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dari CENDANA yang menunjukkan kepercayaan mereka terhadap komuniti indie sekali lagi. Terima kasih juga kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan Anbot  kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni, komuniti dan budaya indie Asia Tenggara.”

Tiket Pra-Jualan sudah boleh dibeli dengan Tiket Solo Sehari berharga RM165 (1 tiket untuk Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (1 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2).Untuk maklumat lanjut jemput ke www.TAPAUfest.asia dan TAPAU tiket anda sekarang!

Jemput layan senarai main TAPAUfest di sini: https://open.spotify.com/playlist/3e77WAVfk3TaGM9uVoCgLK?si=96e45fc199874ebe

Jangan lupa sebarkan berita ini dengan menggunakan hashtag #TAPAUfest  #SerumpunBerpesta dan #LepakLenggong.

Untuk seberang pertanyaan sila hubungi Ahmad Faris di faris@tapau.asia atau +60172351204

Check Also

Sumbangan RM150,000 Yayasan PEKEMA Bagi Menghargai Artis Veteran dan Penggiat Seni Uzur

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengadakan majlis penyerahan sumbangan yang bernilai RM150,000 yang disumbangkan oleh Yayasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *