Sandhy Sondoro lancar single baharu ‘Salawat’, kolaborasi bersama Datuk Kamarudin Meranun dari Capital A

Sandhy Sondoro, penyanyi dan penggubah lagu antarabangsa yang berasal dari Indonesia telah melancarkan single baharu bertajuk ‘Salawat’, sebuah kolaborasi bersama Datuk Kamarudin Meranun yang merupakan Pengerusi Eksekutif Capital A Berhad.

Lagu ‘Salawat’ yang bertemakan ketaatan dan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan doa ke atas junjungan Rasulullah SAW akan tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi bermula 14 April ini.

Lirik lagu ‘Salawat’ hasil nukilan Datuk Kamarudin Meranun, berdasarkan sebuah sajak yang dicipta oleh beliau dan telah digubah menjadi lagu ‘Salawat’ oleh Sandhy Sondoro.

Sandhy Sondoro berkata, “Ini adalah kali keempat saya menggubah dan mempersembahkan lagu bergenre kerohanian, dan saya amat berpuas hati dan berbangga dengan kolaborasi yang pertama kali ini bersama Datuk Kamarudin Meranun. Kami berharap semua aspek lagu ini, daripada lirik hingga gubahan lagu akan melahirkan perasaan cinta yang mendalam kepada semua pendengar terhadap Rasulullah SAW dan akan mengajak mereka untuk berselawat ke atas Baginda SAW.”

Datuk Kamarudin Meranun juga berkata, “Saya bertemu Sandhy Sondoro pada awal tahun 2020 dan keterampilan serta bakat beliau amat terserlah, terutamanya pengalaman beliau sebagai seorang artis antarabangsa. Tahun berikutnya semasa pandemik, saya telah mengarang sebuah sajak yang bertemakan perasaan saya terhadap Rasulullah SAW dengan niat untuk menjadikannya sebagai sebuah lagu kerohanian. Saya pasti Sandhy merupakan artis yang paling sesuai untuk menjayakan lagu ini dan hasilnya adalah halwa telinga yang penuh jiwa dan bermakna.”

Single ‘Salawat’ ini adalah terbitan Studio Sinetone dan akan disertai video muzik yang akan dimuat naik ke halaman media sosial tidak lama lagi untuk tatapan semua.

Sandhy Sondoro adalah seorang penyanyi dan penulis lirik terkenal yang berasal dari Indonesia. Beliau memulai karier muzik antarabangsanya di negara Jerman dan pernah memenangi beberapa anugerah berprestij seperti “Foreign Performer of the Year 2018 di Bravo International Music Award Russia, Pemenang Vokal Terbaik Artis Baharu di Anugerah Planet Muzik 2011, Pemenang Artis Solo Terbaik Kategori Pop di Anugerah Muzik Indonesia ke-14. Sandhy Sondoro juga merupakan pelantun lagu-lagu popular antaranya Tak Pernah Padam, Malam Biru, End of the Rainbow dan banyak lagi.

Check Also

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain Semarakkan Keterujaan Ziana Zain Concert 2024

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *