Konsert D’Masiv Road To The World Di Zepp KL

Berdasarkan sambutan hangat peminat, penganjur Neptunes Presents menambah satu hari lagi untuk Konsert D’Masiv Road To The World bertempat di Zepp, Kuala Lumpur pada 3 Jun depan, jam 8 malam.

Penganjurnya yang juga aktres popular, Nabila Huda berkata, pihaknya tidak mahu mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket konsert malam pertama pada 2 Jun yang ‘licin’ dalam masa 48 jam sebaik penjualan tiket dibuka, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, tiket Konsert D’Masiv Road To The World malam pertama licin dalam tempoh 48 jam, baru-baru ini.

“Sambutan hangat peminat D’Masiv untuk konsert pada malam pertama mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D’Masiv untuk menambah satu malam lagi, sekali gus memberi ruang kepada peminat kumpulan ‘Masivers Malaysia’ untuk menyaksikan konsert yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur,” kata anak rockers terkenal Amy Search itu.

Kumpulan D’Masiv dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Ditanya pemilihan artis undangan pula, kata Nabila, pihaknya akan menampilkan bekas vokalis kumpulan popular Nidji iaitu Giring untuk memeriahkan konsert D’Masiv pada malam kedua.

“Pemilihan Giring dibuat pengurusan D’Masiv, sekali gus untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu bersama peminat di Malaysia.

“Segala persiapan rapi sudah dibuat D’Masiv membabitkan konsert pada dua malam terbabit.

“Apa yang pasti, D’Masiv akan mempersembahkan konsert yang akan menjadi kenangan terindah buat peminat di Malaysia.

“Sebanyak 25 rangkaian lagu popular akan dipersembahkan D’Masiv pada konsert dua malam terbabit seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Cinta Ini Membunuhku dan banyak lagi.

“Menariknya, vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta akan berduet dengan Giring menerusi satu lagu istimewa buat peminat,” katanya.

Sementara itu, kata Nabila lagi, konsert D’Masiv Road To The World akan menampilkan Is Pusakata dari kumpulan Parade Hujan yang lebih dikenali dengan nama Payung Teduh sebelum ini.

“Is Pusakata juga mempunyai lagu duet bersama D’Masiv iaitu Ingin Lekas Memelukmu yang menjadi hits di Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Mengulas penjualan tiket, kata Nabila, tiket konsert untuk malam kedua sudah dibuka kepada orang ramai dan kini sudah terjual sebanyak lima puluh peratus.

“Masih ramai keliru kerana berpendapat tiket konsert D’Masiv sudah habis dijual.

“Orang ramai boleh mendapatkan tiket untuk konsert D’Masiv malam kedua menerusi laman www.myticketempire.com,” katanya.

Check Also

Sumbangan RM150,000 Yayasan PEKEMA Bagi Menghargai Artis Veteran dan Penggiat Seni Uzur

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengadakan majlis penyerahan sumbangan yang bernilai RM150,000 yang disumbangkan oleh Yayasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *