Pertandingan Seni Tanjong Peringkat Kebangsaan Pupuk Semangat Hargai Warisan

Photo 1

Pertandingan Seni Warisan Kebangsaan 2014 anjuran Tanjong plc telah berjaya mengabadikan pelbagai warisan tanahair kita di kanvas para seniman muda. Segala senario kehidupan serta tradisi dan kebudayaan yang diwariskan dari generasi terdahulu termasuk tempat bersejarah dan bangunan warisan telah dizahirkan melalui lukisan oleh mereka yang sangat berbakat.

Menurut YBhg Dato’ Robert Cheim, Pengerusi Tanjong plc yang hadir untuk menyampaikan hadiah berjumlah RM53,500 di Majlis Penyampaian Hadiah baru-baru ini, “Sebagai sebuah negara yang mempunyai berbilang budaya dan kepercayaan agama, secara semulajadi kita telah dilentur oleh kepelbagaian adat, tradisi dan kepercayaan. Maka, saya rasa amat teruja apabila menyaksikan begitu banyak sejarah silam kita diberi penghargaan dan diabadikan pada kanvas seperti yang dapat kita lihat sekarang. Saya turut berasa bangga dan gembira melihat kejayaan anak-anak muda ini dalam mengembangkan bakat seni yang mereka ada.”

Photo 3

“Sukacita saya mengumumkan bahawa Pertandingan Seni Lukis Warisan Tanjong tahun ini telah menarik jumlah peserta yang ramai. Secara keseluruhannya, kami menerima 1,095 penyertaan daripada sejumlah 17 institusi pengajian tinggi. Di atas cadangan para hakim kami, Tanjong plc telah pun meningkatkan jumlah hadiah yang berupa wang tunai untuk pertandingan ini. Pemenang hadiah pertama menerima RM4,000, manakala pemenang tempat kedua akan membawa pulang RM3,000 dan pemenang tempat ketiga menerima RM2,000. Selain daripada itu, pemenang hadiah sagu hati menerima RM500 setiap seorang.”

Pertandingan seni ini terbahagi kepada lima kategori, iaitu Warna Air, Minyak/Akrilik, Media Campuran, Arang/Pensel/Dakwat dan Seni Cetak. Tahun ini, Dasein Academy of Art mendapat perhatian kerana berjaya membawa pulang sejumlah 21 hadiah dari kesemua lima kategori. Malah, dua orang dari pelajar mereka memenangi lebih daripada satu hadiah; Lee Xuan Guang memenangi tempat kedua bagi kategori Warna Air dan juga hadiah sagu hati dalam kategori Minyak/Akrilik serta kategori Seni Cetak. Ong Cai Bin juga dari Dasein Academy of Art, membawa pulang hadiah kedua dalam kategori Media Campuran dan hadiah ketiga bagi kategori Seni Cetak.

Photo 5

Penyertaan dalam kategori Seni Cetak ternyata menambat hati pengadil kerana kategori ini meraih sejumlah sepuluh kemenangan, didahului oleh Muhammad bin Abdullah dari Universiti Teknologi MARA yang menjuarai kategori ini.

Dalam kategori Minyak/Akrilik, Tham Yoke In dari Dasein Academy of Art menangi hadiah pertama manakala rakan kolejnya, Yong Kang Yun dan Yasmeen Cheong masing-masing menjuarai kategori Warna Air dan Arang/Pensel/Dakwat. See Poh  Chen dari Southern University College memenangi hadiah pertama bagi kategori Media Campuran.

Encik Laurence Lim, seorang arikitek yang terkenal kerana hasil kerjanya yang berkaitan dengan memelihara warisan negara dan pernah memenangi beberapa anugerah yang berprestij dari UNESCO telah dipilih untuk menerajui panel hakim kali ini. Dengan pengalaman beliau dalam memulihara tanda mercu yang menjadi warisan kita turun-menurun seperti Rumah Cheong Fatt Tze, Rumah Suffolk di Pulau Pinang dan juga pemuliharaan Stadium Negara, Encik Laurence beserta panel hakim yang lain telah memilih untuk menyahut cabaran untuk memilih hasil seni yang terbaik.

Photo 4

Di dalam menggalas tanggungjawab ini, Encik Laurence telah disertai oleh tokoh-tokoh terkenal dan dihormati dalam bidang seni lukis dan warisan termasuk Profesor Madya Fauzan bin Omar, salah seorang pelukis kontemporari yang terkenal dan paling berpengaruh di Malaysia. Beliau telah mewakili Malaysia dalam pelbagai pameran serantau dan antarabangsa yang berprestij sejak tahun 1980-an. Ahli panel hakim yang lain terdiri daripada Cik Elizabeth Cardosa, Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia yang telah memenangi banyak anugerah UNESCO bagi Pemuliharaan Warisan Kebudayaan dan Dr. Kim Phaik Lah, yang terlibat secara aktif dalam beberapa projek penyelidikan dalam bidang kesenian, pendidikan dan warisan kebudayaan serta telah menerbitkan kertas penyelidikan dalam bidang pendidikan.

Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, setiap tahun Tanjong plc dan anak syarikatnya secara aktif menyumbang kepada pelbagai usaha dalam bidang kesenian dan pembangunan sukan. Tanjong plc akan terus memainkan peranannya dalam pemuliharaan warisan kebudayaan dan juga aktiviti-aktiviti lain, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat dan kakitangannya tetapi juga masyarakat sekeliling, amnya.

Check Also

HARTA Teroka Rangkaian Persepsi Melalui Pameran ‘Interwoven Realities’

Sejak dilancarkan pada Ogos 2023, HARTA, merujuk kepada HABIB: Action for the Revival of Traditions …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *