Nostalgia Filem “Kembara Seniman Jalanan” Dalam Slot Pilihan Jumaat di TV2

antara babak

M. Nasir adalah seniman hebat kelahiran Singapura yang mencipta nama sebagai komposer, produser dan penyanyi di Singapura dan Malaysia sejak hujung tahun 70an lagi. Jasanya dalam industri muzik tanahair juga telah mendapat pengiktirafan negara dengan menganugerahkan gelaran “Datuk”.

Bagi mengembalikan nostalgia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Pilihan Jumaat bakal menayangkan filem “Kembara Seniman Jalanan” yang menampilkan bakat beliau dalam bidang lakonan pada 17 Oktober depan, pukul 2.00 petang di TV2.

Menerusi filem yang mampu mengembalikan ingatan penonton terhadap seleksi lagu pilihan yang melatari filem ini termasuklah lagu Rupa Tanpa Wajah, Siapa Orang Kita, Balada Pemusik Jalanan, Sesat Di Kuala Lumpur dan Balada Osman Tikus yang kesemuanya cetusan ilham M.Nasir. Malah lagu-lagu malar segar tersebut menjadi siulan sehingga kini.

Turut membintangi filem diterbitkan tahun 1986 ini Khadijah Ibrahim (wartawan hiburan), Majid Salleh (En Johan), Pyan Habib (Osman Tikus), dR Sam, Shah Reza (Fareez), Imuda (Brader Joe penjual burger), Siso Kopratasa, Kumpulan Sweet Charity, M. Rajoli, Hasnah Ibrahim dan Amy (Search).

Ia berkongsi kisah Bujang yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus (lakonan Pyan Habib) di Hentian Puduraya. Osman merupakan seorang penyeluk saku sepenuh masa. Pertembungan itu mengakibatkan dompet Bujang juga turut menjadi mangsa Osman.

Hal ini hanya disedari setelah Bujang ke gerai burger milik Imuda (Brader Joe) untuk mengalas perut sebelum meneruskan tujuan ke Studio rakaman milik En Johan, seorang pengusaha syarikat rakaman bumiputera yang terlibat dengan cetak rompak. Akibatnya Bujang terpaksa makan burger tidak berbayar.

filem kembara seniman jalanan

Sesampai di studio rakaman, Bujang terpaksa menunggu lama dan disuruh pulang dan datang semula esok harinya oleh En Johan kerana alasan sibuk dan tidak mahu melayan Bujang. Bujang berjumpa semula dengan Osman selepas itu di gerai Brader Joe. Bujang nampak Osman ada disitu dan terus menyerang Osman tetapi berjaya di halang oleh Brader Joe dan Siso. Kemudian Osman memohon maaf dan mengajak Bujang tinggal bersama di rumah “tinggal” di ibu kota.

Keesokan harinya Bujang kembali ke studio rakaman dan apabila tiba giliran ujibakat, dia dipersendakan dan diperlekehkan oleh En Johan kerana penampilan yang “rugged”. Bujang mendendangkan lagu “Rupa Tanpa Wajah” secara akustik dan dalam diam-diam En Johan, telah merakam dan menciplak lagu tersebut dan diberikan kepada penyanyi pop superstar bernama Fareez. Disitu juga Bujang bertemu dengan Khaty, seorang wartawan hiburan.

Bujang yang tiada mendapat peluang menjadi artis rakaman telah didorong oleh Brader Joe supaya membuat persembahan secara terbuka “basking” di kaki lima bangunan-bangunan. Biasanya dia ditemani oleh Osman yang turut mengambil kesempatan menyeluk saku. Mereka adakalanya dihalau oleh Pihak Berkuasa kerana dituduh mengemis. dR Sam dan Neeruam, juga pengusaha syarikat rakaman turut mencari-cari bakat baru untuk diketengahkan.

Suatu hari Khaty telah dipanggil oleh En Johan untuk mendengar lagu dari album terbaru Fareez. En Johan cuba merasuah Khaty dengan wang suapan supaya mempromosikan album itu. Khaty terserempak dengan Bujang yang menyanyi di tepi jalan, dan bertanyakan lagu yang dinyanyikan serupa dengan lagu Fareez.

Barulah Bujang sedar yang karya beliau telah dirakam rompak dan diciplak. Beliau dan Osman telah mengamuk dalam satu majlis promosi dan pradengar album Fareez di sebuah hotel terkemuka di ibukota. Mereka berdua kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan.

Neeruam telah mengikat jamin Bujang dan Osman. Kemudian mereka menjadi artis syarikat rakaman dR Sam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.

Check Also

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain Semarakkan Keterujaan Ziana Zain Concert 2024

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *