Thursday , February 9 2023
Edora (Naib Juara), Uyaina (Juara) & Maryam (Tempat Ketiga)

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015

Uyaina Dinobat sebagai Nona Manis 2015 | Pencarian Nona Manis, segmen istimewa dalam program majalah wanita terbitan TV3, Nona bertujuan mencari satu ikon generasi muda masa kini telahpun melabuhkan tirainya pada hari Ahad yang lepas. Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, Pencarian Nona Manis Akhir telah mengumumkan Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang Undang dari Universiti Malaya sebagai Nona Manis 2015 sekaligus membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai RM 15,000 dan hadiah-hadiah lumayan.

Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan
Debaran lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir menanti keputusan

Setelah tujuh minggu mengharungi pelbagai cabaran yang menguji kebolehan mereka dalam dunia penyiaran, keusahawanan dan program khidmat masyarakat, hanya lima finalis sahaja yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish).

Balqish, Edora, Maryam, Uyaina dan Yuyu perlu mempersembahkan tugasan akhir mereka dengan topik-topik yang dipilih. Selepas itu, mereka perlu berhadapan dengan sesi soal jawab secara langsung yang dikendalikan oleh panel juri profesional di pentas akhir. Antara topik yang dipersembahkan oleh kelima-lima finalis Nona Manis ialah Kesan Kaunseling Dalam Memperbaiki Hubungan Suami Isteri (Balqish), Generasi Tunduk (Edora), Barah Payudara (Yuyu), Perkosaan Dalam Rumah Tangga (Uyaina) dan Kecantikan Dari Kacamata Lelaki (Maryam).

Lima finalis Pencarian Nona Manis Akhir dalam sesi soal jawab bersama panel juri profesional

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9, “Pencarian Nona Manis berjaya mencapai objektifnya dengan menyediakan platform untuk mengasah bakat baharu gadis-gadis muda ini. Penglibatan mereka selama tiga bulan ini pasti dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang berharga kepada para finalis kami terutama mereka yang tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran. Kami berharap agar mereka dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dan juga kemahiran baharu ini untuk mencapai cita-cita mereka nanti.”

“Selain itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja kami iaitu Blossom Box Store dan Aidijuma yang sudi menaja hadiah lumayan kepada barisan pemenang selain menaja pakaian dan tudung ketika 10 peserta menjalankan tugasan sepanjang program ini,” tambah Sherina lagi.

Uyaina
Uyaina

Siaran langsung Pencarian Nona Manis Akhir ini telah dihoskan oleh tiga wanita anggun iaitu Fouziah Gous, Fara Fauzana dan Dayah Bakar. Majlis tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat daripada Altimet, Azmil Mentor Legend dan Hafiz Suip.

Pemenang Nona Manis 2015 ini telah dinilai oleh lima juri profesional yang diketuai oleh Hajah Nurfarahin Jamsari, Pengurus, Pengurusan Imej Media Prima Berhad dan disertai oleh Haliza Hashim, koresponden TV3 di London; Jovian Mandagie, pereka fesyen terunggul Malaysia; Mahani Awang, Pengerusi Persatuan Pereka Bumiputera serta Fahrin Ahmad, pelakon popular tanahair.

Edora
Edora

Pencarian Nona Manis ini ditaja oleh Blossom Box Store dan Aidijuma. Uyaina yang dinobatkan sebagai Nona Manis 2015 telah menerima hadiah daripada Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad. Hadiah yang diterima adalah berupa trofi, hadiah wang tunai RM15,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM15,000 daripada Habib.

Edora sebagai naib juara pula menerima hadiah wang tunai RM10,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM10,000 daripada Habib.

Maryam
Maryam

Manakala pemenang ketiga iaitu Maryam menerima hadiah wang tunai RM5,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM5,000 daripada Habib. Sementara itu, pemenang sagu hati iaitu Yuyu dan Balqish juga turut menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan barangan kemas bernilai RM2,000 daripada Habib.

Sepuluh peserta yang terpilih ialah Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Nabila Humaira Binti Kamaruzaman (Maira), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Syadanar Binti Mohd. Zahari (Syadanar), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Nur Rafiza Binti Abdul Talib (Jaja), Nor Azween Binti Mohd Noor (Aween), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), Fatihin Husna Binti Bahrom (Fatihin), dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish). Hanya lima finalis terbaik yang berentap di Pencarian Nona Manis Akhir yang telah berlangsung pada 2 Ogos 2015 iaitu Maryam, Yuyu, Edora, Uyaina dan Balqish.

Check Also

“Kehilangan”: Sudah Tiba Masanya Kesedaran Kesihatan Mental Menerusi Muzik Diketengahkan

Jerry Zakaria atau nama sebenar Mohd Zamhari bin Zakaria hari ini, melancarkan single terbaharunya yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *