Wednesday , April 21 2021

Telefilem Istimewa Hari Raya Aidiladha

Telefilem Istimewa Hari Raya Aidiladha | Aidiladha merupakan perayaan yang istimewa buat umat Islam untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S. Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba pada 24 September 2015, TV3 tidak ketinggalan untuk menyediakan enam buah telefilem khas buat tontonan seisi keluarga dari 24 September hingga 27 September 2015.

Pelita Panjut Untuk Mentua (24 September, 10.00 pagi)

Pelita Panjut Untuk Mentua lakonan Dayana Roza, Fattah Amin, Liza Abdullah dan Delimawati mengisahkan rumah tangga Azudin dan Aleeya yang sentiasa dilanda masalah kerana ibu mereka, Puan Zaleha dan Puan Fatimah tidak sehaluan dan sering bermasam muka. Azudin dan Aleeya telah mendapat idea dalam percubaan untuk memulihkan hubungan besan berdua ini. Jadi, Azudin dan Aleeya berpura-pura bermasam muka. Perubahan tingkah laku anak mereka menimbulkan kebimbingan Puan Zaleha dan Puan Fatimah. Demi kebahagiaan dan keharmonian kedua-dua keluarga, mereka berpakat untuk memulihkan hubungan Azudin dan Aleeya kembali walau apa cara sekalipun.

poster lambaian kerinduan - Copy

Lambaian Kerinduan (24 September, 2.00 petang)

Saksikan lakonan Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan Khaty Azean menerusi telefilem Lambaian Kerinduan yang mengisahkan Mak Siti sentiasa risau anaknya dikawal oleh isterinya. Mak Siti juga bangga apabila anaknya berkemampuan menanggungnya ke Mekah dan melakukan korban sembelihan. Di saat-saat akhir, Mak Siti geram kerana segalanya dibiayai oleh menantunya yang ikhlas.

Sawadeeka Mak Cun (24 September, 10.00 malam)

Sawadeeka Mak Cun lakonan Eirma Fatima, Dato’ Rahim Razali, Balkisyh Samundur Khan, Datin Paduka Umie Aida dan Nora Danish merupakan kesinambungan daripada drama bersiri Mak Cun di slot Lestary. Telefilem istimewa ini mengisahkan perusahaan Bedak Sejuk Mak Cun yang semakin laris dan boleh didapati di seluruh Malaysia setelah berjaya di Kokdiang. Malahan Mak Cun bercita-cita untuk memperluaskan perusahaan Bedak Sejuk Mak Cun ke Bangkok. Pada masa yang sama, Mak Cun rasa cemburu apabila anak perempuannya, Atul bersetuju untuk berkahwin dengan Pak Akob.

Abang Haji
Abang Haji

Abang Haji (25 September, 10.00 malam)

Sebuah lagi telefilem baharu iaitu Abang Haji lakonan Hafreez Adam, Mira Filzah dan Nadiya Nissa mengisahkan Husaini, seorang pemborong getah kaya yang mempunyai isteri yang cantik bernama Laila dan tiga orang anak lelaki. Husaini dipanggil sebagai Abang Haji kerana sudah menunaikan haji pada usia muda iaitu awal 20an. Kedatangan Intan yang bekerja sebagai akauntan di syarikat perniagaan getah Abang Haji jatuh hati dengan Husaini. Intan mula menggoda Husaini walaupun tahu akan kewujudan Laila. Suatu hari, Husaini dan Laila terpilih untuk menunaikan haji. Husaini rasa berat hati untuk pergi kerana dia tidak jujur dan sudah mula menyukai Intan. Laila yang berang telah mengizinkan dia dimadukan dengan Intan, tetapi dia menunaikan haji tanpa Husaini. Sepanjang ketiadaan Laila, Husaini seperti hilang punca. Intan pula mula berubah perangai. Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Kampungku Dan Aidil Adha
Kampungku Dan Aidil Adha

Kampung Ku Dan Aidil Adha (26 September, 12.00 tengah hari)

Kampung Ku Dan Aidil Adha lakonan Aidil Aziz, Shafiq Kyle, Zalif Sidek, Amyra Rosli, Rafidah Ibrahim dan Razak Ahmad mengisahkan karenah lima orang yang bertanding dalam pertandingan pencarian duta kampung. Peserta lelaki terdiri daripada Arman, Bandi dan Ciko. Mereka terkenal sebagai pemuda yang nakal, suka merempit dan mengganggu penduduk kampung. Manakala peserta wanita pula terdiri Maya dan Aini. Pertandingan dimulakan, mereka berlima dikurung di surau lama yang dijaga oleh warden yang garang seperti komando 69 iaitu Pak Kaza. Mereka mula merungut apabila disuruh melakukan kerja gotong royong kerana tiada kaitan langsung dengan bidang nyanyian, malahan, mereka juga diuji dengan sesi rohani dan ibadah.

Hajah Heathrow (1)

Hajah Heathrow (27 September, 10.30 malam di TV3)

Pasti ramai yang merindui lakonan Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ogy. Saksikan lakonan beliau bersama Fadhil Dani, Kuna, Nazeera Sardi, Izara Aishah dan Hafidz Rosdi dalam telefilem baharu, Hajah Heathrow yang turut disiarkan di TV3 nanti. Berkisarkan Ramlan dan Juriah yang mendapat rezeki untuk menunaikan fardhu haji. Juriah mempunyai rasa untuk riak dan mempertikaikan jirannya, Datin Amnah yang hidup senang tetapi belum menunaikan haji. Dia tidak putus-putus menjaja usahanya mencari duit demi ke tanah suci. Malah Juriah juga merancang untuk membuat kenduri dengan hidangan seekor lembu. Ramlan menegur sikap isterinya tetapi Juriah menegakkan bahawa dia mahu menjadi contoh kepada penduduk sekampung yang lebih suka membeli emas dan saham daripada menabung di Tabung Haji. Suatu hari, Jasmin, anak mereka memberitahu bahawa dia mendapat kerja di Heathrow, London. Juriah mula teragak-agak kerana tarikh berangkat ke tanah suci ialah tarikh yang sama dengan penerbangan ke Heathrow. Ramlan terus mengingatkan Juriah mengenai usahanya selama ini mencari rezeki demi menunaikan haji yang lebih suci. Apakah pilihan Juriah?
Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Check Also

Album ‘BELAGU’ Dayang Nurfaizah Kini Telah Berada Di Pelantar DIgital

Selepas 15 tahun melancarkan album kontemporari klasik ‘Kasih’ pada tahun 2005, Dayang Nurfaizah hari ini …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!