Kembara Journey Berterusan di Malaysia

Perjuangan legasi rock Journey masih teguh. Buktinya dapat disaksikan pada konsert Journey Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam. Aksi penuh bertenaga selama hampir dua jam itu diraikan dengan bersemangat oleh para penonton.

Muncul di pentas sekitar pukul 8.45 malam, lima ahli band bersama seorang keyboard undangan  kembara Journey ini lantas mengambil posisi masing-masing. ‘Separate Ways’ berkumandang, menjadi pembuka tirai persembahan.Arnel Pineda yang menyertai Journey pada tahun 2008, membuktikan kredibilitinya selaku vokalis band legenda itu ketika menyampaikan lagu ‘Be Good To Yourself’.

 

Apabila Neal Schon mula ‘menggoreng’ gitar secara solo selepas lagu ‘Only The Young’, penonton berteriak bagaikan histeria. Pada usia 63 tahun, petikan Schon masih berbisa. Begitu juga dengan skil ahlinya yang lain, tetap hebat meskipun masing-masing sudah menjangkau umur lebih separuh abad.

‘Stone In Love’ kemudiannya diikuti dengan lagu hit, ‘Anyway You Want It’, antara lagu band yang menerima pengiktirafan daripada Rock and Roll Hall of Fame itu yang meraih sambutan luar biasa di peringkat global.

Atmosfera diredakan seketika dengan instrumental melankolik yang dimainkan Schon bersama-sama Jonathan Cain (pemain keyboard/piano), Ross Valory (pemain bass) dan Steve Smith (pemain dram).Schon juga sempat mengucapkan selamat datang dan penghormatan kepada tetamu diraja, Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

“Lagu berikutnya merupakan antara karya terawal daripada Journey. Ia tentang tempat asal kami, San Francisco. Ayuh beramai-ramai kita menerangkan tempat ini dengan kilauan cahaya,” Schon berinteraksi ringkas dengan penonton sebelum menyampaikan lagu ‘Lights’.Tumpuan kemudiannya diarahkan kepada Cain yang memainkan piano secara solo. Kesyahduan melodi yang dimainkan piano Cain kemudiannya disatukan bersama instrumen lain. Pineda menyempurnakan komposisi muzik itu dengan vokalnya mendendangkan ‘Open Arms’ dengan penuh indah.

Persembahan diteruskan dengan ‘Who’s Cryin Now’. Menyusul adalah lagu ‘After The Fall’, yang dinyanyikan oleh pemain keyboard undangan, Travis Thibodaux.Journey yang ditubuhkan pada tahun 1973 telah merakamkan 16 buah album studio. Selama 44 tahun beraksi dalam arena rock, band tersebut terus aktif menjalankan konsert jelajah di serata negara.

“Kami amat berbesar hati kerana berjaya membawakan ikon dan legenda dalam sejarah muzik rock ke Malaysia. Karier muzik Journey yang epik selalu memberi inspirasi kepada kami, sekali gus membuatkan kami untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk merealisasikan konsert Journey di sini,” ujar Ketua Pengarah IMC Live Group Malaysia, Lea Ghee Tan.

Kegemilangan muzik Journey pada malam itu diteruskan bersama lagu ‘Chain Reaction’ dan ‘La Do Da’. Tenaga dan konsistensi vokal Pineda jelas menyangkal keraguan pengikut setia Journey terhadap keupayaan Pineda menggantikan vokalis asal, Steve Perry.

Smith, pemain dram veteran turut mempamerkan kehebatannya sebagai pemuzik berpengalaman. Dengan wajah yang bersahaja, Smith tenang memukul dram secara solo.

Transisi muzik oleh Smith jelas disukai penonton yang bersorak berterusan sehinggalah Schon mengambil alih memetik gitar bersendirian.

‘Wheel In The Sky’ kemudiannya berkumandang. Kerancakan kembali diredupkan. Cain berucap pendek mengimbas momen sentimental ketika pertama kali membuat persembahan di benua Asia.”Lagu seterusnya dipetik daripada album Frontiers yang dilancarkan pada tahun 1983. Saya masih ingat peminat yang datang ke konsert Journey membawa sepanduk bertulis ‘We are forever yours.’

“Ia sungguh bermakna dan sebagai penghargaan. Lagu ini untuk anda,” kongsi Cain sebelum lagu ‘Faithfully’ dimainkan.Barisan veteran genre rock itu mengakhiri persembahan malam itu dengan lagu ‘Don’t Stop Believin’, yang merupakan identiti dan lagu paling popular dalam katalog muzik mereka. Kesinambungan energi setiap ahli jelas memberi kepuasan kepada setiap penonton yang hadir.

Begitupun, kembara mereka di Malaysia belum tiba di penghujungnya. Laungan penonton yang mahukan persembahan diteruskan disambut baik Journey.

Hajat penonton ditunaikan. Buat kali terakhir, mereka kembali ke pentas, menyampaikan ‘La Raza’, lagu yang pada awalnya dirancang untuk dimuatkan di dalam album Frontiers, tetapi akhirnya tidak terpilih. Lagu ‘Lovin’, Touchin’, Squeezin” menjadi penutup malam itu, sekali gus melengkapkan kembara rock mereka di Malaysia yang manis untuk dikenang para peminat dan penonton.

Check Also

Sumbangan RM150,000 Yayasan PEKEMA Bagi Menghargai Artis Veteran dan Penggiat Seni Uzur

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengadakan majlis penyerahan sumbangan yang bernilai RM150,000 yang disumbangkan oleh Yayasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *