Shila Amzah Ke Pentas Akhir ‘I Am Singer’

704_1271253_185338

Alunan suara yang lantang dan merdu dari Shila Amzah sememangnya akan memberikan satu perasaan yang mampu membuat kita ikut turut serta bernyanyi bersama disamping menimbulkan satu perasaan yang membanggakan pada setiap persembahan beliau. Pada Februari lepas, Shila Amzah telah menyertai satu pertandingan di China iaitu ‘I Am Singer’ musim kedua yang kini telah pun berlangsung sebanyak 12 episod. ‘I Am Singer’ merupakan satu pertandingan yang disertai oleh bintang-bintang yang sudah mempunyai nama besar, dan pilihan pemenang akan ditentukan melalui undian para penonton. Kehebatan suara Shila sememangnya telah memukau pendengaran kita pada setiap persembahan beliau.

Kepada yang belum tahu, Shila Amzah mula menyertai ‘I Am Singer’ pada minggu ketujuh dimana Shila telah mendendangkan lagu ‘Xiang Ni De Ye’ yang bermaksud ‘Dikala Malam, Ku Merinduimu’ di mana lagu tersebut telah melonjakkan nama Shila di persada antarabangsa. Begitu hebat impak nyanyian Shila kerana mendapat tempat kedua sejurus Shila menyertai ‘I Am Singer’. Daripada riak wajah penonton juga, jelas terpancar keterujaan mereka terhadap kelunakan suara Shila Amzah.

Ternyata Shila tidak menghampakan peminatnya kerana beliau berjaya mara ke minggu akhir. Kepada peminat Shila atau lebih dikenali sebagai ‘Shilalas’, mari kita sama-sama tunggu apa kejutan yang bakal Shila lakukan pada minggu akhir pada Jumaat ini. Shila akan berentap bersama dengan 7 lagi peserta seperti G.E.M. (Hong Kong), Han Lei (China), Gary Chaw (Malaysia),  Zhang Jie (China), Phil Chang (Taiwan) dan  Zhou Bichang (China).

Shila yang ketika ini berada di China berasa amat bersyukur dan teruja kerana beliau mara ke pusingan akhir ‘I Am Singer’ untuk musim kedua ini.

Saya telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk persembahan saya pada malam final nanti. Kami di sini diberi arahan untuk bersedia dengan 2 buah lagu di mana pusingan pertama saya akan berduet bersama salah seorang penyanyi luar, dan jika rezeki berpihak kepada saya dan berjaya mendapat tempat 5 tertinggi, saya akan mara ke pusingan kedua di mana saya akan menyanyi solo dan dari situ, hanya undian daripada peminat yang akan menentukan sama ada saya berjaya merangkul sebagai juara atau tidak’. ‘Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya untuk malam final nanti, dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong saya sejak saya bergelar sebagai seorang penyanyi’. – Kata Shila Amzah.

Pada peringkat akhir nanti, akan ada dua pusingan di mana pusingan pertama para peserta akan berduet bersama artis pilihan mereka dan pusingan kedua adalah nyanyian secara solo. Selepas tamat pusingan pertama, hanya 5 peserta yang mendapat undian tertinggi sahaja akan mara ke pusingan kedua iaitu ke ‘Grand Finale’. Kekuatan vokal Shila memang tidak boleh disangkal lagi, marilah kita sama-sama berdoa agar Shila sekali lagi dapat mengharumkan nama industri muzik tanah air dan juga nama Malaysia untuk kali yang kedua. ‘I Am Singer’ musim pertama telah dimenangi oleh Yu Quan dari China, siapa tahu pada musim kedua ini dimenangi oleh rakyat Malaysia yang bernama Shila Amzah.

Jom sama-sama kita undi dan sokong Shila Amzah di laman web Weibo di pautan yang berikut. http://vote.weibo.com/vid=2578278

 

Trivia Shila Amzah di Pertandingan ‘I Am Singer’.

·         Shila menyertai ‘I Am Singer’ pada minggu ketujuh (7) dengan lagu ‘Xiang Ni De Ye’ dan mendapat tempat kedua (2).

·         Minggu kelapan (8), Shila mendapat tempat keempat (4) dengan lagu ‘Zui Chang De Dian Ying’.

·         Minggu kesembilan (9), Shila mendapat tempat ketiga (3) dengan lagu ‘Listen’.

·         Minggu kesepuluh (10), Shila mendapat tempat ketiga (3) dengan lagu ‘Forever Love’.

·         Minggu kesebelas (11), Shila mendapat tempat pertama (1) dengan lagu ‘Rolling In The Deep’.

·         Minggu kedua belas (12) (minggu separuh akhir), Shila mendapat tempat keenam (6) dengan lagu ‘Yang Chong’.

·         Shila berjaya mara ke minggu ketiga belas (13) iaitu minggu akhir.

Check Also

Dapatkan Tandatangan & Sesi Foto Eksklusif Ziana Zain Semarakkan Keterujaan Ziana Zain Concert 2024

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *